Penantian 17 tahun Siti Nordiana


DIPILIH sebagai penyanyi yang menjayakan persembahan Minggu Setiausaha Luncheon With Siti Nordiana di Atmosphere 360, Menara KL, Siti Nordiana menganggap salah satu impiannya kini menjadi kenyataan.

SEWAKTU penyanyi seangkatan dengannya rancak menempa kejayaan demi kejayaan dalam bidang muzik sekitar 17 tahun lalu, Siti Nordiana Alias atau lebih dikenali dengan nama pentasnya, Nana, 32, hanya mampu memandang dari jauh.

Bukan tidak senang dengan pencapaian karier sendiri tetapi di sudut hatinya, terdetik segaris impian mahu seiring mengecapi kejayaan seperti rakan-rakan yang lain, sekali gus menyerlahkan lagi bakat sebagai salah seorang penyanyi disegani dalam industri hiburan tempatan.

Tidak dinafikan, banyak perkara yang ingin dilakukan wanita kelahiran Seremban, Negeri Sembilan itu. Salah satu daripadanya adalah mahu terlibat secara eksklusif dalam sebuah persembahan pada sambutan Minggu Setiausaha.

Biar lama tempoh penantian, Nana akhirnya mampu tersenyum gembira apabila dipilih untuk menjayakan persembahan Minggu Setiausaha Luncheon With Siti Nordiana di restoran berputar Atmosphere 360, Menara Kuala Lumpur (KL) pada 27 April nyanyi.

“Saya berasa sungguh terharu kerana akhirnya diberi peluang mengadakan persembahan sempena Minggu Setiausaha.

“Sudah lama saya mengimpikan sebuah persembahan secara eksklusif dan syukur, tahun ini rezeki saya,” tutur Nana usai sidang akhbar di Atmosphere 360, Menara KL baru-baru ini.



SITI NORDIANA bersama anaknya, Rayyan ketika bercuti di Madrid pertengahan Mac baru-baru ini.

Melanjutkan bicara, juara Gegar Vaganza musim kedua (GV2) itu menyifatkan penglibatan debutnya dalam majlis Minggu Setiausaha anjuran Atmosphere 360 sebagai sebuah peluang yang tidak akan dilepaskan.

“Ini merupakan peluang keemasan dan platform yang ditunggu-tunggu selama ini.

“Insya-Allah, saya tidak akan mensia-siakan kepercayaan ini dan berjanji memberikan persembahan yang terbaik buat peminat,” katanya yang bakal menyanyikan sebanyak lapan buah lagu sepanjang majlis berkenaan.

Diusik, adakah Nana kini merasakan dirinya setaraf dengan penyanyi tersohor lain yang sering menjayakan persembahan Minggu Setiausaha, Nana berkata, masih banyak ruang yang perlu diperbaikinya terutama dari segi cara berinteraksi dengan penonton.

“Disebabkan ini merupakan persembahan Minggu Setiausaha pertama yang bakal dijayakan, saya akan banyak membuat rujukan daripada penyanyi senior dengan menonton persembahan mereka di YouTube,” katanya lagi.

Madrid

Berkongsi mengenai perkembangan terkini, Nana baru sahaja pulang dari Madrid, Sepanyol bersama pengacara dan pelawak, Nabil Ahmad setelah menjalani penggambaran program berbentuk travelog berjudul Vivva Vaganza. Kembaranya ke bumi Eropah itu juga merupakan antara hadiah yang diterima sewaktu menjuarai program GV2 akhir tahun lalu.


SITI NORDIANA menandatangani poster persembahannya Luncheon With Siti Nordiana sambil disaksikan Pengarah Urusan Atmosphere 360, Datuk Mohd. Sabri Mohd. Nadzir (kanan) dan pengacara Dee selepas sidang akhbar persembahan Minggu Setiausahanya baru-baru ini.

Selain Nabil, Nana juga turut ditemani anak tunggalnya, Muhammad Rayyan Nakhaie, 7.

“Madrid merupakan sebuah bandar yang cantik. Saya berasa sungguh teruja melihat seni bina bandar yang nampak usang dan lama. Bagaimanapun, saya tidak terlalu menikmati percutian tersebut kerana diserang demam sebaik sahaja tiba di sana.

“Cuma, Rayyan yang sangat teruja ketika berada di sana kerana Madrid merupakan pasukan bola sepak kegemarannya,” jelas Nana yang hanya membeli beberapa tas tangan dan alat solek ketika berada di Madrid.

Sebelum menutup perbualan, penyanyi yang popular menerusi lagu Memori Berkasih itu memberitahu, dia sedang merancang untuk membeli sebuah rumah di Kuala Lumpur selepas menerima hadiah kemenangannya berjumlah RM100,000 menerusi GV2.

“Buat masa ini, saya masih belum menerima wang tunai hadiah kemenangan tersebut tetapi saya memang telah berniat untuk membeli sebuah rumah di Kuala Lumpur hasil perjuangan saya dalam GV2,” katanya yang kini menetap di Seremban, Negeri Sembilan.

Artikel Selepas
« Artikel Selepas
Artikel Sebelum
Artikel Sebelum »