Melodi bahagia Akim & Stacy


DERUMAN enjin motosikal berkuasa tinggi menggegarkan suasana di pekarangan Dewan Maktab Sultan Abu Bakar, Johor Bahru, Johor hujung minggu lalu.

Sebaik deruman enjin lenyap, muncul pasangan pengantin baharu yang diraikan iaitu Akim Ahmad dan isteri tercinta, Stacy Anam dengan berpakaian busana pengantin klasik moden berwarna coklat bersulamkan benang berwarna perak hasil rekaan Raffiey Nasir.

Senyuman terukir di bibir kedua-dua mempelai jelas melontarkan aura bahagia pasangan pengantin baharu itu selepas hampir sebulan melayari bahtera perkahwinan.

Diraikan dalam majlis yang penuh meriah, penyanyi Akim, 25, atau nama sebenarnya, Afiq Akim Ahmad dan Ummu Shaikhah Stacy Anam atau Stacy, 26, disambut dengan paluan kompang selain tarian zapin Melayu oleh pelajar-pelajar Sekolah Kebangsaan Sri Permas.

Setelah hampir sebulan bergelar suami isteri, Akim mengakui sedang melayari fasa bahagia bersama isterinya, Stacy, selepas selamat diijabkabulkan pada 5 Februari lalu di Hotel Shangri-La, Kota Kinabalu, Sabah.

Kata Akim: “Alhamdulillah, perkahwinan ini melengkapkan hidup saya kerana sekarang ada isteri yang cantik yang boleh menjaga makan minum. Doakan yang terbaik supaya saya dapat menjadi seorang suami dan bapa yang baik untuk keluarga kecil ini.”

Stacy dengan sifat manjanya di sisi suami turut mencelah, menyatakan bahawa Akim mempunyai sifat kebapaan yang penyayang apabila lelaki itu menzahirkan kasih sayang terhadap anak angkatnya, Bella atau Bella De Luna Velentine yang kini menginjak usia empat tahun.

“Anak angkat saya, Bella turut teruja dengan majlis pernikahan kami ini. Malah, dia menganggap dirinya akan turut berkahwin pada hari ini, bersama-sama saya dan Akim.



Mengimpikan keluarga besar, pasangan ini mahu memiliki enam orang anak.

“Hubungan Bella dan suami juga memang sudah rapat sebelum berkahwin lagi. Walaupun begitu, saya tahu Bella memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan keadaan ini. Dahulu, dia memang panggil suami saya dengan gelaran Uncle Akim tetapi sekarang ada juga sekali-sekala dia panggil papa,” ujar Stacy.

Saat ditanya mengenai perancangan masa hadapan rumah tangganya, pelantun lagu yang memenangi Anugerah Juara Lagu ke-30, Potret bersama band The Majistret itu berkata, dia mengimpikan untuk memiliki anak yang ramai suatu hari nanti.

“Masih terlalu awal untuk berbicara soal zuriat tetapi saya tidak kisah jika diberi rezeki memiliki anak dalam masa terdekat. Saya selalu percaya bahawa anak adalah rezeki.

“Kalau dapat ramai anak pun, apa salahnya. Saya suka sebab nanti suasana dalam rumah akan jadi meriah. Apa yang datang, itulah yang terbaik daripada Allah. Semoga kami dikurniakan cahaya mata yang baik-baik,” ujar Akim gembira.

Malah dalam temu bual bersama radio Era FM menerusi segmen JoHaRa, pasangan tersebut memasang impian untuk memiliki enam orang cahaya mata.

Bulan madu Eropah

Menjalani kehidupan berumah tangga dalam keadaan sederhana, pasangan merpati dua sejoli ini yang mula menyulam cinta sejak lebih dua tahun lalu belum berkesempatan untuk berbulan madu bagi meraikan perkahwinan mereka.

Mereka ada menyimpan hasrat untuk berbulan madu dengan mengelilingi Eropah secara backpacker, namun belum mempunyai sebarang perancangan mengenai percutian kerana sibuk merencana kerjaya seni masing-masing.



Kekangan masa menjadi punca utama pasangan selebriti kelahiran program Akademi Fantasia itu menangguhkan hasrat untuk menjelajah benua berkenaan buat sementara waktu.

“Saya dan Stacy merancang untuk mengelilingi Eropah sebagai backpacker (pengembara beg galas). Duduk minum menikmati kopi bertemankan pemandangan menarik. Namun buat masa ini, kami berdua sibuk dengan kerjaya seni masing-masing,” kata Akim yang menyifatkan kembara secara backpacker sebagai alternatif melancong yang menyeronokkan.

Berbicara mengenai perkongsian hidup yang baru bermula, Stacy mengakui mereka kini menjadi lebih matang dan memberi fokus terhadap keluarga berbanding sewaktu bujang dahulu.

Terdahulu, Akim dalam majlis resepsi yang bertemakan klasik kotemporari berlatarkan rona cahaya biru dan ungu turut ‘membuli’ Stacy dalam membuat persembahan selepas selesai majlis makan beradat untuk mendendang nyanyi lagu tradisional asli Melayu, Ku Bermohon Kasih sambil berduet dengan Akim.

Stacy dengan penuh selamba tanpa kekok melakukan upacara ‘buli’ itu walaupun agar sukar baginya yang merupakan anak kelahiran Sabah yang pekat dan pelat dialek Negeri Dibawah Bayu itu.

Bintang rock legenda Amy Search tidak ketinggalan tampil membuat persembahan dengan melantunkan lagu ‘berhantu’, Isabella berganding suara dengan bapa Akim, Ahmad Sulaiman yang juga rakan baik kepada penyanyi itu.

Akim selamat bergelar suami kepada Stacy dengan dua kali lafaz dalam majlis akad nikah yang diadakan di Hotel Shangri-La, Kota Kinabalu Sabah kira-kira pukul 10.15 pagi pada 5 Februari lalu.

Akim menyerahkan mas kahwin sebanyak RM300, manakala wang hantaran tidak dinyatakan selain pasangan itu dinikahkan oleh jurunikah daripada Jabatan Agama Islam Sabah, Matlin Dimin.

Pasangan bahagia tersebut mengikat tali pertunangan pada 26 September 2015 dalam sebuah majlis di Kuala Lumpur selepas hampir empat tahun menyulam kasih sebagai pasangan kekasih.

Stacy memeluk agama Islam di pejabat Jabatan Agama Islam, Johor di Johor Bahru, pada 24 Ogos 2015.

Previous Post Next Post