Cabar kebolehan diri, Fattah cuba bidang baharu


KELIBAT anak muda ini di dalam bidang seni barang kali masih hijau, namun sejak akhir-akhir ini, namanya sudah mula mendapat perhatian di kalangan peminat, lebih-lebih lagi dek keberkesanan lakonannya.

Biarpun masih banyak yang perlu dipelajarinya, namun itu tidak menghalang aktor tinggi lampai ini menerima tawaran menjadi pengacara Drama Festival Kuala Lumpur (DFKL) yang bakal berlangsung pada 19 Mac ini.

Menurut Fattah Amin, biarpun bidang pengacaraan merupakan cabang baharu buatnya, namun itu bukan alasan untuknya menolak.

"Bagi saya peluang dan rezeki ini kita tak tahu apabila akan datang lagi. Jadi bila peluang dan rezeki ini tiba, saya kira satu kerugian untuk saya menolak.

"Walaupun tidak pernah mengacara, saya ambil tawaran ini sebagai satu cabaran dan ini adalah masa yang sesuai untuk saya melihat sejauh mana kebolehan saya," ujarnya kepada Zass.

Tambah Fattah, meskipun kali pertama mengacara sebuah acara besar, namun bukan alasan buatnya mengendalikan secara sambil lewa.

"Saya sudah mula buat 'homework', rujuk pengacara yang dah biasa dengan pengacaraan. Dalam masa sama, saya cuba lihat balik cara pengacaraan beberapa pengacara dan selebriti, termasuk merujuk acara DFKL sebelum ini.

"Selain itu, saya juga melalui beberapa siri perbincangan bersama dua lagi hos DFKL," katanya yang bakal bergandingan bersama aktres Amyra Rosli dan penyampai radio Hot FM, Fizi pada acara yang bakal berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada jam 9 malam.

Mengakui berdebar menantikan hari penting itu, Fattah berkata, dia bersedia menerima apa jua kritikan dan pandangan penonton dan peminat mengenai penampilannya kelak.

"Kalau kita tak buat, kita tak tahu sejauh mana kemampuan kita. Lagipun kalau boleh saya mahu jadi selebriti versatil.

"Selepas berlakon, saya pernah cuba menyanyi dan kini mengacara. Tidak dinafikan dalam berdebar, saya sangat teruja. Malah saya juga bersedia menerima apa jua kutukan dan kritikan dari penonton nanti.

"Saya anggap ia sebagai sesuatu yang membina untuk saya memperbaiki diri pada masa akan datang," katanya yang akan menjadi pengacara untuk sebuah program di TV9 tidak lama lagi.


Impian jadi kenyataan

Dalam pada itu, berkongsi perkembangan terkininya, Fattah berkata, dia kini sedang sibuk menjalani penggambaran drama bersiri Ketupat Palas Mr. Handsome bersama Mira Filzah.

Selain itu, dua drama lakonannya Bodyguard dan Gerak Khas 2016 sedang ditayangkan di kaca TV.

"Alhamdulillah selepas beberapa kali di beri kepercayaan membawakan watak romantis, kelakar, kini penerbit dan pengarah mula memberi kepercayaan kepada saya untuk melakonkan watak aksi," katanya.

Menurut Fattah, berlakon di dalam drama Gerak Khas juga merupakan impiannya, lebih-lebih lagi, dia pernah bercita-cita untuk menjadi seorang anggota polis.

"Sebelum ini saya pernah bekerja di belakang tabir untuk drama Roda-Roda Kuala Lumpur, dan membesar dengan drama Gerak Khas.

"Dalam masa sama ayah saya juga merupakan seorang anggota polis, jadi dunia kepolisan ini agak dekat dengan saya.

"Malah ayah juga pernah tanya bila saya akan berlakon menjadi seorang polis. Tak sangka impian saya jadi kenyataan.

"Saya juga kira 2016 merupakan permulaan saya untuk menjayakan watak aksi," katanya.

Selain itu juga, dia bakal memasuki set telefilem bersempena Hari Raya Aidilfitri iaitu Raya Kami dan Hello Mr Perfect Raya.

Artikel Selepas
« Artikel Selepas
Artikel Sebelum
Artikel Sebelum »