Cheryl Samad teruja tunggu kelahiran anak kedua


Walaupun tidak lagi aktif lagi dalam bidang hiburan, Cheryl bercadang untuk kembali mengacara khususnya dalam program kemasyarakatan atau kemanusiaan selepas melahirkan anak kedua nanti.

TIADA apa yang lebih membahagiakan buat seorang wanita apabila bertukar status daripada seorang anak dara kepada isteri dan kemudiannya menjadi ibu kepada zuriat sendiri. Bagi pengacara popular, Cheryl Samad semua detik istimewa itu sudah dilalui, namun perasaan sama menular di dada saat menunggu kelahiran zuriat keduanya yang dijadualkan lahir Mei nanti.

Anak sulungnya, Stella kini sudah menginjak usia setahun empat bulan. Menjaga dan membesarkan anak kesayangannya itu membuatkan Cheryl tersenyum lebar walaupun adakala kepenatan melayani kerenah si kecil yang belum memahami banyak perkara.

Umum mengetahui, sejak mendirikan rumahtangga dengan Ng Ping Ho pada 2011, kerjaya seni selebriti yang begitu sinonim acara Anugerah Juara Lagu (AJL) sebagai pengacara itu semakin perlahan.

Akuinya, keluarga menjadi keutamaannya walaupun kerinduan untuk bergiat aktif dalam bidang pengacaraan tidak mampu dibendung.

Dia ditemui media pada sidang akhbar program realiti terbaharu berjudul Clever Girl Malaysia di Hotel Royal Chulan, Damansara, Petaling Jaya baru-baru ini.

Dalam program yang mula bersiaran pada 13 Mac nanti, Cheryl menggalas tanggungjawab sebagai ikon bersama dua rakan selebriti, Vanidah Imran dan Marion Caunter.


ARTISMELETOP!: Agak lama Cheryl tidak muncul di kaca televisyen, adakah anda anda tidak mempunyai perancangan untuk kembali mengacara khususnya dalam rancangan berbentuk hiburan seperti AJL?

CHERYL: Prioriti buat saya kini tertumpu kepada keluarga. Saya memang rindu untuk mengacara tetapi status saya sekarang bukan lagi macam dahulu. Kalau pun saya ingin kembali mengacara, saya ingin mengacarakan program yang bukan berbentuk hiburan. Misalnya, program yang menjurus ke arah isu sosial atau kemasyarakatan.

Apa sebenarnya yang membuatkan anda tidak lagi mahu mengacarakan program hiburan?

Saya cuma ingin mencuba sesuatu yang baharu. Saya ingin mencabar diri melakukan perkara yang belum pernah dilakukan sebelum ini. Lagipun, dengan status sebagai seorang isteri dan ibu, rasanya saya tidak mampu memberikan komitmen untuk sesuatu besar. Saya akui, AJL adalah sebuah acara yang berjaya mengangkat kerjaya saya sebagai seorang pengacara pada tahap yang tidak pernah saya jangka.

Selepas mendirikan rumah tangga dan melahirkan anak pertama, adakah memang tiada tawaran untuk kembali mengacara?

Ada, cuma kebanyakan tawaran tidak kena dengan masa. Tambahan pula, perubahan hidup saya sebagai seorang isteri dan ibu mendadak.

Misalnya, ketika saya berkira-kira untuk kembali aktif, saya mengandung anak kedua. Jadi, saya tidak dapat berbuat demikian dan pihak produksi memang tidak mahu seorang ibu mengandung sebagai pengacara (ketawa).

Baiklah, bagaimana dengan kandungan kedua anda. Barangkali ada perbezaan dari segi pengalaman mengandungkannya?

Sama sahaja. Cuma, anak kedua ini beratnya rasa lain macam walaupun saiz perut saya nampak kecil.

Bagaimana dengan jantina kandungan kali ini?

Saya sudah menjalani pemeriksaan doktor bersama suami. Alhamdulillah, anak kedua juga merupakan seorang perempuan.

Boleh kongsikan keterujaan anda menyambut kelahiran anak kedua tidak lama lagi?

Memang saya sangat teruja. Akhirnya, Stella akan dapat seorang adik perempuan (tertawa). Stella makin membesar, makin licik kenakalannya.

Tetapi saya menganggap ia sebagai satu perkembangan positif. Untuk anak kedua, saya harap kelahirannya pada Mei nanti berjalan lancar. Tinggal dua bulan sebelum ‘masanya’ sampai, saya tidak boleh terlalu aktif melakukan kerja-kerja yang memenatkan.

Boleh ceritakan penglibatan anda dalam Clever Girl Malaysia?

Saya terlibat sebagai ikon yang diberi tugas dan tanggungjawab untuk memberikan inspirasi dan tunjuk ajar kepada peserta terlibat tentang cara berdepan dengan kamera, kaedah berkomunikasi dengan baik dan banyak lagi.

Walaupun dalam keadaan sarat mengandung, saya tetap ingin membantu wanita-wanita muda dalam program berkenaan mengejar impian mereka.

Previous Post Next Post