Hakim Zahar mahu belajar lebih banyak dalam lakonan


Hakim Zahar

PENTAS Drama Festival Kuala Lumpur (DFKL) 2015 adalah platform yang membuka ruang buat Ahmad Nurulhakim Ahamad Zaharuddin, 25, atau Hakim Zahar mengejar impiannya bergelar pelakon.

Selain mendapatkan pengalaman daripada komen yang diberikan pihak juri berpengalaman, platform itu juga sekali gus telah mengembangkan bakatnya apabila dia dilamar Suhan Movies dalam menjayakan telefilem, Tetamu Ramadan yang dijangka menemui penonton Jun ini.

“Oktober tahun lalu saya memilih untuk hadir ke uji bakat DFKL yang mana ia juga dibuka untuk semua kakitangan Media Prima di mana saya bertugas.

“Memandangkan minat dalam lakonan telah tertanam sejak kecil, jadi saya tidak mahu mensia-siakan peluang yang ada.

“Alhamdulillah, uji bakat ini berhasil apabila saya ditawarkan berlakon dalam telefilem terbitan Suhan Movies di samping pelakon lain seperti Aeril Zafril, Wawa Zainal dan Namron.

“Lebih buat saya gembira apabila tawaran yang datang adalah sesuatu yang besar apabila saya diberi kepercayaan membawa watak sampingan utama walaupun ini kali pertama saya berlakon,” katanya.

Menyedari masih mentah dalam lakonan, Hakim enggan mementingkan dirinya sendiri dan terpaksa melepaskan watak tersebut kepada pelakon yang lebih berpengalaman.


“Malik adalah teman baik kepada watak utama yang dimainkan oleh Aeril. Watak ini sangat berat kerana Malik berperwatakan seorang yang alim dan dia selalu mengingatkan teman baiknya untuk melakukan kebaikan.

“Untuk menjayakan watak ini saya perlu memberikan penghayatan dan mainan emosi yang kuat sehinggakan saya akui tidak mampu lakukannya.

“Alhamdulillah, mereka memahami situasi saya dan menggantikan watak Malik kepada seorang doktor untuk saya.

“Walaupun lebih ringan, watak doktor itu masih memiliki cabarannya yang tersendiri,” katanya.

Positif dengan situasi itu, Hakim akui masih banyak perkara perlu diperbaiki dalam bakat lakonannya.

“Kalau diikutkan, pada awalnya saya agak keberatan untuk melepaskan watak Malik, tapi saya tidak mahu mementingkan diri sendiri. Lagi pun saya takut prestasi saya hanya mencacatkan telefilem tersebut.

“Memang sebagai pendatang baharu, saya memerlukan pendedahan yang lebih tapi saya sedar tahap saya masih baru dan tidak mahu memperjudikan nama produksi,” katanya.

Belum puas

Enggan berpuas hati dengan pencapaian pertamanya, Hakim sekali lagi mencari pengalaman berharga dengan menyertai uji bakat DFKL 2016 yang diadakan baru-baru ini semata-mata untuk mendapatkan komen daripada juri yang terlibat iaitu pelakon dan penerbit, Sheila Rusly.

“Pemenang untuk bakat baharu DFKL 2016 akan berpeluang memegang watak utama dalam slot Akasia.

“Selain tujuan itu, saya cuba hadirkan diri dalam sesi uji bakat ini untuk mendapatkan komen daripada juri yang saya sangat kagumi.

“Sebagai seorang yang hebat dalam industri ini, saya mahu mendengar apa pendapatnya mengenai lakonan saya,” katanya.

Biarpun gementar di depan juri, Hakim akui itu bukan halangan buat dirinya untuk berikan persembahan yang baik.

“Terus terang ketika itu saya agak gugup apabila juri meminta saya digandingkan bersama pelakon Mira Filzah untuk menghidupkan situasi lakonan ketika uji bakat itu.

“Peluang tidak selalu datang, jadi saya cuba buat yang terbaik. Saya gembira apabila juri memberikan komen yang memberangsangkan walaupun terdapat beberapa kekurangan yang ditegur ketika itu.

“Sekurang-kurangnya, bakat saya telah dilihat dan saya juga tidak mahu berhenti untuk mencuba dan memperbaiki kelemahan yang ada terutamanya dari segi teknik lakonan,” katanya penuh bersemangat.

Artikel Selepas
« Artikel Selepas
Artikel Sebelum
Artikel Sebelum »