Kesederhanaan Isi Hati Nadira Adnan


Nadira

MELIHAT pada senarai komposer yang terlibat dalam pembikinan album sulung Nadira Adnan, Isi Hati, pelantun suara berusia 19 tahun itu boleh dikatakan bertuah kerana berpeluang menyanyikan karya yang dicipta komposer dan penyanyi tersohor Indonesia, Ahmad Dhani.

Nadira dilihat bijak mengatur perjalanan karier nyanyiannya apabila dia memberi sepenuh kepercayaan kepada pengasas Dewa itu untuk menggarap single pertamanya, Cinta Datang Dan Pergi. Lebih istimewa, single berentak pop balada tersebut turut menampilkan vokal anak sulung kepada Ahmad Dhani, Al.

Sedikit mengecewakan, sentuhan Ahmad Dhani dalam Cinta Datang Dan Pergi kedengaran persis lagu-lagu kumpulan Dewa yang lain, sehingga tidak menampakkan sisi segar paduan vokal penyanyinya. Tetapi, Nadira dan Al bijak memainkan peranan agar pendengar tidak bosan mendengar keseluruhan lagu tersebut.


Selain Al, Nadira turut berpadu suara dengan Glenn Fredly menerusi trek Love Will Find A Way. Ditulis sepenuhnya dalam bahasa Inggeris, Nadira begitu selesa melantunkan irama R&B secara santai dan bersahaja.

Menerusi album ini, Nadira turut membuktikan bahawa dia berupaya untuk membawakan lagu bernada tinggi menerusi lagu Cinta Apa Macam Begini.

Lagu-lagu lain yang turut terkandung dalam Isi Hati termasuklah I’m In Love, Ini Tuh Tak Baik, Sayang, Ketulusan Cinta, Januari Yang Indah, Isi Hati dan Ku Tak Peduli.

Album yang baru sahaja dipasarkan ini turut mengandungi sekeping cakera video digital (DVD) yang memuatkan klip video lagu Isi Hati, Cinta Datang Dan Pergi dan Cinta Apa Macam Begini.

Artikel Selepas
« Artikel Selepas
Artikel Sebelum
Artikel Sebelum »