Dubsmash Otam Blurr Bukan Sekadar Suka-Suka


Rostam Johari

Aplikasi Dubsmash kini menjadi ikutan ramai di seluruh dunia dan personaliti yang semakin dikenali di media sosial, Otam Blurr juga tidak ketinggalan menggunakannya untuk menyampaikan mesej dengan gaya tersendiri.

Ternyata kebanyakan video lucu yang dihasilkannya dan dimuat naik di Instagram @otamblurr bukan sekadar suka-suka kerana mempunyai matlamat selain menghiburkan orang ramai.



Pemilik nama sebenar Mohd Rostam Johari, 29, atau lebih mesra dipanggil Otam berkata, kebanyakan video yang dihasilkan menggunakan babak filem-filem lama era Seniman Agung, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee dan seniwati Allahyarham Puan Sri Saloma.

"Kebanyakan anak muda sekarang tak kenal siapa P. Ramlee, siapa itu Saloma yang sememangnya antara legenda filem hitam putih.

"Watak-watak sampingan dalam filem-filem zaman itu lagilah mereka tak kenal. Jadi, video saya ni seperti mengembalikan nostalgia dan kegemilangan pelakon-pelakon ketika itu," katanya kepada mStar Online.

Otam Blurr disenaraikan dalam pencalonan awal bagi kategori Selebriti Media Sosial Pilihan Online untuk Anugerah Pilihan Online (APO2016).


Antara babak yang divideokan Otam sehingga menjadi viral ialah dari filem Seniman Bujang Lapok dan Sri Mersing.

Menurut kakitangan Bahagian Promosi Pelancongan, Jabatan Ketua Menteri Melaka ini, usahanya memperkenalkan filem-filem lama berkesan apabila ramai pengikutnya di laman sosial bertanyakan tentang tajuk filem dan nama pelakonnya.

"Ramai hantar mesej bertanyakan nama filem dan pelakon setiap kali saya muat naik video Dubsmash. Saya sentiasa balas pertanyaan mereka.

"Perkara ini seharusnya dikongsi bersama. Selain terhibur, mereka juga dapat maklumat mengenai video yang dipaparkan," katanya.

Pada masa sama, Otam berkata, setiap video yang dikongsi itu mempunyai mesej tersirat mengenai kehidupan kekeluargaan.

"Ada video tentang bagaimana kita perlu memahami perasaan orang tua dan menghormati mereka. Tua atau muda, kita perlu belajar berbudi bahasa.

"Sebab itu kebanyakan video saya bawa watak 'makcik-makcik' berbanding karakter lebih muda," katanya secara berseloroh.

Berdasarkan rekod setakat ini, saingan begitu sengit dalam kategori Selebriti Media Sosial Pilihan Online APO2016.

Jadi, kepada pengikut dan peminat Otam Blurr yang selama ini terhibur dengan videonya di media sosial, segera membuat pencalonan bagi melayakkannya ke Top 5.

Pengundian awal untuk mencari lima pencalonan utama bagi setiap kategori dibuka sehingga 30 Mac ini.

Pencalonan boleh dibuat dengan melayari laman web khas iaitu http://apo.mstar.com.my

APO2016 yang bertemakan Glam Digital itu bakal bersiaran secara langsung di TV2 pada 30 April depan.

Acara ini dijayakan bersama Suria FM dan dihebatkan oleh Dnars selaku penaja rasmi.

Artikel Selepas
« Artikel Selepas
Artikel Sebelum
Artikel Sebelum »