Farid Kamil lebih menghargai filem


DIANA DANIELLE - Buat masa ini, Diana hanya fokus pada anak dan keluarga. Insya-Allah, dia akan kembali berlakon dan menyanyi pertengahan tahun ini. Sebagai suami, saya tidak pernah menghalangnya untuk terus aktif dalam bidang seni.

Tiada istilah untuk mengekalkan eksklusif diri, Farid Kamil masih memberi ruang pada dirinya untuk mengambil tawaran berlakon drama. Buat masa ini, drama Qanun 99, lakonannya di samping Yana Samsudin masih ditayangkan di saluran Astro Oasis (saluran 106).

Sungguhpun begitu, suami kepada pelakon Diana Danielle itu mengakui, dirinya terikat dengan ideologi untuk lebih menghargai filem sejak di menara gading lagi.

“Ketika mengambil ijazah dalam jurusan Seni Persembahan di Universiti Teknologi Mara dahulu, saya sudah didedahkan dengan cara pembikinan filem. Disebabkan itu, saya lebih menghargai peluang beraksi di layar lebar berbanding televisyen. Pada saya, filem mempunyai nilai tersendiri dan ia tidak sama dengan drama bersiri,” ujarnya kepada Sensasi Bintang.


Tidak pasti sama ada ideologinya itu berkesan atau tidak, namun bagi Farid, sekurang-kurangnya dia mempunyai hala tuju apabila memilih untuk mendalami bidang lakonan dan pengarahan filem.

“Pendekatan untuk memberi fokus kepada pembikinan filem banyak membantu perjalanan karier saya. Di samping itu, saya mahu kerja lakonan saya dihargai. Bukan sekadar dilihat dan dilupai,” ungkapnya optimis.

Rentetan daripada itu, pelakon berusia 35 tahun itu juga mengambil masa yang lama untuk menghasilkan filem terbaharunya selepas kali terakhir muncul dengan filem PE3 pada 2012.

“Sebagai pelakon senior dan juga pengarah, saya mementingkan kualiti dan kesempurnaan dalam menggarap sesebuah karya. Pada masa sama, saya juga mementingkan nilai komersial supaya dapat menarik penonton ke pawagam.

“Karya terbaharu saya juga perlu menonjolkan kematangan daripada pelbagai sudut merangkumi pengarahan, konsep, jalan cerita dan ideologi. Disebabkan itu, saya mengambil masa yang lama untuk menghasilkan sesebuah filem,” luahnya yang pernah menghasilkan filem V3 Samseng Jalanan pada tahun 2010 dan Kongsi pada 2011.

Artikel Selepas
« Artikel Selepas
Artikel Sebelum
Artikel Sebelum »