Pemilik Banglo Kontroversi Mengaku Bukan Pengarah, Pemegang Saham KLIDC


"Saya bukan pengarah atau pemegang saham KLIDC (Kuala Lumpur International Dental Centre Sdn Bhd), syarikat yang berjaya dalam bidaan bagi tanah Taman Manggis melalui tender terbuka".

Kenyataan itu terkandung dalam akuan berkanun Phang Li Koon, yang menjual banglo kontroversi di Jalan Pinhorn di sini kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

Dalam akuan berkanun itu, yang dibaca anggota Exco negeri Phee Boon Poh di sini Selasa, Phang menjelaskan bahawa beliau juga tidak terlibat dengan pengurusan syarikat itu.

Ditanya kenapa beliau yang membacakan akuan berkanun itu, Phee berkata, beliau mempunyai hubungan sebagai saudara jauh dengan Phang dan penasihat kepada Persatuan Phang.

Dalam akuan berkanun itu, Phang berkata, beliau menjual banglo itu atas dasar rela hati antara pembeli dan penjual pada harga RM2.8 juta, yang dipersetujui melalui perjanjian bertarikh 23 Jun 2014.

"Saya juga tidak memperoleh sebarang manfaat daripada kerajaan negeri kerana menjual rumah itu kepadanya (Guan Eng). Sayalah yang membuat keputusan pada harga berapa saya hendak menjualnya kepada Ketua Menteri.

"Saya menegaskan bahawa saya tidak ditekan atau dipaksa atau (telah) dipengaruhi dengan cara yang tidak sewajarnya oleh Ketua Menteri atau mana-mana pihak supaya menjual rumah berkenaan kepada Ketua Menteri pada harga RM2.8 juta," katanya.


Pembelian banglo itu oleh Guan Eng mencetuskan kontroversi apabila Anggota Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Shabudin Yahaya membangkitkannya pada persidangan
Dewan Rakyat, Khamis lepas.

Shabudin, yang juga pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda), turut meminta Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta membuat penilaian terhadap harta itu.

Beliau juga meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat penjualan beberapa bidang tanah di Pulau Pinang, yang pada asalnya dikatakan diperuntukkan bagi pembinaan rumah melalui Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT).

Artikel Selepas
« Artikel Selepas
Artikel Sebelum
Artikel Sebelum »