Kembara jiwa Mizz Nina


SEJAK mengambil keputusan untuk berhijab pada tahun 2013, Mizz Nina yang sebelum ini dikenali sebagai penyanyi, memperlahankan rentak karier nyanyiannya. Biarpun begitu, jiwanya masih melekat kuat dengan bidang lain yang bersangkut paut dengan dunia seni tanah air.

Mizz Nina terus menggunakan penghijrahan itu untuk mengabdikan seluruh jiwanya kepada ilmu agama. Terkini, dia bakal muncul dalam sebuah program bual bicara berbahasa Inggeris, Into Taqwa With Mizz Nina di stesen TV AlHijrah bermula 20 Mac ini pukul 2 petang.

Program berkenaan merupakan bual bicara yang memfokuskan tentang pelbagai topik antaranya, perkahwinan, dunia remaja dan bagaimana mengawal kemarahan.

Bersiaran sebanyak 13 episod, program berkenaan membariskan beberapa tokoh agama terkenal dari seluruh dunia antaranya, pendakwah bebas, Sheikh Daood Butt, Sheikh Issam Rajab dan Haleh Banani, bekas pelakon yang memeluk Islam dan menggunakan nama Muslim Belal (nama asalnya Ashley Chin) dan pelatih profesional, Dr. Mona Yati Md. Kassim.

Bertemu pemilik nama Shazrina Azman itu selepas majlis pelancaran program tersebut di Talent Lounge, Damansara Perdana baru-baru ini, ada banyak cerita mengenai sisi dirinya untuk dikongsi bersama peminat.

Selain berjinak-jinak dalam dunia pengacaraan, dia yang pernah popular dengan lagu Around The World itu turut berkongsi mengenai sisi bahagia bersama suami tercinta, Noh Salleh.

Dunia baharu

“Konsep program ini sangat berbeza dengan mana-mana program yang sedia ada di stesen TV AlHijrah sebab ia berbahasa Inggeris. Saya sangat teruja dan tidak sangka diberi kepercayaan mengendalikan rancangan ini.

“Apa yang membuatkan saya terima ialah kerana selain konsep bual bicara yang membolehkan kita menimba ilmu tentang agama, saya rasa inilah peluang untuk saya mengasah bakat menjadi pengacara pula,” ujarnya yang kali pertama bergelar pengacara.


Muncul dengan program bual bicara Into Taqwa With Mizz Nina untuk saluran TV AlHijrah, Mizz Nina menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa perantaraan program tersebut.

Selain menjadi perantara antara tokoh-tokoh ilmuwan dengan masyarakat, peluang tersebut dijadikan paltform segera buat Mizz Nina untuk menimba ilmu agama dengan lebih telus.

“Saya seorang yang suka bertanya banyak perkara terutama membabitkan hal agama. Jadi, apabila berpeluang bertemu ramai pakar dan tokoh ilmuwan menerusi program ini, ia sebenarnya membantu saya untuk menjadi seorang muslimah yang lebih baik.

“Banyak lagi perkara yang saya perlu belajar. Sebab itu saya letakkan diri sebagai seorang pelajar ketika mengendalikan program ini dan itulah kelebihan menjadi seorang pengacara,” katanya bersungguh-sungguh.

Masih merangkak mencari rentak, Mizz Nina akui, terselit sedikit cabaran untuk menjadi seorang pengacara. Biar mengaku tidak banyak cabaran kerana program tersebut bersifat santai, namun masih ada kekangan yang perlu dihadapinya.

Hal itu adalah sewaktu proses rakaman yang memerlukan dia sentiasa fokus untuk menerima arahan daripada pengarah yang juga penerbit program tersebut, Syafina Othman menerusi fon telinga untuk sesi iklan.

“Malah, perkara utama yang perlu saya tekankan ketika menjalani penggambaran ialah solat tepat pada waktunya. Kerja sebegini tidak kira waktu, sebab itu saya perlu menjaga solat kerana ia keutamaan bagi setiap orang,” ujarnya yang meminta tunjuk ajar dunia pengacaraan daripada Ras Adiba Radzi.

Bercakap mengenai personaliti dan pengacara hebat Ras Adiba, Mizz Nina mengaku, mengagumi wanita itu kerana tidak pernah lokek berkongsi ilmu kepadanya.


Keluarga

Mengajak wanita itu berbicara tentang kehidupan peribadinya, dia yang telah enam tahun mendirikan rumah tangga, mengakui hidupnya bahagia dikurnia seorang suami yang penyayang seperti Noh.

Biarpun masing-masing begitu sibuk dengan jadual kerja, namun Mizz Nina berkata, mereka sentiasa mencari jalan untuk memastikan dapat meluangkan masa bersama-sama tidak kira secara peribadi ataupun melibatkan kerja.


Minatnya untuk banyak bertanya tentang pelbagai topik membabitkan agama membuatkan Mizz Nina tidak kekok mengendalikan program Into Taqwa With Mizz Nina yang bersiaran di stesen TV AlHijrah.

“Kami tidaklah terlalu sibuk, tapi selalunya akan cari masa untuk bersama tidak kira dalam bentuk kerja atau aktiviti. Kadang-kadang, kami akan menyertai program bersama-sama, atau ada juga pergi bercuti sama seperti pasangan lain.

“Insya-Allah, pada hujung April ini saya dan suami akan bertolak ke Jordan untuk menyertai sebuah konsert amal 1Moment4Them bagi membantu mengumpul dana untuk masyarakat Syria dan Palestin. Turut serta dalam program ini ialah Aizat Amdan, Faizal Tahir dan Mu’adz Dzulkefly,” kongsinya.

Tidak lokek berkongsi cerita tentang suami, Mizz Nina dalam nada berseloroh memberitahu bahawa vokalis Hujan itu kini mempunyai minat baharu iaitu menunggang motosikal berkuasa tinggi.

“Walaupun dia selalu berjalan ke banyak tempat dengan motosikal, tetapi saya tidak pernah ikut sebab jujurnya saya sangat takut membonceng motosikal berkuasa tinggi seperti itu.

“Cukuplah kalau bersiar-siar sekitar rumah atau pergi ke kedai serbaneka berhampiran kawasan rumah sahaja, itu sudah cukup. Kalau bawa pergi jauh-jauh, tidak mungkin saya akan naik motosikal,” ujarnya sambil ketawa.

Sementara itu, selepas berehat daripada dunia nyanyian, Mizz Nina bakal mengeluarkan sebuah album yang mengandungi dendangan lagu-lagu berkonsep puisi atau spoken word.

Katanya, idea tersebut muncul selepas memikirkan konsep tersebut masih belum pernah dihasilkan oleh mana-mana penyanyi di negara ini.

“Pengisian lagu-lagu dalam album itu nanti semuanya berbentuk penyampaian puisi dan liriknya pula semuanya menjurus kepada dakwah, agama dan perkara positif sahaja.

“Mungkin masyarakat di negara kita masih belum biasa dengan album berkonsep sebegitu tetapi saya percaya, nilai mesej yang cuba disampaikan menerusi lagu-lagu itu nanti akan berjaya menambat hati semua golongan termasuklah belia. Ia adalah salah satu cara menarik untuk kita berdakwah,” jelasnya.

Previous Post Next Post