Irma Hasmie Keluarga lebih utama



PELAKON Irma Hasmie mengakui keutamaannya hanya kepada keluarga berbanding perkara lain.

Meskipun kerjayanya sebagai pelakon masih berjalan seperti biasa, namun setiap tawaran diterima tidak mengganggu jadualnya terhadap keluarga.

“Selepas berkahwin keutamaan memang kepada keluarga, dan sekarang saya sudah punya dua anak, jadi perhatian akan lebih kepada mereka,” katanya.

Jelasnya, kerana itu dia juga menerima tawaran lakonan yang sesuai dengan personalitinya sahaja.

“Selain bertudung, batas seorang isteri dan ibu adalah panduan saya menerima sebarang kerja.

“Asal tiada pertembungan antaranya, saya akan terima,” katanya baru sahaja muncul menerusi telefilem Abi di TV Alhijrah baru-baru ini.

Kerana itu juga, hos program Assalamualaikum ini sangat menitik beratkan jadual kerja yang telah disusun.


“Jadual kerja sangat penting dalam hidup saya. Saya tidak mahu kerja-kerja saya tidak mengikut apa ditetapkan.

“Bimbang menyusahkan keluarga dan diri sendiri, lagi pun anak-anak dalam proses membesar,” kata ibu kepada Redza Syah Irfhan dan Irma Nur Naylie ini.

Mengakui bidang pengacaraan menjadi kerjaya tetapnya kini, kata Irma, dia selesa menjadi hos kerana waktu kerja lebih fleksibel.

“Selain menjadi hos, saya juga sedang memberikan fokus kepada perniagaan diusahakan saya dan suami, Redza.

“Ia di bawah label My Usrah Gallery. Terdapat pelbagai produk dihasilkan seperti aksesori lelaki iaitu kopiah dan cap dengan jenama Woow.

“Manakala bagi wanita dengan jenama Debumas,” katanya.

Tidak hanya fokus terhadap kerjaya lakonan, pengacaraan dan perniagaan, Irma terus mendapat kepercayaan pelbagai pihak untuk menjadi duta syarikat mereka.

“Sehingga kini saya masih menjadi wajah kepada tudung D'Haja.

“Terbaru, saya dilantik menjadi duta bagi produk kesihatan kulit Nurwajah,” katanya.

Artikel Selepas
« Artikel Selepas
Artikel Sebelum
Artikel Sebelum »