Lambat dikenali, Shiqin Kamal tak gusar


NAMA Shiqin Kamal dalam lapangan seni barang kali masih kedengaran agak asing. Namun gadis berusia 25 tahun ini pernah mencatat sejarah tersendiri dalam karier lakonannya.

Masakan tidak, baru sahaja menjinakkan diri dalam arena lakonan, Shiqin sudah diberi kepercayaan untuk membawakan watak utama dalam filem Lagenda Budak Setan.

Namun kerana kekangan masa sebagai penuntut pada ketika itu, Shiqin terpaksa menolak pelbagai tawaran yang datang silih berganti.

“Ketika itu saya masih menuntut di Universiti Teknologi Mara (UiTM), jadi kerana tidak mahu ketinggalan kuliah, jadi saya terpaksa menolak banyak tawaran.

“Namun dek kerana keputusan saya itu, ramai yang ingat saya tidak mahu berlakon dan lama-lama orang mula lupa saya.

“Saya kini sudah tamat penggajian dalam jurusan Sarjana Muda Sains Aktuari. Jadi saya rancang untuk terus aktif selepas ini,” ujarnya kepada Zass.


Biarpun masih kurang dikenali, dalam diam, Shiqin sudah berlakon dalam lapan buah filem termasuk yang terbaharu, Warna Cinta Impian selaku teraju utama filem berkenaan di samping pendatang baharu, Erwin Dawson, Erra Fazira dan Awie.

Malah dia juga berbesar hati diberi kepercayaan memegang watak utama menerusi naskhah berkenaan.

“Banyak kenangan manis semasa berlakon filem ini dan paling penting jalan ceritanya berlainan ditambah dengan penampilan pelakon terkenal iaitu Erra dan Awie,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Shiqin baharu sahaja selesai menjalani penggambaran drama bersiri Seharum Rindu musim kedua dan telefilem Hantu Malam Raya untuk siaran pada Aidilfitri depan.

“Alhamdulillah sejak muncul menerusi drama Cinta Si Wedding Planner dan membawa watak antagonis, orang mula mengenali saya.

“Tapi saya bimbang juga bila bawa watak jahat, ada pula yang membenci. Malah ketika saya membawakan watak sebagai Shirah, sudah ada yang merenung sahaja bila berjumpa saya.

“Bagaimanapun ia tidak bererti saya hanya mahu bawakan watak baik sahaja selepas ini, ia bergantung juga pada kesesuaian,” jelasnya.

Artikel Selepas
« Artikel Selepas
Artikel Sebelum
Artikel Sebelum »