Mitsubishi Triton dilarikan, Remy Ishak terkilan


Kehidupan yang terdesak antara penyumbang utama banyak gejala jenayah. Demi kelangsungan hidup, manusia sanggup berbuat apa sahaja termasuk mencuri, merompak bahkan membunuh. Namun itu semua alasan yang tidak boleh diterima, apatah lagi apabila melibatkan kecuaian sendiri.

Rabu lalu, aktor popular Remy Ishak, 34, menjadi antara mangsa jenayah. Hero 29 Februari itu meluahkan kekecewaan melalui satu perkongsian tweet di laman Twitter mengenai kehilangan kenderaan pacuan empat roda 4x4 jenis Mitsubishi Triton warna hitam miliknya dilarikan ketika singgah di sebuah kedai berhampiran kawasan kediamannya di Seri Kembangan, Serdang.

Menurutnya, dia hanya meninggalkan kenderaan selama kira-kira 10 minit sebelum kembali semula untuk meneruskan perjalanan, tetapi hampa apabila mendapati kenderaannya telah lesap. Dia langsung tidak menyangka, persinggahannya pada pukul 12.30 tengah malam di sebuah kedai untuk membeli ais dengan harapan mahu meredakan bengkak di kakinya berakhir dengan tragedi.

Lebih malang buat Remy, kecuaiannya tidak mengunci kenderaan dan mematikan enjin memudahkan kerja penjenayah melarikan kenderaan tanpa perlu bersusah-payah.

Sehubungan dengan itu, Remy atau nama lengkapnya Mohammad Zalimei Ishak membuat laporan polis di Balai Polis Sri Kembangan dan berharap kereta kesayangan yang sudah enam tahun digunakan ditemui semula dengan bantuan polis dan orang ramai.

Reda dengan kejadian yang menimpa, Remy bagaimanapun terkilan kerana dalam kenderaan tersebut terdapat banyak barang berharga miliknya seperti pakaian, kasut berjenama dan alat elektronik.


ARTISMELETOP!: Boleh ceritakan apa sebenarnya yang berlaku pada malam kereta anda dicuri?

REMY ISHAK: Pada Rabu lalu, kira-kira pukul 12.30 tengah malam saya dalam perjalanan pulang daripada menjalani latihan teater muzikal Randai Cinduo Mato di Istana Budaya. Saya singgah di sebuah kedai untuk membeli ais bagi meredakan bengkak di kaki. Selepas kira-kira 10 minit selepas membeli barang di kedai tersebut, saya terkejut kerana mendapati kenderaan yang saya letak di kawasan parkir sudah hilang. Saya balik kerja dengan badan penat, kehilangan kereta secara tiba-tiba membuatkan kepenatan saya bertambah.

Adakah selepas ini anda akan lebih berhati-hati iaitu tidak meletak kereta secara semberono?

Perkara seperti ini memang tidak boleh dijangka. Saya reda dengan apa yang berlaku dan mungkin ini juga merupakan ujian buat saya selepas pulang daripada mengerjakan umrah tempoh hari. Tetapi apa yang kesalkan adalah dalam masa cuma 10 minit, kereta saya boleh hilang begitu sahaja. Saya bimbang hari ini (Rabu lalu) mungkin hari malang buat saya, selepas ini, banyak lagi orang yang akan menjadi mangsa.

Bagaimana dengan pergerakan pergi dan balik anda selepas ini ke tempat kerja?

Tidak menjadi masalah buat saya. Saya rasa saya boleh uruskan dan usahakan hal itu. Insya-Allah.

Sehingga kini, apa hasil siasatan polis mengenai kehilangan kereta tersebut?

Sehingga petang (Rabu), semuanya masih dalam siasatan. Saya berharap kereta tersebut dapat ditemui semula kerana sudah enam tahun saya menggunakannya dan sudah pasti ia menjadi kereta kesayangan saya. Saya mengharapkan kerjasama daripada orang ramai jika ada mempunyai apa-apa maklumat tentang kereta tersebut.

Apakah pesanan anda kepada masyarakat di luar sana mengenai tragedi berkenaan supaya kes kecurian kereta dapat dikurangkan atau dibanteras?

Sebenarnya, perkara seperti ini (kecurian kereta) memang tidak boleh dijangka. Boleh berlaku kepada sesiapa atau di mana sahaja. Jadi, jika keluar pada waktu malam, pastikan keadaan selamat untuk meletakkan kenderaan dan sentiasa mengawasinya.

Baiklah, perkembangan seni terbaharu anda?

Buat masa ini, saya sibuk dengan latihan teater muzikal Randai Cinduo Mato yang akan dipentaskan pada 25 hingga 26 Mac nanti di Istana Budaya. Sementara itu, filem terbaharu lakonan saya, Redha akan menjengah pawagam bermula 14 April nanti.

Previous Post Next Post