Kejutan konsert Ella


Himpunan seramai 110 orang pemuzik dan penyanyi untuk flashmob konsert Ella berjaya dicatat dalam Malaysia Book Of Records sebagai rekod himpunan paling ramai setakat ini.

JIKA diamati, 2016 bagai menjadi medan perlumbaan bagi kebanyakan artis tidak kira lama dan baharu untuk mengadakan sebuah konsert dalam skala kecil atau besar.

Tidak melepaskan peluang yang ada, demi meraikan ulang tahun ke-30 pembabitannya dalam bidang seni, Ratu Rock negara Ella juga bakal menggegarkan Stadium Malawati, Shah Alam, Selangor untuk Konsert Ella 2016 pada 16 April nanti.

Teruja dan tidak sabar, dua perasaan sebegitu tetap melekat kuat dalam jiwa penyanyi kelahiran Klang, Selangor itu biarpun sudah banyak kali mengadakan konsert besar. Sementelah, tempoh 30 tahun adalah satu jangka masa yang panjang buat seorang penyanyi melalui sepak terajang dunia hiburan.

Jika boleh dihimpunkan semua rasa tentang jatuh bangun Ella dalam dunia hiburan, barangkali Konsert Ella 2016 akan merangkumkan bingkai-bingkai perjalanan seninya yang dihimpun dalam untaian lagu dendangannya kelak.

Malah, bukan Ella sahaja yang berasa perasaan seumpama itu, tetapi juga buat para peminatnya yang sudah lama mahu ‘bersanding’ dengan Ella mendendangkan untaian hitnya yang tidak pernah mati. Kerinduan tersebut telah lama terpendam selepas Ella kali terakhir mengadakan konsert berskala besar 15 tahun lalu iaitu Konsert Ella 10 Tahun pada 1995 di Roof Top, Sungai Wang, Kuala Lumpur.

Seperti mana Ella melihat Konsert Ella 2016 akan menjadi sebuah persembahan gemilang, begitu juga harapan besar yang disandarkan peminat terhadap ratu rock negara itu.

“Perasaan berdebar tetap ada walaupun sudah berada dalam industri selama 30 tahun. Saya selalu fikir untuk memberikan yang terbaik buat peminat yang hadir dan ia adalah perasaan normal bagi semua artis,” katanya membuka bicara saat usai sidang akhbar konsert berkenaan di Pusat Pelancongan Malaysia (Matic), Jalan Ampang baru-baru ini.


Bersenam

Terdahulu, sebelum sidang akhbar berlangsung, Ella terlibat dengan sebuah gimik flashmob yang menyaksikan himpunan seramai 110 orang pemuzik dan penyanyi terdiri daripada pelajar Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara). Seramai 30 orang pemain dram, 30 pemain gitar, 20 pemain bass dan 30 orang penyanyi terlibat bersama menyanyikan lagu popular Ella iaitu Permata Pemotong Permata.

Menjanjikan kelainan, selain menggunakan helikopter pada pembukaan tirai konsert, ada kejutan yang ingin dilakukan Ella khas buat peminatnya. Konsert tersebut bakal digamatkan dengan kehadiran pemuzik-pemuzik handalan antaranya Man Kidal (pengarah muzik), Lord (Ella & The Boys), Bunkface, Amy Search dan Korie.

“Selain helikopter, saya bawakan barisan pemuzik handalan yang sering bersama saya dalam persembahan antaranya The Boys. Walaupun sudah lama tidak beraksi bersama tetapi saya yakin keserasian yang ada antara kami akan memudahkan persembahan.

“Insya-Allah, akan ada kejutan lain buat peminat. Tetapi, maaf saya tidak boleh dedahkan sekarang sebab nanti sudah tidak jadi kejutan kalau peminat tahu,” selorohnya manja.

Sengkang tempoh 15 tahun tidak terlibat dengan konsert mega sebegitu pasti memberi dimensi berbeza buat penyanyi berambut hitam lebat tersebut.

Pada usia 50 tahun kini, ada banyak perkara yang menjadi kebimbangannya. Untuk itu, beliau kini sering mengunjungi gimnasium untuk melakukan senaman, malah tidak pernah meninggalkan aktiviti joging.

Tiket laris


BERSATU - Ella membariskan pemuzik handalan yang bakal mengiringi persembahan konsertnya seperti Man Kidal (belakang), Lord daripada The Boys, Korie dan Amy Search.

“Sebagai persediaan dari segi fizikal, saya terpaksa rajinkan diri pergi ke gimnasium untuk bersenam dan berjoging lebih kerap daripada kebiasaan.

