Fattah Amin Sedia Dikritik Jadi Hos DFKL


Fattah Amin sedia menerima kritikan daripada peminat apabila bakal muncul buat pertama kali sebagai hos Drama Festival Kuala Lumpur (DFKL) pada 19 Mac ini.

Pelakon Fattah Amin sedia menerima sebarang kritikan daripada peminat berhubung penampilannya sebagai pengacara Drama Festival Kuala Lumpur (DFKL) yang bakal berlangsung pada 19 Mac ini.

Fattah atau nama sebenarnya Abdul Fattah Mohd Amin, 25, berkata, teguran yang bakal diterimanya nanti akan diambil sebagai pembelajaran dan pengajaran memandangkan ia adalah kali pertama dia muncul sebagai hos sebuah acara anugerah siaran secara langsung.

"Saya terbuka dengan sebarang kritikan dan teguran membina memandangkan ini adalah pengalaman pertama saya. Jujurnya saya berdebar juga kerana ia adalah sebuah acara yang besar.

"Bagaimanapun saya akan cuba memberikan terbaik pada malam anugerah itu nanti kerana ini adalah peluang keemasan saya," katanya kepada mStar Online.

Fattah bakal bergandingan dengan aktres Amyra Rosli dan penyampai radio Hot FM, Fizi pada acara yang bakal berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada pukul 9 malam.

Dalam pada itu, Fattah berkata, dia pada awalnya keberatan untuk menerima tawaran tersebut kerana bimbang tidak dapat melaksanakan tanggungjawab diberikan dengan baik.



Fattah dan Amyra bakal bergandingan sebagai hos DFKL.

Bagiamanapun kata Fattah, dia sedar sekiranya dia menolak ia menjadi satu kerugian kepadanya memandangkan dia turut meminati bidang pengacaraan.

"Ini adalah peluang saya untuk menerokai bidang pengacaraan meskipun pada awalnya agak gementar apabila memikirkan ia sebuah acara yang besar dan siaran secara langsung.

"Tawaran ini saya ambil sebagai cabaran kepada saya dalam meningkatkan karier seni ke tahap lebih tinggi," ujarnya.

Sementara itu, aktres Amyra Rosli yang ditemui berkata, pengalaman sebagai pengacara Bintang RTM 2016 (BRTM 2016) banyak memberinya keyakinan untuk menggendalikan DFKL.

Namun kata Amyra, itu tidak bererti dia boleh berasa selesa dan akan memastikan ketiga-tiga mereka membuat persediaan mencukupi agar penampilan mereka pada acara itu berjalan lancar.

Alhamdulillah ada sedikit pengalaman tetapi paling penting kena buat perancangan dan latihan memandangkan saya digandingkan dengan dua lagi pengacara," jelasnya.

Dalam perkembangan lain, Fattah berkata, dia kini sedang sibuk menjalani penggambaran drama bersiri Ketupat Palas dan Mr. Handsome bersama Mira Filzah.

Selain itu juga, dia bakal memasuki set telefilem bersempena Hari Raya Aidilfitri iaitu Raya Kami dan Hello Mr. Perfect Raya.

Previous Post Next Post