Menang Anugerah Beri Tekanan Buat Janna Nick


Pelakon Janna Nick memberitahu kemenangannya sebagai Aktres Pilihan menerusi drama Kau Aku Kita dalam anugerah Drama Festival Kuala Lumpur 2016 (DFKL2016), Sabtu lalu memberi tekanan kepadanya untuk memberi lakonan lebih baik.

Janna atau nama sebenarnya Nurul Jannah Muner, 21, berkata, dia juga bimbang tidak dapat mencapai tuntutan peminat untuk memberikan pencapaian lebih bagus pada masa depan.

"Kemenangan ini adalah cabaran lebih besar supaya saya terus berusaha menjadi lebih baik.

"Secara tidak langsung perasaan saya menjadi takut, saya bimbang akan menghampakan peminat selain khuatir tidak dapat memberi lakonan terbaik," ujarnya kepada mStar Online.



Janna Nick dan Syarul Ridzwan memenangi anugerah dalam Drama Festival KL 2016.

Janna berjaya merangkul dua anugerah iaitu Aktres Pilihan dan Pasangan Pilihan menerusi drama Kau Aku Kita pada majlis yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, malam Sabtu lalu.

Manakala, gandingannya Saharul Ridzwan berjaya memenangi kategori Aktor Hero Pilihan.

Sementara itu, Janna berkata, dia tidak boleh berpuas hati dengan pencapaian tersebut dan mahu berusaha untuk terus maju dalam menempa nama di industri hiburan.

"Banyak lagi yang perlu saya belajar dan kalau boleh saya tidak mahu nama saya hanya menang satu anugerah sahaja dan selepas itu senyap.

"Saya akan terus mencari jalan untuk meletakkan nama saya seiring dengan nama-nama besar dalam industri satu hari nanti," ujarnya.

Artikel Selepas
« Artikel Selepas
Artikel Sebelum
Artikel Sebelum »