Momentum baharu Farahdhiya


SEPERTI sukarnya meramal rahsia rezeki dan nasib, nilai populariti seseorang selebriti itu juga bukan satu hal yang mudah untuk ditebak. Banyak perkara yang perlu diberi perhatian agar kesempurnaan dalam mengemudi karier dapat diteruskan tanpa sebarang masalah dan halangan.

Bagi Farahdhiya, percaturannya sebagai seorang penyanyi sekitar 12 tahun lalu dilihat sama seperti anak seni yang lain. Mula dikenali menerusi single perdananya, Bertakhta Di Hati, kehadiran wanita berusia 32 tahun itu dalam industri lekas meninggalkan kesan di hati peminat.

Namun, hangat namanya tidak kekal lama. Selepas album keduanya, Yang Ku Puja diterbitkan pada tahun 2006, syarikat rakaman yang bertanggungjawab untuk menguruskan promosi dan pemasaran album, NAR Records gulung tikar, sekali gus menyebabkan perjalanan muzik Farahdhiya terkandas di tengah jalan.

“Benar, lagu Bertakhta Di Hati begitu dekat dengan peminat, dan sehingga ke hari ini, saya masih diminta untuk menyanyikan lagu ciptaan Tam Spider itu.

“Cuma, ramai tidak tahu, lagu Yang Ku Puja yang dipetik daripada album kedua saya juga merupakan sebuah lagu yang bagus. Sayangnya, tiada promosi dilakukan untuk lagu dan album kerana syarikat rakaman ditutup,” katanya.

Cekal meneruskan hayat sebagai anak seni, Farahdhiya kemudiannya menceburkan diri dalam bidang lakonan dan mula mengukir karier di layar kaca menerusi drama bersiri Spa Q.

Sejak itu, rezekinya dalam bidang lakonan datang mencurah-curah sehingga menanamkan kepercayaan khalayak bahawa wanita berdarah kacukan Melayu-Itali itu telah meninggalkan bidang nyanyian.

“Saya tidak pernah berhenti menyanyi. Walaupun sibuk berlakon dan memenuhi undangan pengacaraan, saya masih tetap menyanyi.

“Mungkin kurangnya penampilan di televisyen menyebabkan khalayak telah lupa bahawa saya bermula dalam bidang ini sebagai seorang penyanyi,” ujar Farahdhiya yang kerap diundang untuk menyanyi di majlis makan malam di ibu kota.

Kehilangan sementara Farahdhiya dalam bidang nyanyian berakhir selepas namanya tersenarai sebagai salah seorang peserta Gegar Vaganza musim kedua sekitar penghujung tahun lalu.

“Gegar Vaganza musim kedua memberikan impak yang sangat besar dalam karier nyanyian saya. Selepas menyertai rancangan tersebut, ramai yang mula membuka mata bahawa saya sebenarnya memulakan karier sebagai seorang penyanyi. Alhamdulillah, undangan juga semakin bertambah” ujar Farah yang berjaya memenangi tempat kedua dalam pertandingan tersebut.

Berkongsi perkembangan terkini, Farahdhiya berkata, dia bakal muncul dengan single terbaharu ciptaan Tam Spider berjudul Milikku Abadi.

Tambahnya, single terbitan Nova Music tersebut dijangka menemui peminat tidak lama lagi.

“Sejujurnya, saya berasa sungguh teruja kerana sekali lagi diberi peluang untuk kembali bekerjasama dengan Tam Spider.

“Saya selesa untuk berkolaborasi bersamanya kerana dia faham kekuatan saya sebagai seorang penyanyi,” ujarnya.


Ejen

Seiring dengan graf popularitinya yang semakin melonjak tinggi, Farahdhiya juga tidak terlepas daripada menerima dugaan apabila hampir terpedaya oleh seorang individu yang menyamar sebagai pengacara Ally Iskandar dengan menawarkan pekerjaan sebagai gadis pengiring baru-baru ini.


