Pengurus Bank Dikaitkan Dengan 1MDB Tinggalkan BSI Singapura



Seorang pengurus bank swasta berpangkalan di Singapura, yang mengendalikan hubungan di antara bank swasta Swiss BSI dengan syarikat pelaburan kontroversi 1Malaysia Development Bhd (1MDB), telah meninggalkan bank itu, kata seorang jurucakap luar, Jumaat.

Yak Chee Yew, yang merupakan Naib Presiden Kanan BSI Singapura, berdepan siasatan jenayah di Singapura atas tuduhan pengubahan wang haram yang dikaitkan dengan 1MDB.

"Dia tidak lagi berkhidmat dengan bank itu," kata seorang jurucakap kepada Reuters.

Chee Yew tidak bertindak balas terhadap permintaan Reuters untuk mendapatkan komen.

Bulan lalu, Chee Yew muncul sebagai individu utama dalam siasatan pengubahan wang haram, menurut dokumen yang dikeluarkan di Mahkamah Tinggi Singapura.


Pihak berkuasa Singapura sedang menjalankan siasatan pengubahan wang haram ke atas akaun-akaun bank yang mempunyai kaitan dengan 1MDB, di mana aktiviti itu telah mencetuskan tindakan undang-undang di tiga benua.

Chee Yew mengambil cuti tanpa gaji selama lima bulan tahun lepas manakala BSI menyiasatnya atas dakwaan salah laku berkaitan akaun pelanggan, menurut dokumen mahkamah.

Chee Yew kembali dibayar gaji oleh BSI pada Oktober dan kali terakhir dibayar gaji bulanan dengan jumlah hampir S$83,000 (RM247,500) pada 27 Januari, menurut afidavit mahkamahnya.

Beberapa akaun yang disiasat Singapura adalah kepunyaan Chee Yew dan telah dibekukan bersama-sama dengan dana S$9.7juta (RM28.9 juta), menurut dokumen mahkamah, di mana ia adalah yang pertama muncul dari siasatan Singapura ke atas 1MDB yang diumumkan Julai lalu.

Minggu ini, BSI berkata bahawa ketua perniagaan Asianya Hans Peter Brunner akan bersara dari bank itu.

BSI baru-baru ini telah dijual kepada EFG International AG.

Artikel Selepas
« Artikel Selepas
Artikel Sebelum
Artikel Sebelum »