Munafik kutip RM2.3j empat hari tayangan


BUAH TANGAN terbaharu, Syamsul Yusof filem seram Munafik berjaya mengutip kutipan memberangsangkan apabila memungut RM2.3 juta dalam tempoh empat hari tayangan.

Memetik laporan BH online hari ini, penerbitnya, Datuk Yusof Haslam berkata, pihaknya mendapat maklum balas positif bukan saja daripada kalangan penonton tempatan, malah peminat filem seram dari negara jiran.


"Tidak dinafikan, promosi dari mulut ke mulut antara faktor filem ini menjadi tarikan kepada penggemar karya genre seram. Boleh dikatakan, hampir semua penonton memberikan maklum balas positif terhadap garapan terbaharu Syamsul ini.

"Saya juga tidak menjangka, filem ini berjaya di Brunei dan Singapura. Peminat di sana menyukai elemen Islamik yang diterapkan dalam naskhah berkenaan. Lebih-lebih lagi Munafik terpelihara dari segi aurat yang tidak menyajikan adegan bersentuhan antara lelaki dan wanita," katanya.

Filem Munafiq diterbitkan oleh Skop Production Sdn Bhd (SPSB), filem arahan Syamsul Yusof itu turut mendapat ulasan yang baik daripada pengkritik apabila mengetengahkan cerita yang penuh kejutan dan unsur keagamaan di dalamnya.

Menampilkan bintang seperti Nabila Huda, Fizz Fairuz, Sabrina Ali, Pekin Ibrahim, A Galak dan Syamsul sendiri, filem terbabit ditayangkan di 112 pawagam di seluruh negara, termasuk Brunei dan Singapura.

Artikel Selepas
« Artikel Selepas
Artikel Sebelum
Artikel Sebelum »