Jihan Muse Tak Mahu Ambil Ringan Tugas Sebagai Isteri


Pelawak Jihan Muse memberitahu tidak mahu terlalu mengambil ringan terhadap tanggungjawab yang sepatutnya dilakukan selepas bergelar seorang isteri.

Jihan atau nama sebenarnya, Nuur Jihan Musa, 33, berkata, biarpun perlu memberitahu suami setiap apa yang dilakukan, perkara itu sebenarnya bukan perlu diambil mudah.

"Selepas bergelar isteri sudah tentu tanggungjawab kita lebih besar dan apa juga yang kita lakukan perlu beritahu kepada suami berbeza dengan kehidupan bujang dahulu.

"Saya tidak mahu ambil ringan tentang perkara itu dan nasib baik juga sepanjang sembilan tahun kami bercinta ini dia sudah melatih saya untuk sentisa beritahu apa yang saya lakukan," ujarnya kepada mStar Online.



Jihan berkata demikian ketika ditemui pada majlis pernikahannya yang diadakan di Laman Kayangan, di sini, petang Ahad. Jihan selamat dinikahkan dengan pelakon Ungku Hariz, 31, dengan sekali lafaz dalam sebuah majlis sederhana yang dihadiri 300 orang tetamu.

Pasangan tersebut dinikahkan sendiri oleh bapa pengantin perempuan iaitu Musa Abdul Aziz.

Sementara itu, Jihan berkata, percintaan selama sembilan tahun membuatkan dia dan suaminya lebih matang dalam mengendalikan sebarang masalah.

"Hubungan kami sudah sembilan tahun dan boleh dikatakan agak matang sebab dulu sudah bergaduh dan tahu perangai masing-masing.

"Bagi saya yang penting ialah komunikasi walaupun kami masing-masing sibuk dengan kerjaya. Namun saya tidak menafikan kata orang kehidupan berkahwin berbeza daripada bercinta dan saya harap kami dapat laluinya dengan baik," ujarnya.

Dalam pada itu, bercakap tentang cahaya mata, Jihan berkata, pada umur yang sudah mencecah 30an, dia berharap dapat dikurniakan cahaya mata secepat mungkin.

Dia mengimpikan untuk mempunyai sebuah keluarga yang sempurna dengan anak-anak sebagai penyeri rumah tangga.
"Saya tidak ada rancangan untuk anak, tapi kalau boleh saya ingin cepat sebab umur saya bukan muda lagi," ujarnya.

Sementara itu, Ungku Hariz berkata, dia tidak meletakkan sebarang syarat untuk wanita itu meneruskan kerjayanya sebagai selebriti selepas berkahwin. Katanya, apa yang penting Jihan dapat menjaga maruah dan dirinya sendiri seperti mana yang dilakukan sebelum ini.

"Kerjaya dan kehidupan kami akan berjalan seperti biasa, saya juga tidak larang atau letak syarat apa-apa selepas bergelar isteri.

"Saya percaya dan berharap dia pandai menjaga diri sendiri," ujarnya.

Artikel Selepas
« Artikel Selepas
Artikel Sebelum
Artikel Sebelum »