Johan, Ozlyn tidak mahu mendesak anak-anak


PASANGAN selebriti popular, Johan dan isterinya, Ozlynn Wati memberi kepercayaan sepenuhnya kepada anak-anak mereka dalam menentukan soal masa depan.

Kata Johan atau nama sebenarnya, Muhammad Yazid Lim, tanggungjawab mereka sebagai ibu bapa terus menjadi pendorong kepada anak demi masa depan mereka.

"Masa depan? Terpulanglah kepada anak-anak sendiri mahu jadi apa. Kami tidak mahu memaksa.

"Bergantunglah kepada apa yang mereka belajar, tahu dan apa yang hendak dilakukan. Kami sudah bekalkan mereka dengan ilmu dan agama. Itulah bekalan untuk mereka yang akan dibawa untuk masa depan nanti.

"Sebagai ibu bapa, kami hanya jadi pendorong dan membimbing agar tidak tersalah jalan," katanya kepada Zass ketika ditemui pada malam kemuncak Anugerah MeleTOP Era 2016 (AME2016).

Dalam pada itu, Johan mengakui faktor keselamatan menjadi penyebab utama untuk tidak mendedahkan anak-anak dalam lapangan seni hiburan mahupun media sosial.


Malah, pelawak berusia 32 tahun itu menegaskan kehidupan sebagai selebriti hanyalah melibatkan dirinya dan isteri.

Atas dasar itu juga, pasangan ini lebih selesa membiarkan anak-anaknya menjalani kehidupan sederhana seperti kanak-kanak normal lain.

"Jujurnya, saya memang tidak suka anak-anak saya jadi perhatian. Semuanya atas faktor keselamatan.

"Lagi satu, hanya saya dan isteri jadi artis manakala anak-anak saya tiada kena mengena dalam bidang ini, jadi saya rasa tidak perlu mereka dihebohkan.

"Sebab itu, apabila ada yang tawarkan untuk menjalani penggambaran di rumah saya, memang saya tidak minat," katanya.

Pada majlis itu, Johan dan isteri dinobatkan sebagai Couple MeleTOP mengalahkan empat pasangan lain iaitu Hairul Azreen & Hanis Zalikha, Nabil Ahmad & Zira, Yusry & Lisa Surihani serta Fadzil Zahari & Yana Samsudin.

Tambah Johan, kejayaan itu hasil cara mereka sekeluarga menjalani kehidupan secara sederhana seperti orang lain sekali gus mampu menarik minat masyarakat.

Previous Post Next Post