Ewal banyak sertai program alam sekitar


DI sebalik kariernya sebagai penyanyi dan pelakon, Ewal juga aktif memperjuangkan pemuliharaan dan kesedaran alam sekitar.

Bahkan, Ewal atau nama sebenarnya, Iqwal Hafiz Ismail pernah dipilih sebagai ikon Anugerah Remaja Perdana Rakan Muda (ARPRM) Tahap Emas Peringkat Kebangsaan 2015 oleh Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.

Bukan itu saja, penyanyi yang menduduki tangga ketiga program realiti Akademi Fantasia 2014 ini juga rajin turun padang dan terlibat sama dalam kerja-kerja pemuliharaan alam sekitar.

"Ya, saya memang suka dengan alam semula jadi. Saya juga kerap melibatkan diri dalam kerja-kerja sebegini terutamanya dengan golongan belia iM4U.

"Kami pernah sama bergotong-royong dan terlibat dalam kerja sukarelawan bagi membantu mangsa banjir di Pahang," katanya kepada Zass.

Demi menarik khalayak untuk terlibat sama dengan kegiatan alam sekitar yang dilakukannya, Ewal ternyata punya cara sendiri.

"Kalau dalam persembahan, saya akan menyanyikan lagu-lagu yang berunsur alam.


"Pada masa sama, saya juga ada blog mengenai alam sekitar iaitu Iqwal The Singing Traveller. Dalam blog itu, saya akan memuat naik segala aktiviti berkaitan alam sekitar," katanya.

Terbaharu, anak kepada bekas vokalis kumpulan Wings, Mel ini akan melibatkan diri dalam program Save Our Rainforest Race 2016 (SORR) pada 26 Mac ini di Pusat Pelancongan Pendidikan Eco-Edutourism, Hutan Simpan Sungai Menyala, Port Dickson, Negeri Sembilan.

Dianjurkan Pertubuhan Pelindungan Khazanah Alam Malaysia (Peka), SORR2016 merupakan acara jalan kaki bertemakan alam sekitar yang melibatkan penanaman anak-anak pokok di tempat yang disediakan.

Selain Ewal, rakan-rakan SORR yang turut terlibat menjayakan acara tersebut termasuklah Keith Foo, Kim Raymond, Amy Search, Johan Raja Lawak, Ozlynn, Najwa Latiff, Thanuja, Syafik Malik, Harick Azha, Imelda Harris dan Razif Yahya.

Dalam perkembangan lain, berbicara mengenai karier seninya, Ewal mengakui semuanya kini sedang berjalan dengan sangat lancar meskipun perlu mengharungi pelbagai cabaran getir.

"Alhamdulillah, setiap cabaran yang dihadapi membuatkan saya kuat untuk terus berjuang.

"Setiap cabaran itu tidak membuatkan saya berputus asa atau berpatah balik.

"Bahkan, kini saya sedang giat mempromosikan single terbaharu, Seluruh Hidup," katanya.

Artikel Selepas
« Artikel Selepas
Artikel Sebelum
Artikel Sebelum »