Lelaki takluk keseluruhan Kilauan Emas Otai


Sepuluh peserta yang layak ke Konsert Kilauan Emas Otai musim ini.

SEMEMANGNYA program realiti berbentuk nyanyian tidak pernah dipandang sepi bagi peminat-peminat industri hiburan negara.

Bahkan, jika diamati, program sedemikian yang wujud dalam saluran rancangan di televisyen bukan sahaja dikhususkan untuk penyertaan daripada kelompok muda-mudi sahaja tetapi ada juga khas buat mereka yang berada dalan zon usia emas.

Paling jelas sekali, sudah pasti program Kilauan Emas yang berjaya mencatatkan rating penonton yang tinggi setiap kali ditayangkan di kaca televisyen. Maka, tidak hairanlah, selepas lima musim bersiaran, tahun ini program yang sama itu diberi sedikit sentuhan kelainan apabila tampil dengan nama program Kilauan Emas Otai.

Signifikan perkataan Otai itu sendiri apabila musim ini kesemua lima orang juara musim terdahulu dihimpunkan kembali untuk beraksi dipentas yang sama beserta lima lagi peserta lain yang layak melepasi pusingan Hot Seat.

Lima juara yang bakal bertanding semula ialah Ali Norpiah (Ali), 51; Ahmad Fuad Zaharullail (Fuad), 48; Mior Yazid Ahmad (Mior), 47; Omar Sharif Mat Din (Arip), 44, dan Mustaffa Rasyid Abd. Jabar (Mustar), 47.

Membuka tirai pada Rabu lalu yang bersiaran secara langsung di Pusat Konvensyen CIDB, Cheras, Kuala Lumpur, seramai 10 peserta yang pernah melayakkan diri ke Kilauan Emas sebelum ini berentap di pusingan Hot Seat bagi merebut tempat ke peringkat sepenuhnya. Daripada jumlah itu, empat daripadanya merupakan peserta wanita.

Tumpuan pada malam itu sudah pasti terletak kepada 10 peserta yang bertanding bagi merebut lima lagi tempat kekosongan untuk berentap bersama lima bekas juara musim terdahulu.

Secara keseluruhan aksi para peserta semuanya hebat-hebat belaka. Menariknya, format minggu pertama, lagu-lagu yang dipersembahkan peserta pada malam itu bukanlah lagu yang sudah ditentukan, sebaliknya ia merupakan lagu pilihan peserta sendiri yang diberi kebebasan untuk membawakan lagu mengikut cita rasa mereka.



Pengacara Raja Azura dan Zara Zya merupakan pengacara yang mengendalikan program Kilauan Emas Otai kali ini.

Ia secara tidak langsung memberi satu kelebihan kepada peserta untuk mengetengahkan kekuatan vokal masing-masing mengikut genre muzik pilihan sendiri.

Bagaimanapun, konsert penentuan itu mengejutkan banyak pihak apabila tiada seorang pun peserta wanita berjaya menempatkan diri masing-masing ke peringkat seterusnya. Hanya wajah peserta lelaki sahaja yang bakal menghiasi pertandingan pada musim ini, sekali gus bakal mencipta sejarah sekali lagi apabila peserta lelaki bakal bergelar juara untuk edisi keenam ini.

Lima peserta yang berjaya melayakkan diri ialah Benasil Kudong (Ben), 65; Wan Muhammad Logan Wan Abdul Rahman (Elji), 44; Idris Mohd. Shabidin (Idris), 54; Mohammad Nasiruddin Mohd. Hashim (Nas), 45, dan Silahudin Ali (Silah), 55.

Ironinya, pada pusingan penentuan itu, ia bukanlah berdasarkan daripada pemilihan undian penonton, tetapi kelayakan mereka ditentukan sepenuhnya daripada juri profesional.

Juri tetap yang dipertanggungjawabkan untuk mengadili persembahan dan kemampuan vokal peserta adalah Datuk Ramli MS dan Erra Fazira. Bagaimanapun, pada konsert pembukaan minggu pertama itu, komposer dan penyanyi Edry Abdul Halim turut dijemput sama bagi menjadi juri undangan.

Secara keseluruhan, pada persembahan minggu pertama, agak sukar untuk menentukan lima orang yang layak untuk dipilih mendapatkan tempat pada minggu seterusnya memandangkan kesemua mereka mempunyai kelebihan tersendiri.

“Pemilihan peserta yang layak pada malam ini dipilih berdasarkan kemampuan vokal mereka secara keseluruhan. Saya tidak melihat kemampuan mereka pada malam ini sahaja, tetapi saya melihat dari skop yang lebih luas iaitu kemampuan vokal mereka pada cabaran minggu-minggu akan datang.

“Mereka yang terpilih ini merupakan peserta yang boleh memberikan cabaran kepada bekas-bekas juara. Tekanan kepada peserta akan lebih tinggi dalam minggu yang akan datang. Kita sendiri pun tidak tahu apa akan jadi dengan nasib mereka. Mungkin bekas juara itu akan terkeluar minggu depan,” jelas Ramli ketika diminta mengulas mengenai keputusan kelayakan peserta pada malam itu.

Sudah pasti antara yang menjadi persoalan adalah kegagalan peserta wanita untuk terpilih pada malam penentuan itu. Ini kerana, antara peserta yang diramal layak ke peringkat seterusnya ialah Shamsiah Mohd. Said, 54.


Persembahan Elji antara yang mendapat pujian daripada juri.

Membawakan lagu Akulah Kekasihmu nyanyian asal Francissca Peter, secara mata kasar, Shamsiah merupakan peserta wanita yang mendapat sorakan paling kuat daripada penonton ketika melakukan persembahan. Bahkan, dia juga menjadi satu-satunya peserta pada malam itu yang diminta menyanyikan semula lagu pilihannya buat kali kedua tanpa iringan muzik atas permintaan Ramli.

Namun, sayangnya, sewaktu keputusan diumumkan, tiada langsung nama peserta wanita diumumkan. Justeru Erra selaku juri menjelaskan bahawa, setiap peserta sudah diberikan pemarkahan yang sewajarnya mengikut persembahan mereka.

“Saya sudah berikan markah kepada mereka tetapi mungkin apabila dicampurkan dengan markah yang diberikan oleh juri-juri lain, secara total, mereka tidak berada dalam lima yang teratas itu,” jelas Erra.

Sungguh pun begitu, tambah Ramli, persembahan para peserta kali ini menunjukkan banyak perubahan yang lebih baik berbanding di awal pembabitan mereka ketika menyertai Kilauan Emas sebelum ini.

“Saya lihat mereka nampak lebih selesa membuat persembahan di atas pentas. Mungkin selepas keluar dari program sebelum ini, mereka banyak menerima undangan membuat persembahan di luar. Jadi, mereka rasa lebih yakin dan tahu untuk berinteraksi dengan lebih baik,” katanya.

Juara akan membawa pulang wang tunai sebanyak RM150,000 beserta trofi, naib juara RM50,000 dan tempat ketiga sebanyak RM30,000 beserta trofi setiap satu.

Artikel Selepas
« Artikel Selepas
Artikel Sebelum
Artikel Sebelum »