Maksud Hidup karya terbaharu Suhaimi Saad


SUHAIMI dan isterinya Ina Naim bakal membuat kemunculan menerusi sebuah lagu duet berjudul Jutawan Pemurah.

PEJAM celik, rupa-rupanya sudah 10 tahun Suhaimi Saad bergerak secara solo sebagai penyanyi nasyid selepas meninggalkan kumpulan In-Team suatu ketika dahulu. Dia kini meneruskan kecintaan dalam muzik nasyid dengan alunan lagu-lagu kerohanian.

Hadir dengan album baharu berjudul Maksud Hidup, Suhaimi atau nama lengkapnya, Mohd. Suhaimi Saad, 36, mahu membawa pendengar menyusuri maksud kehidupan sebagai hamba Allah di muka bumi ini.

Penantiannya selama dua tahun berbaloi apabila album terbitan Arteffect International itu dianggap sebagai album terbaik yang pernah dirakamkan selepas 10 tahun perjalanan kerjayanya sebagai penyanyi nasyid solo.

Bertemu dalam satu sesi fotografi di Studio Utusan baru-baru ini, Suhaimi membuka kisah di sebalik penghasilan album berkenaan. Tidak sendirian, dia ditemani si isteri tercinta, Nordiana Mohamad Naim, 32, atau lebih dikenali sebagai Ina Naim.

“Album ini merupakan hasil kerjasama saya dengan Hafiz Hamidun tetapi dinyanyikan sepenuhnya oleh saya. Ia mengambil masa selama dua tahun untuk disiapkan kerana kesibukan jadual antara saya dan Hafiz yang memaksa kami menangguhkan proses pembikinannya.

“Bagaimanapun, alhamdulillah album Makna Hidup berjaya disiapkan dan telah pun dilancarkan sekitar Disember tahun lalu,” ujarnya membuka bicara.

Mempertaruhkan lagu Cinta Sidna sebagai single utama dalam album tersebut, Suhaimi berkata, album yang memuatkan lapan buah lagu itu sarat dengan alunan zikir dan selawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

Jelas Suhaimi, dia sengaja memilih Makna Hidup sebagai judul untuk album terbaharunya itu kerana ingin mengajak peminat memahami erti kehidupan sebenar dengan cara mencari ketenangan melalui jalan yang benar.

“Jika kita lihat hari ini, ramai manusia yang leka. Mereka ingin mencari ketenangan tetapi dengan cara yang salah dan terikut-ikut budaya Barat. Sedangkan ketenangan yang abadi boleh dicapai melalui agama.

“Sebenarnya, alunan zikir dan selawat merupakan terapi yang boleh membawa kepada ketenangan. Melalui zikir, secara tidak langsung bantuan rahmat dan kasih sayang Allah akan hadir dalam diri insan, sekali gus memberi makna dalam kehidupan,” ujarnya.


Duet dengan isteri

Selain sibuk mempromosikan album terbaharu, Suhaimi juga dalam perancangan menghasilkan sebuah lagu duet dengan isterinya, Ina Naim.

Katanya, hasrat untuk menghasilkan lagu duet pernah disuarakan sejak dahulu lagi tetapi ia terpaksa dipendam buat sementara waktu kerana memberi laluan kepada isteri membesarkan anak-anak.

“Selain merupakan projek duet pertama, kami juga ingin membawa kelainan kerana belum ada lagi lagu nasyid dibawakan secara berduet oleh pasangan penyanyi suami isteri. Kami akan membawakan single bertajuk Jutawan Pemurah yang masih lagi mengekalkan konsep ketuhanan.

“Biarpun tajuknya tiada unsur ketuhanan tetapi sebenarnya ia membawa maksud mendalam iaitu ingin mengajak orang bersedekah dan membantu golongan yang susah,” jelasnya yang mendapat idea membuat lagu dan lirik Jutawan Pemurah sempena mempromosikan produk makanan kesihatan, Medigion keluaran syarikatnya.

Sementara itu, Ina meluahkan keterujaan dengan kemunculan pertamanya selepas 10 tahun tidak bernyanyi. Dia tidak sabar untuk merakamkan lagu Jutawan Pemurah kerana ingin mengajak orang ramai berdakwah melalui lagu tersebut.

Bahkan baginya, penampilan sebagai wanita berniqab juga langsung tidak mengganggu karier nyanyian kerana ia bukan wajib untuk di pakai.

“Matlamat saya untuk kemunculan kali ini lebih kepada ingin berdakwah dan meluaskan ilmu agama. Biarpun mungkin akan dikecam khalayak, namun saya tidak kisah kerana perasaan yang kuat untuk berdakwah mempertahankan agama.

“Ketika bernyanyi nanti, saya akan membuka niqab untuk memudahkan nyanyian,” katanya yang akan memulakan proses rakaman dalam masa terdekat.

Hasil daripada perkongsian hidup dengan Suhaimi, mereka kini dikurniakan empat orang cahaya mata iaitu, Ehmad Hadie El Fardie, 8, Sallman El Khoyri, 6, Phyrosh El Fadwah, 4, dan Nurlayla El Ghufrony, 2.

Bakal mengikut jejak langkah ibu bapa yang bergelar penyanyi, dua anak mereka Ehmad Hadie dan Sallman kini dalam proses mengeluarkan album yang mengandungi doa dan alunan selawat.

Artikel Selepas
« Artikel Selepas
Artikel Sebelum
Artikel Sebelum »