Chef Anis Akui Comot Ketika Masak Di Rumah


Persepsi masyarakat bahawa 'wanita cantik tak pandai memasak' sudah lama berlalu, kata chef selebriti, Anis Nabilah Umaruddin.

Lebih senang disapa Anis, pemegang Diploma Professional Chef in Culinary Arts dari Food Institute of Malaysia itu berkata, masyarakat masa kini semakin sedar bahawa adalah tidak wajar untuk mengaitkan imej atau kecantikan seseorang wanita dengan kerja-kerja dapur.

"Sekarang ni lawa atau tak semua dah masuk dapur. Jadi persepsi itu sudah bertukar, terutama di kalangan wanita muda.

"Memasak sekarang sudah jadi satu gaya hidup dan hobi. Semua wanita begitu teruja untuk memasak, sama ada untuk diri sendiri, kawan-kawan atau untuk ahli keluarga," katanya kepada mStar Online.

Anis, 30, adalah antara calon kategori Chef Selebriti Pilihan Online menerusi Anugerah Pilihan Online 2016 (APO 2016).

Mula popular menerusi rancangan realiti TV adik-beradik 'The Dream Sisters', Anis berkata apabila seseorang wanita itu masuk ke dapur, secara automatik mereka akan memberi tumpuan penuh terhadap kerja-kerja dapur dan hasil masakan akan menjadi keutamaan.

Justeru katanya, sejauh mana pun seseorang wanita itu mementingkan kecantikan, apabila menjejakkan kaki ke dapur elemen itu akan ditolak ke tepi untuk seketika.


"Kalau anda tengok 'show' saya di televisyen memanglah saya nampak cantik sebab ia adalah kehendak produksi.

"Tapi bila saya memasak di rumah, saya seperti orang lain juga. Mungkin saya lebih comot daripada anda," katanya sambil ketawa.

Anis yang gemar mencuba pelbagai jenis makanan berkata, beliau tidak mempunyai rahsia tertentu untuk kekal kurus.

"Saya hanya bersenam, tak makan coklat dan kurangkan gula. Bukan untuk jaga berat badan atau untuk saiz badan, tapi untuk kesihatan. Saya tak mahu ada masalah kesihatan di kemudian hari," katanya yang gemar makan masak lemak daging salai.

Mengenai saingannya dalam APO 2016, Anis berkata, beliau tidak pernah melihat mana-mana chef sebagai pesaing, namun berterima kasih kepada peminat yang telah mengundinya.

Katanya, dalam industri yang kecil tetapi semakin berkembang ini, ramai chef diperlukan untuk memberikan ilmu dan pengetahuan mengenai selok-belok makanan kepada masyarakat.

"Siapa menang tak penting, bagi saya berkongsi ilmu dengan orang ramai lebih utama.

"Kalau bukan sebab masakan, saya tak mungkin berada di televisyen sebagai artis," katanya.

Orang ramai yang ingin mencalonkan artis atau selebriti pilihan mereka boleh melayari laman web khas iaitu http://apo.mstar.com.my

APO2016 dianjurkan bersama mStar Online dan Suria FM dan dihebatkan oleh Dnars sebagai penaja rasmi.

Ia akan disiarkan secara langsung pada 30 April depan menerusi TV2 pada pukul 9 malam bertemakan Glam Digital.

Previous Post Next Post