Misha Mengandung, Suami Pula Terasa Hati


Sejak disahkan hamil anak pertama, penyanyi Misha Omar memberitahu suaminya iaitu Firos Ezzwan Rossly, 34, cepat terasa hati.

Bagaimanapun kata Misha, ia bukanlah satu perkara yang serius kerana perkara itu mungkin ada kena mengenai alahan diterima suami ketika si isteri berbadan dua.

"Kalau nak tanya keadaan kesihatan saya, jujur saya katakan saya rasa biasa-biasa sahaja apatah lagi untuk mendapat alahan dan mengidam yang bukan-bukan.

"Cuma apa yang saya perasan, sejak kebelakangan ini berlaku sedikit perubahan pada si suami di mana hatinya mudah tersentuh atau dengan kata lainnya, ‘sentap’. ‘Sentap-sentap’ manja kata orang.

"Saya tidak nafikan itu mungkin pembawakan saya yang sedang hamil. Peliknya, alahan itu tidak pula datang kepada saya ya," ujar Misha berseloroh.

Misha atau nama sebenarnya Samihah Omar, 34, ditemui pada sidang media Minggu Setiausaha bersama Datuk Jamal Abdillah di Hotel Royale Chulan, di sini, Isnin.



Misha Omar dan suaminya, Firos Ezzwan Rossly.

Dalam pada itu, Misha yang dilihat membawa seri ibu mengandung berkata, dia dan suami tidak pernah merancang untuk memiliki cahaya mata sebelum ini selain menyerahkannya pada rezeki dan ketentuan Yang Esa.

"Dua tahun usia perkahwinan kami, apa yang boleh saya katakan perkahabaran ini amat-amat membahagiakan saya dan suami. Suka saya katakan di sini, kandungan ini merupakan anak ketiga dan kehamilan pertama saya. Sebelum ini saya ada sepasang anak iaitu Muhammad Adam Emir, 10, dan Lateefa, 4.

"Alhamdulillah dalam usia kehamilan sekarang, saya masih mampu melakukan rutin harian saya sebagai seorang isteri dan ibu kepada dua anak seperti memasak dan sebagainya," katanya.

Misha dan suaminya Firos yang bekerja sebagai juruterbang Malaysia Airlines (MAS) telah diijabkabulkan pada 2 Mei 2014 di Hotel Ranaissanse Kota Bharu, Kelantan.

Mengenai Minggu Setiausaha yang bakal diadakan di hotel berkenaan pada 29 April depan, Misha menyifatkan tawaran itu sebagai rezeki kehamilannya.

"Seingat saya kali terakhir saya menjayakan Minggu Setiausaha adalah pada tahun 2005 atau 2006. Mungkin benar kata orang, ia mungkin rezeki saya sedang berbadan dua. Doa-doakanlah semuanya baik-baik saja," pintanya.

Dalam pada itu Misha Omar antara artis yang tersenarai dalam kategori Penyanyi Wanita Terhebat untuk anugerah Pilihan Online 2016 (APO2016) Anjuran mStar Online dan Suria.FM yang bakal diadakan pada 30 April 2016.

Previous Post Next Post