Jihan Muse Sah Bergelar Isteri Ungku Hariz


Dengan sekali lafaz, pelawak dan pengacara popular Jihan Muse selamat bergelar isteri kepada pelakon Ungku Hariz Faizal, 31, kira-kira pukul 3.22 petang Ahad.

Jihan atau nama sebenarnya Nuur Jihan Musa, 33, dan Ungku Hariz, disatukan sebagai suami-isteri dalam sebuah majlis sederhana yang diadakan di Laman Kayangan, di sini.

Pasangan itu dinikahkan oleh bapa pengantin perempuan Musa Abdul Aziz bersaksikan Pendaftar Kanan Perkahwinan, Cerai dan Rujuk Pejabat Agama Islam Daerah Petaling, Muhamad Sujak Muhamad Dasuki.

Jihan yang anggun mengayakan pakaian pereka fesyen Rizman Ruzaini menerima mas kahwin berjumlah RM300 daripada Ungku Hariz, manakala jumlah wang hantaran dirahsiakan.

Pengantin lelaki memberi lima dulang hantaran, manakala pihak perempuan turut membalas lima dulang hantaran.


Majlis pernikahan kedua-dua mempelai dihadiri kira-kira 300 jemputan yang terdiri daripada keluarga dan kenalan rapat pengantin.

Dalam pada itu, Jihan menzahirkan rasa syukur kerana hubungan yang terjalin selama sembilan tahun itu berakhir ke jinjang pelamin.

“Saya bersyukur dan gembira kerana semuanya berjalan dengan lancar walaupun persiapan dilakukan pada saat-saat akhir kerana kesibukan kami berdua dengan komitmen kerja.

“Saya berharap perkahwinan akan berkekalan ke akhir hayat kami dan diberkati. Walau kami sudah lama berkawan masih banyak lagi perkara yang perlu kami pelajari selepas berkahwin,” katanya.

Sementara itu, majlis resepsi pasangan yang bertemakan klasik akan diadakan pada 27 Mac ini di Menara Naza TTDI, Shah Alam.

Terdahulu, majlis berinai berlangsung dengan meriah di Laman Qaseh, Gombak dekat sini pada malam Jumaat lalu.

Artikel Selepas
« Artikel Selepas
Artikel Sebelum
Artikel Sebelum »