“Bukannya apa, lagipun sekarang berat badan saya sudah naik. Jadi, saya perlu lebih bersenam untuk memastikan stamina saya tidak terjejas semasa konsert nanti,” ujarnya yang mengalami penambahan berat badan sebanyak 10 kilogram.

Diusik dengan soalan nakal, adakah kenaikan berat badan itu disebabkan kehamilan, Ella hanya ketawa manja. Katanya, beliau tidak terguris jika ramai pihak mengandaikan perkara tersebut, namun mendoakan agar ia menjadi kenyataan suatu hari nanti.

“Bukannya hamil, tetapi saya yang sudah gemuk. Lagipun, saya memang gemar mengenakan pakaian yang longgar dan memberikan keselesaan untuk saya bergerak. Jadi, mungkin daripada situ orang fikir saya sudah berbadan dua.

“Tetapi, saya anggap ia sebagai satu doa yang baik-baik daripada semua pihak yang ingin melihat saya menimang cahaya mata suatu hari nanti. Doa-doakan lah,” ujarnya.

Pada saat banyak konsert berbayar kurang mendapat sambutan, situasi tersebut berlainan dengan Ella. Sama seperti auranya sejak dahulu, tiket konsert anjuran Atlas One Events Sdn. Bhd. itu sudah pun terjual melebihi 60 peratus.

“Alhamdulillah, daripada segi rakan kongsi, persediaan persembahan, lagu-lagu yang dipilih dan mental saya sendiri, semuanya berjalan dengan lancar.

“Mungkin pada awalnya saya agak khuatir juga memikirkan banyak perkara negatif seperti sambutan peminat, tetapi apabila diberitahu bahawa penjualan tiket yang sangat memberangsangkan. Perkara tersebut lantas melenyapkan kegusaran saya,” katanya yang akan membawa lebih daripada 20 buah lagu pada konsert tersebut.

Tambahnya lagi, melihat kepada perkembangan teknologi terkini yang memudahkan urusan karier, beliau turut berasa lega apabila melihat platform media sosial sangat membantu dalam penjualan tiket.

“Kalau zaman dahulu, suasana sangat berbeza sebab artis hanya boleh uar-uarkan mengenai konsert atau apa sahaja persembahan menerusi radio, televisyen atau surat khabar.

“Berbeza dengan sekarang, zaman sudah jauh berubah. Teknologi di hujung jari dan semua lapisan masyarakat boleh menggunakannya. Melalui dua fasa berbeza membuatkan saya bersyukur sebab diberi peluang merasai kedua-dua zaman yang menyaksikan banyak perubahan berlaku.

“Dengan adanya media sosial, ia sangat membantu penjualan tiket dan daripada situ saya boleh mendekati peminat dengan lebih rapat. Saya melihat masih ramai peminat tidak kira muda dan tua yang sangat teruja untuk datang ke konsert saya,” katanya.

Konsert tersebut turut mendapat penajaan syarikat-syarikat korporat antaranya Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam), Matic dan Aswara yang bertindak selaku rakan strategik. Sebanyak RM2 daripada kutipan penjualan tiket akan disalurkan ke tabung Pemadam untuk memastikan lebih banyak aktiviti anti dadah dapat dijalankan selepas ini.

Tahun sibuk

Ternyata tahun 2016 bukan tahun ‘makan angin’ Ella. Usai mengadakan konsert, Ella bakal muncul dengan sebuah album baharu tidak lama lagi.

“Perancangan awal saya sebenarnya untuk mengeluarkan album terlebih dahulu sebelum konsert, tetapi tidak sempat kerana terlalu sibuk dengan jadual kerja yang padat.

“Jadi, saya fikir lebih baik keluarkan single terlebih dahulu sebelum konsert berlangsung. Kemungkinan besar, dua buah lagu iaitu Abstrak Hujan dan Ku Sedia akan diterbitkan bersama Universal Music,” ujarnya.

Malah, disebabkan terikat dengan jadual padat konsertnya, isteri kepada juruterbang Firefly, Kapten Azhar Ghazali itu terpaksa menunda persembahan Minggu Setiausaha bersama Ella yang sepatutnya berlangsung pada 27 April nanti.

“Disebabkan kedua-dua acara tersebut berlangsung dalam tempoh masa terlalu rapat, jadi saya terpaksa tundakan ke satu tarikh lain yang akan diumumkan kelak. Saya bimbangh badan akan terlalu penat dan peminat yang akan menerima tempiasnya.

“Insya-Allah, selepas konsert nanti saya akan ambil masa untuk bercuti terlebih dahulu sebelum menyambung dengan agenda minggu setiausaha dan pelancaran album pula,” tutupnya.

Artikel Selepas
« Artikel Selepas
Artikel Sebelum
Artikel Sebelum »