Kutipan filem Munafik pecah rekod



PENGARAH dan pelakon filem terkenal, Syamsul Yusof melahirkan rasa syukur atas sambutan yang diterima buah tangan terbaharunya, Munafik yang sudah mencatat kutipan RM17 juta setelah 26 hari ditayangkan.

Menurut Syamsul, jauh di sudut hatinya untuk melihat filem islamik dakwah dilihat sebagai antara filem yang berjaya di negara ini.

“Dengan izin ALLAH ,filem kerdil ku, Munafik telah pecah rekod perfileman Malaysia, Singapore, Brunei.

“Alhamdulillah. Masih hangat di pawagam sekarang. Ada lagi dua minggu di pawagam,” katanya melalui kemas kini di Facebook.

Syamsul berharap kejayaan itu membuatkan hati semua pihak semakin kukuh iman dan takwanya.


“Jagalah hubungan dengan Tuhan. Moga ALLAH reda dengan kejayaan ini. Jangan sesekali kita was-was dengan kuasa Tuhan.

“ALLAH Maha Mendengar doa juga rintihan semua hamba. Menangislah wahai mata untuk Tuhanmu. Yakinlah dengan doa hamba pada Tuhan di mana sahaja terutamanya di bumi penuh berkat dilimpahi rahmat ini,” katanya.

Munafik yang juga filem ke-39 terbitan Skop menampilkan bintang seperti Nabila Huda, Fizz Fairuz, Sabrina Ali, Pekin Ibrahim, A Galak dan Syamsul sendiri.

Munafik mengisahkan tentang seorang pengamal perubatan Islam bernama Adam lakonan Syamsul, yang tidak dapat menerima hakikat apabila isterinya meninggal dunia.

Adam melalui pelbagai pengalaman pelik apabila dipujuk untuk mengubati seorang wanita bernama Maria lakonan Nabila Huda yang diganggu syaitan.

Artikel Selepas
« Artikel Selepas
Artikel Sebelum
Artikel Sebelum »