Kes Awie, Rozana selesai, Awie minta maaf


PENYANYI Rock Awie dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan mencederakan bekas isterinya Rozana Misbun oleh Mahkamah Majistret Ampang hari ini selepas kedua-dua pihak bersetuju kes diselesaikan dengan cara membayar kompaun RM10,000 dan Awie memohon maaf.

Vokalis kumpulan Wings, yang nama sebenarnya ialah Ahmad Azhar Othman, 48, kemudiannya memohon maaf secara terbuka kepada Rozana, 38.

"Saya Ahmad Azhar Othman dengan tulus ikhlas dan suci hati, dengan mengambil kira kebajikan anak-anak dan demi menjimatkan masa mahkamah yang mulia ini, dengan ini mengemukakan permohonan maaf kepada Rozana.

"Saya dan Rozana bersetuju bahawa ini merupakan jalan terbaik untuk menyelesaikan episod hitam di dalam hidup kami bagi meneruskan perjalanan hidup kami masing-masing," kata penyanyi itu yang memakai kot dan kemeja serba hitam pada prosiding yang sepatutnya ditetapkan untuk perbicaraan.

Terdahulu, Majistret Ayuni Izzati Sulaiman bertanyakan Rozana sama ada dia bersetuju kesalahan bekas suaminya dikompaun sebanyak RM10,000 dan wanita itu yang memakai kemeja putih dan berselendang hitam menganggukkan kepalanya.

"Memandangkan kedua-dua pihak bersetuju kesalahan ini diselesaikan mengikut Seksyen 260 Kanun Acara Jenayah, mahkamah dengan ini bersetuju dan membenarkan kompaun RM10,000 dibayar kepada pengadu (Rozana) dan mahkamah melepas dan membebaskan tertuduh daripada tuduhan tersebut.


"Selepas ini teruskan dengan kehidupan baharu, ambil yang manis, buang yang pahit," katanya.

Mahkamah turut memerintahkan wang ikat jamin RM9,000 dipulangkan semula kepada Awie.

Bapa kepada lima anak yang popular dengan lagu Tragedi Oktober membayar kompaun itu.

Mahkamah sebelum ini mendengar keterangan lapan saksi pihak pendakwaan termasuk Rozana.

Pada 4 Julai 2014, Awie mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan mencederakan Rozana di sebuah rumah di Taman Ukay Bistari, Ukay Perdana, Hulu Kelang pada jam 1.30 tengah hari, 2 Jun 2014 di Mahkamah Majistret Ampang.

Penyanyi itu bagaimanapun sekali lagi didakwa dan minta dibicarakan di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur atas pertuduhan mencederakan Rozana di kaunter PNB Jalan Tun Razak di sini pada pukul 3 petang, 2 Jun 2014.

Awie yang diiringi sembilan rakan ketika ditemui pemberita meluahkan rasa lega dan gembira kerana kes itu dapat diselesaikan dengan baik.

"Sekiranya kes ini berlanjutan, ia tidak memberi apa-apa faedah kepada saya, masa depan, kerjaya dan anak-anak. Ini adalah satu perkara yang paling baik. Insya-ALLAH saya boleh meneruskan kehidupan dan kerja saya dengan lebih baik selepas ini.

"Terima kasih pada mahkamah, peguam, keluarga dan kawan-kawan saya yang banyak membantu dan memberi sokongan kepada saya selama ini," katanya.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Zuhaini Mahamad Amin dan Goh Ai Rene manakala Awie diwakili peguam Hazman Harun.

Artikel Selepas
« Artikel Selepas
Artikel Sebelum
Artikel Sebelum »