Mira Filzah Beri Amaran, Jangan Menipu Guna Namanya


Mira Filzah semakin mendapat perhatian.

Pelakon Mira Filzah memberi amaran kepada mana-mana individu agar tidak menyamar dengan membuka akaun Instagram menggunakan namanya bertujuan untuk meraih pendapatan dengan cara menipu.

Mira atau nama sebenarnya Nur Amirah Filzah Badiozaman, 23, berkata, tindakan itu adalah perbuatan yang tidak bertanggungjawab kerana ia boleh memberi reputasi buruk terhadapnya sebagai seorang artis baharu.

"Ia mungkin perkara biasa dilalui bagi seseorang artis apalagi yang baru nak mencipta nama seperti saya. Awalnya saya tidak ambil pusing mengenai perkara itu kerana tidak mahu disifatkan mudah melatah.

"Namun selepas memikirkan ada individu yang tidak bertanggungjawab meraih keuntungan dengan membuka akaun menggunakan nama saya di Instagram, ia saya kira sudah melampau," katanya kepada mStar Online.

Tambah Mira Filzah, meraih keuntungan yang dimaksudkannya apabila mereka cuba membuka ruang iklan (page review) untuk dipaparkan di laman Instagram tersebut secara berbayar tetapi pada waktu yang sama cuba menjual namanya dengan mewujudkan akaun palsu.

Sehubungan itu dia tidak mahu masyarakat khususnya peminat tertipu sehingga sanggup melaburkan wang pada pihak yang salah kerana ia akan memberi impak negatif terhadap namanya.



Ini adalah akaun Instagram sebenar Mira Filzah yang mempunyai lebih 800,000 pengikut.

Mira Filzah berkata, dia tidak memerlukan sesiapa untuk mengendalikan akaun Instagram miliknya kerana adalah lebih baik dia sendiri berinteraksi dengan peminat menerusi perkongsian gambar.

"Ingin saya tegaskan di sini, saya hanya ada satu sahaja laman Instagram iaitu MFMIRAFILZAH yang mana akaun ini memang saya yang uruskan sendiri. Jadi kalau ada ternampak mana-mana page ataupun akaun lain yang menggunakan nama saya, sila abaikan," katanya.

Sehubungan itu dia turut berpesan kepada individu yang masih menggunakan namanya bagi meraih keuntungan agar berhenti berbuat demikian.

Dia juga meminta agar peminat tidak terpedaya dengan mana-mana pihak yang menggunakan namanya bagi tujuan tersebut.

"Saya bukannya sudah mati tetapi masih hidup untuk menguruskan akaun Instagram saya. Jadi tidak perlulah ada dua atau tiga Mira Filzah untuk kendalikan akaun itu," tegasnya.

Dalam pada itu Mira Filzah antara artis yang tercalon untuk Anugerah Pilihan Online 2016 (APO2016) bagi kategori Aktres Terbaik Pilihan Online.

Artikel Selepas
« Artikel Selepas
Artikel Sebelum
Artikel Sebelum »