Doa perkahwinan kedua Yatt Hamzah


MOHD. ZULFADHLI KHAIRUDDIN menyarungkan cincin ke jari Yatt pada acara membatalkan air sembahyang selepas pernikahan mereka di Masjid Sultan Salahuddin Aziz, Shah Alam.

Jodoh itu rahsia Allah dan ternyata takdir telah menentukan pelakon dan penceramah bebas, Yatt Hamzah untuk kembali bergelar seorang isteri selepas lapan bulan menjanda.

Sabtu lalu menyaksikan penyatuan dua hati antara pemilik nama sebenar Haryati Hamzah, 36, ini dan seorang jurukamera bebas, Mohd. Zulfadhli Khiruddin, 26, dengan sekali lafaz di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

Yatt yang berwakil wali hakim dinikahkan oleh Pendaftar Nikah, Cerai Dan Rujuk Daerah Petaling, Ustaz Muhammad Sujak Dusuki dengan mas kahwin RM300, manakala wang hantaran pula dirahsiakan.

Pihak lelaki menyerahkan sembilan dulang hantaran berbalas 11 dulang daripada pihak perempuan yang terdiri daripada minyak wangi, kasut, jam tangan, tas tangan dan manisan.

Sambil dipeluk erat anak perempuan tunggalnya, Suci Hanania Malika,6, dan keluarga terdekat, pelakon Kaber Hero Kaber Zero itu kelihatan sebak sehingga menitiskan air mata gembira saat lafaz disahkan.

“Saya bersyukur ke hadrat Ilahi kerana diberi peluang untuk bertemu jodoh dan cinta sekali lagi walaupun dalam tempoh yang singkat.

“Saya berdoa agar perkahwinan dan suami kali ini akan mendapat berkat Yang Maha Esa dan lebih baik daripada yang sebelumnya,” katanya ketika ditemui selepas selesai majlis akad nikah.

Walaupun berdepan dengan banyak kritikan sebelum majlis ijab kabul berlangsung, Yatt masih boleh tersenyum dan tidak mahu menyimbah minyak pada api yang sedang marak.

Pendekatan sama turut diambil oleh suaminya, Zulfadhli apabila tidak mahu membuang masa memikirkan perkara-perkara yang tidak mendatangkan manfaat dalam rumah tangga mereka.

Biar digelar perosak rumah tangga orang, Zulfadhli tenang menerima tohmahan kerana prinsipnya senang, tidak perlu takut andai tidak melakukan apa-apa kesalahan.

“Saya tidak berasa tertekan kerana memang mengamalkan sikap tidak ambil pusing cerita-cerita gosip ini. Saya kenal isteri saya bagaimana dan saya tahu apa yang sedang saya lakukan.

“Apa yang penting, kami sudah selamat bernikah dan saya hanya mahu fokus untuk menjaga keluarga yang baru dibina ini,” ujarnya sambil memeluk erat bahu isteri.



YATT HAMZAH dan Mohd. Zulfadhli Khiruddin selamat bergelar suami isteri Sabtu lalu.

Tidak akan lepaskan anak

Beberapa hari menjelang hari bahagia, bekas suami Yatt, Abd. Mutalib membuat kenyataan bahawa sebaik sahaja Yatt sah bernikah dengan lelaki lain, penjagaan anak perempuan mereka akan berpindah milik kepadanya.

Walaupun enggan mengulas lanjut tentang alasan Mutalib mengeluarkan kenyataan sebegitu, Yatt berkata, janji sedemikian tidak pernah dibuat dan tiada sebarang perbincangan pernah berlaku.

“Tidak logik untuk saya melepaskan zuriat hanya untuk berkahwin lain, sedangkan selama ini, Nia (panggilan manja Suci Hanania) menjadi sebab utama saya untuk membuat sebarang keputusan.

“Saya akan tetap menjaga Nia sehingga akhir hayat dan tidak pernah terlintas sedikit pun untuk membiarkan dia dijaga oleh orang lain, selain saya,” ujar Yatt tegas.

Tambah Yatt, hubungan Nia dan suami baharunya juga semakin rapat kerana Zulfadhli pandai melayan kanak-kanak, sekali gus menjadikan Nia tidak kekok untuk rapat dengan ayah tirinya itu.

Nia yang sudah mula menukar panggilan kepada abi yang membawa maksud ayah, Yatt bersyukur anaknya tidak terkesan dengan segala peristiwa pahit yang berlaku di sekelilingnya dan memahami keadaan ibunya.

“Setiap perkara yang berlaku ada hikmahnya. Pada saat saya kehilangan suami (Abd. Mutalib), diikuti arwah abah (Hamzah), Zulfadhli hadir dan mengisi kekosongan dalam hidup saya.

“Akhlaknya yang penyabar dan tenang menambat hati saya untuk membuka ruang bagi bergelar isteri sekali lagi,” katanya yang pernah berasa serik untuk berkahwin lagi selepas bercerai dengan Mutalib pada Ogos tahun lepas.

Previous Post Next Post