Peminat Blues Gang Berasa Ditipu, Tuntut Wang Tiket Konsert Dipulangkan


Peminat kumpulan Blues Gang berasa ditipu apabila mereka gagal mendapatkan semula pulangan wang membeli tiket bagi menyaksikan Konsert The Blue Jeans yang ditangguhkan sejak Oktober tahun lalu.

Salah seorang peminat kumpulan itu, Fara Shuhada Mohd Nasir, 31, berkata, dia kerugian RM345 apabila pihak berkenaan tidak berusaha untuk memulangkan wang selepas menangguhkan konsert berkenaan sehingga kini.

"Sudahlah sedih tidak dapat menonton konsert tersebut (kerana ditangguhkan), duit tiket yang dijanjikan untuk dipulangkan semula juga sehingga kini masih senyap. Mereka beritahu konsert tersebut yang ditangguhkan pada Oktober kepada Disember tahun lalu, namun sehingga sekarang pun tiada berita tentang itu.

"Saya sudah menghubungi pihak Istana Budaya tetapi mereka meminta saya menghubungi pihak penganjur pula, namun sampai sekarang saya tidak dapat maklum balas," ujarnya kepada mStar Online, di sini, Khamis.

Konsert kumpulan Blues Gang berjudul The Blue Jeans yang sepatutnya berlangsung di Panggung Sari, Istana Budaya pada 23 hingga 25 Oktober lalu pada mulanya ditangguhkan kepada Disember tahun yang sama.

Fara Shuhada berkata dia membeli dua keping tiket berjumlah RM345 menerusi laman web www.ticket2u.biz seperti yang dilaporkan di media tempatan.


"Walaupun RM345 itu tidak begitu besar bagi segelintir orang, namun bagi saya ia jumlah yang banyak kerana saya kumpul duit itu untuk tunaikan hasrat bapa saya yang benar-benar ingin menyaksikan persembahan kumpulan itu.

"Saya sendiri tertunggu-tunggu perkembangan konsert itu sama ada jadi atau pun tidak, jika tidak saya mahu mereka pulangkan semula duit itu," ujarnya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Bombbay Worldwide, Zamberi Shaari, selaku penganjur konsert itu berkata, pemulangan wang menerusi pembelian tiket dalam talian diuruskan oleh pihak pengurusan tiket berkenaan, tiket2u,biz dan kesemua wang pembelian masih lagi berada di pihak berkenaan semasa konsert tersebut dibatalkan.

Bagaimanapun, pihaknya akan melihat semula perkara tersebut dan mencari jalan penyelesaian secepat mungkin.

"Saya ada menerima beberapa aduan yang sama tentang pemulangan tiket tersebut, ia sepatutnya diuruskan oleh pihak ticket2u kerana wang pembelian diuruskan oleh mereka. Saya akan menghubungi pihak mereka untuk selesaikan perkara ini secara berperingkat," ujarnya.

Dalam pada itu, ditanya tentang status konsert tersebut, Zamberi berkata, dia tetap akan meneruskan Konsert The Blues Gang itu pada tahun ini.

Bagaimanapun pihaknya masih mencari lokasi yang sesuai untuk mengadakan konsert itu.

"Kami akan teruskan juga konsert itu dalam tahun ini, namun bukan di Istana Budaya. Sekarang masih lagi mencari lokasi yang sesuai," ujarnya.

Previous Post Next Post