Farahdhiya bakal muncul dengan single baharu berjudul Milikku Abadi yang masih dihasilkan oleh Tam Spider.

Semuanya bermula apabila lelaki tersebut meminta nombor telefonnya di Instagram untuk berbincang secara lanjut mengenai tawaran mengacara sebuah program travelog.

Namun, perbualan tersebut dihentikan apabila lelaki berkenaan mula menawarkan pekerjaan lain iaitu menemani orang-orang kenamaan dengan bayaran lumayan.

Memilih untuk berkongsi kisah tersebut menerusi Instagram, Farahdhiya memberitahu, lelaki terbabit menawarkannya wang berjumlah RM30,000 dan RM140,000 jika dia bersetuju untuk memenuhi permintaan tersebut.

“Saya berasa terkejut dan marah dengan tindakan lelaki itu. Tidak sangka ada yang tergamak menyamar sebagai orang lain dan menawarkan perkhidmatan tersebut kepada saya. Mana mungkin saya tergamak untuk melakukan perkara keji seperti itu?

“Sebab itu saya memuat naik perbualan antara kami berdua di Instagram bagi memberi amaran kepada orang lain,” jelas Farahdhiya.

Biarpun lelaki itu tidak lagi mengganggu dirinya, namun, dia berasa kecewa kerana perkara tersebut tidak pernah dibawa ke pengetahuan pihak berkuasa walaupun telah berleluasa selama hampir dua tahun.

“Sewaktu berpeluang berbual dengan Ally, dia ada memberitahu bahawa sindiket menggunakan namanya untuk memperdaya artis telah berlaku hampir dua tahun.

“Pada masa yang sama, ada beberapa artis yang turut menghubungi saya dan berkongsi pengalaman yang serupa seperti apa yang saya lalui,” ujarnya lagi.

Bagi Farahdhiya, perbuatan lelaki yang tidak bertanggungjawab itu boleh menyebabkan pelakon-pelakon baharu gelap mata dan seterusnya menyebabkan mereka terjebak ke dalam perangkap.

“Sewaktu masih baharu dalam industri, saya pernah menerima tawaran seperti ini daripada seorang wanita. Jadi, tidak mustahil jika perkara ini berulang kepada artis baharu yang lain.

“Saya cuma berasa kasihan dengan mereka yang tidak tahu apa-apa. Zaman sekarang memang orang perlukan duit dan apa sahaja boleh berlaku apabila disuakan dengan kemewahan.

“Jadi, saya berpesan kepada artis-artis baharu supaya lebih berhati-hati dan menyerahkan urusan rundingan tawaran pekerjaan dengan pengurus masing-masing,” jelasnya.

Bodyguard

Melanjutkan bicara mengenai perkembangan terkini, Farahdhiya berkata, drama bersiri terbaharu lakonannya, Bodyguard sedang rancak ditayangkan di TV3 menerusi slot Aksi bermula 2 Mac lalu.

Kongsi Farahdhiya, selain berkisar tentang kerja pengawal peribadi, drama yang penuh dengan adegan mendebarkan itu turut menampilkan kisah cinta antara tiga watak utamanya.

“Dalam drama tersebut, saya memegang watak Nasha, iaitu pemilik sebuah agensi pengawal peribadi di ibu kota.

“Walaupun tugasnya menyediakan perkhidmatan pengawal peribadi, tetapi, pada masa yang sama, Nasha juga terperangkap dalam cinta segi antara dua pengawal peribadi yang bertugas dalam agensinya,” cerita pelakon itu.

Selain Farahdhiya, pelakon lain yang turut membintangi drama tersebut termasuklah Fattah Amin, Azrel Ismail, Idris Khan, Lan Siro dan Sabhi Saddi.

Artikel Selepas
« Artikel Selepas
Artikel Sebelum
Artikel Sebelum »