Konsert 20 tahun Siti Nurhaliza giat jalani latihan


PENYANYI nombor satu negara, sudah mula giat menjalani latihan menjelang konsert Datuk Siti Nurhaliza & Friends yang akan diadakan pada 2 April depan di Stadium Negara.

Selain Siti, konsert itu turut menampilkan penyanyi Anggun, Afgan, Chakra Khan, Faizal Tahir dan Hafiz Suip.

Menurut pengurusnya, Rozi Abdul Razak, Siti sudah mula menjalani latihan vokal dan stamina di rumah.

“Konsert itu nanti menjadi antara konsert penting buat Siti kerana April juga merupakan ulang tahun ke-20 beliau dalam industri seni.

“Konsert ini juga menyaksikan gandingan Siti bersama rakan-rakannya dan istimewanya ke semua artis undangan ini akan menyanyikan lagu Siti nanti,” ujarnya kepada Zass.

Rozi berkata, selain latihan, Siti juga sibuk menghadiri perbincangan, apatah lagi buat pertama kalinya, pelantun lagu Milikmu Selamanya ini akan bekerjasama dengan pengarah muzik dari Amerika Syarikat, Jkey.


“Biasanya Siti akan bekerjasama dengan Aubrey Siwito sebagai pengarah muziknya, tapi atas cadangan dari pihak Yonder Music, Siti setuju untuk bekerjasama dengan Jkey.

“Bagaimanapun Aubrey akan turut serta sebagai salah seorang pemuzik Siti kelak,” katanya.

Tambah Rozi, meskipun pernah mengeluarkan kenyataan untuk berehat seketika dari aktiviti seni, Rozi menjelaskan, Siti hanya akan mengurangkan aktiviti seni besar seperti konsert, namun aktiviti lain akan berjalan seperti biasa.

Pada konsert itu nanti, pelanggan Celcom XPAX berpeluang menyaksikan konsert tersebut secara percuma.

“Bagi peminat bertuah yang membeli tiket, pihak Yonder Music dan Celcom juga ada merancang untuk menganjurkan makan malam buat peminat bertuah bersama Siti sehari selepas konsert itu nanti,” akhirinya.

Previous Post Next Post