Lisa tidak buka akaun Instagram untuk Yahaira


KATA Lisa, masanya kini banyak dihabiskan di rumah bagi memberi perhatian kepada anak sulung hasil perkongsian hidup bersama Yusry, Yahaira.

TUGAS sebagai seorang ibu merupakan satu tanggungjawab yang berat. Banyak perkara perlu diambil kira dan diberi perhatian termasuklah menjaga keperluan harian dan pembahagian masa bersama keluarga dan anak.

Bagi pelakon dan pengacara, Lisa Surihani, sentiasa berada di samping puteri tersayang, Yahaira Leanne adalah satu kemestian dalam rutin hariannya. Walaupun terpaksa mendahulukan tugas sebagai seorang anak seni, namun, keperluan Yahaira tetap menjadi keutamaan.

Berkesempatan bertemu dengannya pada majlis Sarapan Pagi Bersama Bintang Sempena Academy Awards ke-88 di Hotel Hilton, Kuala Lumpur baru-baru ini, Lisa berkata, dia banyak menghabiskan di rumah sejak bergelar ibu.

Tambah Lisa, mengambil keputusan untuk berenggang dengan karier buat sementara waktu ternyata berbaloi saat melihat perkembangan Yahaira, yang kini berusia lima bulan bersama suaminya, Yusry Abdul Halim.

Dalam pada itu, bercakap mengenai fenomena Instagram anak selebriti, Lisa berkata, dia dan Yusry tidak akan mendaftar sebarang laman sosial untuk anaknya tetapi memberi kebebasan untuk berbuat demikian apabila Yahaira telah mencapai umur yang matang.

KOSMO!: Apa khabar Lisa? Bagaimanakah kehidupan selepas hampir lima bulan bergelar ibu?

LISA SURIHANI: Khabar baik. Rutin harian saya masih sama dan tidak banyak yang berubah. Banyak masa dihabiskan di rumah untuk menjaga Yahaira.

Adakah anda mengambil keputusan untuk berehat dalam jangka masa yang lama daripada dunia hiburan?

Tidak juga. Ada beberapa jemputan majlis hiburan yang saya penuhi. Begitupun, saya pastikan masa di luar tidak terlalu lama kerana Yahaira masih menyusu badan.


Masih menolak tawaran lakonan?

Tawaran masih ada tetapi tetap dipertimbangkan. Alhamdulillah, kebanyakan produksi memahami keadaan saya dan Yahaira. Jadi, ada antara mereka yang boleh bertolak ansur terutama dalam cara dan waktu bekerja.

Bagaikan sudah menjadi trend anak artis mempunyai akaun Instagram sendiri. Adakah Lisa bercadang untuk berbuat perkara yang serupa?

Saya dan Yusry telah bersetuju untuk tidak membuka sebarang akaun media sosial untuk Yahaira. Bukan saya menidakkan cara orang lain untuk membesarkan anak, tetapi, setiap individu mempunyai pilihan masing-masing. Namun, Yahaira berhak membuat keputusan sendiri apabila dia sudah dewasa kelak.

Bagaimanakah pula dengan tawaran bergelar duta atau berlakon pada usia muda?

Terpulang kepada anak saya sendiri. Mengambil contoh sewaktu masih kecil, ibu pernah membawa saya ke sebuah sesi uji bakat. Namun, saya tidak mahu meneruskan sesi tersebut kerana terlalu malu. Tetapi, apabila sudah meningkat dewasa dan faham mengenai situasi dalam industri, saya mula bersifat terbuka. Jadi, cara yang sama akan saya terapkan kepada Yahaira.

Boleh kongsikan perkembangan terbaharu anda?

Buat masa ini, tiada sebarang projek besar cuma saya dan Yusry bakal muncul dengan sebuah program berunsur kekeluargaan tidak lama lagi.

Previous Post Next Post