Nazim Othman, Bella umum tarikh nikah sebulan lagi


SELEPAS bertunang pada November lalu, Nazim dan Bella kini sibuk membuat persiapan perkahwinan.

UMUM mengetahui pelakon Nazim Othman bersama pasangannya, aktres Bella Dally atau nama sebenarnya, Nabilah Ali Dally, 26, sudah mengikat tali pertunangan kira-kira empat bulan lalu.

Seperti pasangan lain, tentunya tempoh pertunangan merupakan waktu yang sibuk untuk membuat persiapan menuju ke hari bahagia nanti. Tidak ketinggalan, kadangkala pelbagai dugaan boleh terjadi dalam tempoh ini sehingga memberi tekanan kepada pasangan.

Namun, Nazim atau nama penuhnya, Nushrul Alif Othman, 32, mempunyai cara tersendiri untuk mengurangkan tekanan sepanjang persiapan untuk bergelar suami isteri.

Sempat ditemui ketika acara karpet merah pada malam kemuncak anugerah Drama Festival Kuala Lumpur 2016 (DFKL2006) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) baru-baru ini, Nazim menjelaskan alasannya tidak berkongsi sebarang persiapan perkahwinannya kepada media dan peminat.

Bagaimanapun, dia mengakui akan mengumumkan agenda perkahwinannya setelah segala persiapan selesai dalam tempoh sebulan dari sekarang.


ARTISMELETOP!: Sejak bertunang pada November lepas, peminat menantikan perkembangan persiapan perkahwinan Nazim dan Bella setakat ini. Boleh kongsikan persiapan perkahwinan anda?

NAZIM: Alhamdulillah, persiapan perkahwinan saya dan Bella sedang giat dijalankan sejak kami bertunang tanpa sebarang isu yang memeningkan kepala. Bagaimanapun, untuk perkembangan lanjut saya hanya akan maklumkan dalam masa sebulan lagi selepas semua persiapan siap sepenuhnya.

Sebelum ini anda mengambil langkah untuk menutup mulut daripada berkongsi tentang persiapan perkahwinan? Kenapa?

Sebenarnya saya dan tunang sudah sependapat untuk menjalani persiapan dengan tenang tanpa sebarang tekanan. Kami ingin mengurangkan sebanyak mungkin tekanan sepanjang tempoh pertunangan. Jadi, ini merupakan sebab utama saya tidak berkongsi perkembangan persiapan perkahwinan. Insya-Allah, apabila persiapan sudah selesai saya akan beritahu kepada umum.

Jadi, bagaimana anda menguruskan persiapan perkahwinan di samping kerjaya lakonan ketika ini?

Saya tidak membuat persiapan berkenaan secara seorang diri, malah membahagikan tugas bersama-sama dengan Bella. Kami juga mempunyai satu pasukan yang membantu melancarkan perjalanan majlis.

Semuanya berada dalam keadaan baik dan saya rasa bagus apabila tidak berkongsi banyak kepada umum sebab boleh membuat persiapan dengan tenang.

Bagaimana pula dengan persediaan anda untuk memegang status suami?

Tipulah jika dikatakan saya sudah bersedia 100 peratus untuk bergelar suami. Bagaimanapun, kalau tunggu hendak bersedia sepenuhnya pula, memang sampai mati rasanya takkan bersedia.

Cuma apa yang boleh dikatakan, saya akan berusaha untuk menjadi suami yang bertanggungjawab dan bersedia dari segi mental dan fizikal. Bagi saya, menjadi suami bukanlah suatu tugas mudah kerana seseorang lelaki akan menggalas tanggungjawab besar, jadi saya bersedia untuk semua itu.

Jika dilihat melalui gambar yang dikongsikan di Instagram, anda sering bercuti berseorangan. Selepas berkahwin nanti, adakah anda meneruskan hobi berkenaan bersama isteri?

Ya, saya akan meneruskan minat ini bersama isteri. Kebetulan kami berkongsi minat yang sama, sebab dia juga suka bercuti seperti melakukan aktiviti laut, ke pulau dan melihat keindahan alam semula jadi.

Bagaimana pula dengan perkembangan kerjaya?

Setakat ini, banyak drama lakonan saya masih dalam proses suntingan, tidak tahu judul masa yang sudah bersedia untuk disiarkan.

Perjalanan kerjaya saya agak perlahan kerana baru sahaja pulang daripada bercuti selama sebulan di luar negara.

Bagaimanapun, semuanya masih bagus kerana selepas ini saya akan mula sibuk dengan beberapa tawaran lakonan bersama Astro dan semestinya mempersiapkan segala kelengkapan untuk perkahwinan kelak.

Artikel Selepas
« Artikel Selepas
Artikel Sebelum
Artikel Sebelum »