Jamal, Misha bergabung rai peminat


KELUNAKAN vokal yang dimiliki dua nama besar iaitu Datuk Jamal Abdillah dan Misha Omar tidak perlu dinafikan lagi, malah ramai peminat sering menantikan kemunculan mereka dalam persembahan khas.

Sempena bulan meraikan setiausaha, buat julung kalinya Music Production selaku penganjur bakal menampilkan gandingan dua penyanyi bersuara merdu yang bakal berlangsung di Taming Sari Grand Ballroom, The Royale Chulan selaku lokasi rasmi, 29 April ini.

Selaku wakil penganjur dan hotel, Farah Halim memberitahu persembahan itu tidak hanya terbuka buat mereka yang bergelar setiausaha malah beri ruang kepada peminat yang mahu sama-sama berhibur mendekati penyanyi kesayangan.

“Kelainan yang kami bawakan untuk persembahan kali ini adalah ia dilakukan pada jam 8.30 malam di mana kebiasaannya minggu setiausaha dilakukan pada waktu tengah hari.

“Ini kerana kami mahu memberi sesuatu yang lebih istimewa kepada para setiausaha dan juga peminat yang hadir lebih memiliki masa bersiap untuk penampilan lebih menarik memandangkan tema pada malam itu adalah glamor.

“Selain itu juga kami mahu memastikan mereka yang hadir dapat menikmati persembahan yang lebih santai tanpa terikat dengan waktu yang singkat,” jelasnya ketika sidang media Minggu Setiausaha Datuk Jamal Abdillah dan Misha Omar.

Mengulas lebih lanjut, Farah memberitahu majlis istimewa ini tidak hanya menampilkan dua figura popular ini sahaja malah seorang lagi nama besar, iaitu Adibah Noor turut memeriahkan malam tersebut selaku pengemudi majlis.

“Selama lebih dua jam persembahan dijalankan, penonton yang hadir juga bakal disajikan persembahan istimewa daripada Adibah.

“Melihatkan keserasian tiga selebriti ini, kami yakin persembahan pada malam itu akan menjadi satu persembahan luar biasa dan menghiburkan,” katanya.


Tiket untuk menyaksikan persembahan ini dijual pada harga RM5500 (perak), RM6,500 (emas) dan RM7500 (platinum) setiap satu meja.

Manakala bagi mereka yang berminat untuk mendapatkan tiket eksklusif boleh membuat tempahan dengan menghubungi pihak music.messee@gmail.com.

Janjikan kepuasan peminat: Jamal Abdillah

Bersesuaian dengan tema untuk golongan setiausaha yang diraikan, Jamal bakal mendendangkan seleksi lagu popularnya seperti Azura, Kekasih Awal Dan Akhir, Gadis Melayu dan beberapa lagu lain.

“Sebenarnya saya bukanlah penyanyi yang gemar membuat gimik. Setiap kali persembahan, saya hanya tonjolkan vokal dan lagu-lagu popular.

“Dalam persembahan solo selama lebih kurang 30 minit, saya akan menyampaikan beberapa lagu dan selebihnya saya akan memenuhi permintaan peminat yang hadir untuk memilih tajuk lagu yang mereka ingin saya nyanyikan,” katanya.

Sementara itu, Jamal turut meluahkan rasa teruja untuk berganding bersama Misha dan juga pemuzik, Halen Yap yang akan mengiringi persembahan pada malam itu.

“Saya dan Misha sebelum ini hanya berpeluang membuat persembahan biasa sahaja, tetapi pada malam itu mungkin ia lebih istimewa. Kali ini saya sangat teruja untuk bekerjasama dengan Halen yang pastinya bakal memberi saya satu pengalaman yang menakjubkan.

“Saya sangat berharap peminat akan mengambil peluang ini untuk hadir bersama-sama berhibur bersama kami,” katanya.

Hamil bukan penghalang: Misha

Biarpun sedang hamil, namun itu bukanlah penghalang buat pelantun Bunga-Bunga Cinta ini menjanjikan persembahan terbaik malah lebih bersemangat apabila digandingkan dengan penyanyi kesukaannya, Datuk Jamal Abdillah.

“Alhamdulillah, sepanjang kehamilan ini saya tidak mengalami sebarang alahan ataupun stamina.

Insya-ALLAH pada persembahan itu nanti saya akan cuba buat yang terbaik untuk menghiburkan peminat yang hadir.

“Lagipun saya sangat teruja kerana dapat bergandingan dengan penyanyi yang saya anggap idola dan sudah pasti tidak akan mensia-siakan peluang seperti ini,” katanya.

Misha berkata, pada malam itu nanti, dia akan menyampaikan beberapa lagu popularnya.

“Kali terakhir saya terlibat dengan persembahan seperti ini adalah hampir 10 tahun lalu.

“Jadi kali ini saya mahu memberikan sesuatu yang istimewa kepada setiausaha dan peminat yang hadir,” ujarnya bersemangat.

Previous Post Next Post