Mengapa Chef Gordon Ramsay selalu marah?


Gordon Ramsay

"SAYA tidak sepatutnya berjaya sampai tahap ini," kata chef selebriti terkenal, Gordon Ramsay kepada pengacara sebuah program bual bicara di Britain.

Peliknya, kelakuan Ramsay yang merendah diri seperti dalam temu ramah antara Talk Asia dan chef 'paling garang di dunia' tersebut amat jarang berlaku.

Rupanya, Gordon yang bakal menyambut hari jadi ke-50 tahun ini berhasrat membuka cerita sebenar mengapa beliau menjadi begitu.

Gordon menjelaskan bahawa ayahnya merupakan seorang penagih alkohol, manakala ibunya bekerja sebagai tukang masak pada siang hari dan jururawat pada sebelah malam.

"Kami banyak berpindah... Saya sudah merasai 17 buah sekolah pada umur 5 hingga 16 tahun," kata Gordon.

Disebabkan persekitaran yang sering berubah, Gordon berazam untuk membawa perubahan sebenar pada diri dan keluarganya.

Gordon memperolehi populariti awal selepas muncul pada rancangan 'Boiling Point' pada 1999 yang merupakan dokumentari empat episod berkisarkan rancang beliau untuk melancarkan restorannya.


"Saya menyesal (ke atas kelakuannya) dalam rancangan tersebut. Ibu saya susah untuk keluar rumah lebih enam bulan (kerana perangainya).

"Rancangan itu kasar, brutal dan terdesak. Tetapi saya harus berjaya. Saya jual rumah saya. Segala simpanan saya disalurkan ke restoran saya," kata Gordon lagi.

Dan Gordon berjaya apabila rancangan tersebut melahirkan beberapa rancangan televisyen seperti "Ramsay's Kitchen Nightmares' dan 'Hell's Kitchen'.

Tak cukup dengan itu, buku-buku juga dihasilkan, sebuah produksi televisyen ditubuhkan dan rangkaian restorannya diluaskan lagi sehingga ke benua Asia.

Godon telah memenangi pingat Tiga Bintang Michelin dan kini memiliki 35 buah restoran yang diuruskan oleh 1,500 kakitangan.

Previous Post Next Post