Dunia baharu Remy Ishak


WANITA Remy sangat mementingkan privasi lebih-lebih lagi apabila melibatkan peribadi. Atas alasan tersebut, dia lebih selesa mengakui hatinya masih belum terisi cinta terhadap atau daripada mana-mana wanita.

SUASANA malam yang penuh glamor dilimpahi cahaya lampu candeliar membangkitkan suasana romantik. Bertempat di Chulan View, Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur baru-baru ini, aroma daripada bau-bauan bunga segar membangkitkan lagi emosi hadirin sesuai dengan tujuan penganjuran majlis pada malam berkenaan untuk menyaksikan terlancarnya sebuah jenama baharu, produk wangian daripada aktor kacak Remy Ishak, Rumi by Remy Ishak.

Tidak seperti zaman awal kemunculannya yang mendadak popular dengan rentetan kisah sensasi, ironinya aktor drama Nur Kasih itu memilih ritma perlahan saat membentuk ruang dalam bidang perniagaan. Dia menunggu selama dua tahun untuk merealisasikan impiannya mengeluarkan sesebuah produk bawah jenama sendiri.

“Dahulu saya sangat sibuk dengan kerja seni, jadi tiada masa untuk mencuba bidang perniagaan. Lagipun, saya kurang bergaul dengan kenalan daripada bidang lain dan disebabkan itu saya agak payah mencari pasukan untuk membentuk sebuah syarikat.

“Sekarang, saya sudah ada pasukan yang boleh bekerja dan membantu melancarkan proses pemasaran dan penjualan produk Rumi di bawah syarikat saya Risa Team Global Sdn. Bhd.,” ceritanya membuka perbualan.

Inspirasi watak

Kongsi Remy, nama jenama Rumi yang dipilih diinspirasikan daripada karakter lakonannya dalam drama terbaharu, Rumi dan Jawi yang akan bersiaran menjelang Ramadan nanti.

“Watak Rumi itu sendiri diinspirasikan daripada tokoh cendekiawan Islam dan penyair ternama iaitu Jalaluddin Rumi. Pengarah drama berkenaan, Erma Fatima banyak mendekatkan saya dengan watak tersebut dan secara jujurnya, selepas menyelami jiwa Rumi, saya jatuh cinta dengan puisi-puisi ciptaan tokoh besar tersebut.

“Salah satu sebab mengapa pemilihan Rumi sebagai jenama produk juga dibuat kerana saya merasakan drama dan watak berkenaan mampu memberi impak kepada penonton. Sememangnya, ia sangat berbeza dengan karakter lakonan saya sebelum ini.

“Sebelum ini juga, saya tidak pernah mengabadikan mana-mana watak dalam lakonan kepada sesuatu perkara. Jadi, timbul rasa ralat sedangkan ada antara beberapa watak yang saya pegang sebelum ini sering meninggalkan kesan yang cukup kuat buat penonton,” ujarnya.

Biarpun sudah menceburkan diri dalam dunia perniagaan, tidak bermakna jejaka berkulit sawo matang itu akan memperlahankan rentak kariernya selepas ini.

“Setiap manusia perlukan masa untuk mencari peluang dalam apa jua perkara yang ingin dilakukan. Begitu juga dengan saya. Walaupun dalam tempoh 10 tahun kebelakangan ini saya ada banyak peluang untuk diisi dengan bermacam perkara, tetapi saya tidak tamak untuk buat semua kerja dalam satu masa. Biar perlahan, asal saya puas,” katanya.


Soal hati dan perasaan

Bertemu Remy, tidak sah jika rasanya jika menyentuhi soal peribadi. Masakan tidak, sehingga ke hari ini, sisi peribadinya sentiasa ditunggu-tunggu peminat lebih-lebih lagi apabila membabitkan soal pasangan hidup.

Melewati usia 34 tahun, Remy masih dalam misi mencari si puteri idaman yang akan mengisi kekosongan hati lelakinya. Ditebak dengan soalan yang mungkin sudah dianggap klise, pelakon 29 Februari itu hanya mampu tersenyum simpul sambil mengelak daripada bercerita lanjut.

“Betul, buat masa ini saya masih belum ada sesiapa yang istimewa di hati,” katanya cuba berbasa-basi tentang status wanita bernama Roszaliza Yusof yang dahulunya pernah disebut-sebut sebagai kekasihnya.

Tambah Remy: “Cuma, apa yang boleh dikatakan ialah kami masih dalam proses berkawan dan mengenali hati budi masing-masing. Cukup itu sahaja yang saya boleh kongsi.

“Saya sejenis yang tidak suka berbicara mengenai perkara itu kepada umum sebab kita tidak tahu apa yang akan berlaku pada masa hadapan. Kalau terlalu beria bercakap kepada umum, nanti semua pihak akan mendapat malu. Jadi, baik berdiam diri sahaja.”

Aktor Jiwa Taiko itu juga tidak mahu terbeban dihimpit persoalan peribadi yang melibatkan perasan keluarga. Baginya, keluarga adalah keutamaan dan dia tidak mahu terlalu memikirkan perkara yang belum pasti.

“Buat masa sekarang saya memang belum terfikir ke arah perkahwinan sebab saya ada keluarga yang perlu ditanggung. Bukan bermaksud tanggungjawab tersebut menjadi penghalang tetapi saya mengutamakan keluarga sendiri dalam apa jua hal.

“Kalau mahu cakap lebih pun, nanti akan nampak seperti klise. Tetapi biarlah semua itu terjadi dengan sendiri dan saya hanya serahkan kepada Allah untuk menentukan siapa jodoh saya kelak,” ceritanya.

Lapangan teater

Tidak sekadar pelakon drama atau filem, Remy juga dilihat aktif melibatkan diri dengan pementasan teater. Kali terakhir dlihat muncul dalam teater muzikal Maduku Kalut Returns tahun lalu, Remy kini kembali mencurahkan tenaga dan keringat dalam sebuah projek teater iaitu muzikal Randai Cinduo Mato yang bakal berlangsung pada 25 hingga 27 Mac depan di Panggung Sari, Istana Budaya, Kuala Lumpur.

Dipertanggungjawabkan memegang watak utama sebagai Cindua Mato, keterujaan menjayakan persembahan terbitan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara tersebut menyebabkan Remy menolak beberapa tawaran lain semata-mata tidak mahu fokusnya terganggu.

“Memang saya bukan anak jati Negeri Sembilan atau mahir berbahasa Minangkabau, tetapi saya menganggap penglibatan dalam teater ini sebagai satu cabaran besar untuk terus memantapkan skil lakonan.

“Saya akui memang saya tidak berapa arif tentang kisah Cindua Mato. Justeru, saya perlu lakukan kajian yang lebih mendalam supaya penonton yang hadir nanti tidak kecewa dengan lakonan dan penghayatan dalam ketika pementasan nanti,” ujarnya yang berasal dari Melaka.

Selain Remy, pelakon ternama lain yang turut terlibat sama dalam teater tersebut ialah Datuk Jalaluddin Hassan, Vanidah Imran, Azhan Rani, Ashraf Muslim dan Ebby Yus.

Randai ialah kesenian tradisional yang terkenal dalam kalangan masyarakat Minangkabau yang berasal dari Sumatera Barat dan telah berkembang ke seluruh nusantara termasuk di Negeri Sembilan.

Tiket menyaksikan naskhah arahan Lokman Ghani yang berharga RM25, RM55 dan RM85 tersebut boleh dibeli menerusi laman web, www.airasiaredtix.com atau datang terus di kaunter tiket Istana Budaya.

Previous Post Next Post