Percubaan komedi Mawi


Mawi bakal menjayakan Kembara Amal Umrah Ziarah membabitkan hampir 80 jemaah pada 29 Mac hingga 13 April nanti.

POPULAR menerusi lagu-lagu kerohanian seperti Al Haq, Al-Nuraa (Yang 5 Yang 6) dan Sahabat Dalam Tubuh, Mawi bakal membuat kelainan dalam sejarah kerjayanya.

Sudah puas membawa naskhah berat, Mawi kini bakal tampil dengan jalur muzik yang lebih santai dan komedi. Katanya idea mengubah haluan genre timbul setelah menyedari industri muzik tanah air kini kehausan lagu-lagu sebegitu.

Tidak berseorangan, single komedi sulung tersebut akan dinyanyikan bersama teman baiknya, Daly Filsuf bertajuk Marilah Johena.

“Single terbaharu ini merupakan percubaan pertama saya membawakan lagu-lagu berunsur komedi.

“Lagu Marilah Johena merupakan hasil ciptaan sepenuhnya oleh Daly yang sudah lama dibuat untuk kumpulannya sebelum ini, Ahli Fikir,” ujar Mawi yang ditemui usai sidang akhbar Kembara Amal Umrah Ziarah di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Bercerita lanjut mengenai peralihan genre yang dibuatnya, bintang kelahiran Akademi Fantasia musim ketiga menjelaskan selama ini dia sudah puas membawakan lagu berentak pop, nasyid dan qasidah.

“Sudah tiba masanya saya ingin membawa kelainan agar pendengar tidak jemu. Tambahan pula saya lihat lagu-lagu komedi sudah lama tidak ada dalam industri, kali terakhir ialah kumpulan Senario,” katanya yang memasukkan elemen raggae sebagai kelainan dalam lagu berkenaan.

Berbicara mengenai penghasilan single solo, sementelah selalu tampil berduet, Mawi mengakui dia kini sedang dalam proses mencari karya terbaik.

Baginya, dia masih belum berpuas hati dengan material sedia ada dan sedang mencari lagu terbaik, sekali gus boleh meletupkan namanya seperti menerusi lagu Aduh Saleha suatu ketika dahulu.

“Memang saya mempunyai perancangan untuk tampil solo, tetapi mungkin selepas Hari Raya Aidilfitri nanti. Agak sukar sebenarnya untuk mencari lagu yang betul-betul kena dengan jiwa.

“Untuk album pula, kali terakhir saya muncul album sekitar tahun 2012 berjudul Asma Ul Husna. Saya ada berbincang dengan Daly, dan dia pun telah bersetuju. Seandainya single Marilah Johena diterima baik peminat, kami akan mengeluarkan sebuah album penuh. Bagaimanapun album tersebut akan terdiri daripada pelbagai genre,” katanya.


Kembara Amal Umrah

Dalam pada itu, mengulas perkembangan lainnya, pada 29 Mac hingga 13 April nanti, Mawi bersama-sama PU Fakhrul dan ahli Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia Melaka (PVATM Melaka) dengan kerjasama Fazil Agency akan mengadakan program Kembara Amal Umrah Ziarah.

Menurut Yang Dipertua PVATM Melaka dan selaku Pengarah Urusan Fazil Agency, Datuk Mohamad Fazil Shafie, program kembara amal itu akan melibatkan umrah dan melancong ke negara Palestin seterusnya menyampaikan sumbangan untuk masyarakat Islam di sana.

“Sebenarnya, sejak tiga tahun yang lepas PVATM Melaka sudah pun mengadakan program umrah ini tetapi tidak pernah sampai ke bumi Palestin. Kebetulan, setelah berjumpa dengan Mawi, dia mencadangkan untuk menyambung perjalanan sehingga ke Palestin selepas tamat mengerjakan umrah.

“Antara tempat yang akan dilawati kebanyakannya di Jerusalem seperti menziarahi Makam Nabi Musa, Nabi Daud dan Nabi Sulaiman serta melawat beberapa buah masjid termasuk Masjid Al-Aqsa.

“Jika berkesempatan, kami juga akan cuba mendapatkan peluang untuk melihat sendiri kerusi yang pernah digunakan Nabi Sulaiman A.S. kerana kerusi itu dijaga dengan rapi dan berkunci.

“Hasil kutipan yang telah dikumpulkan sebelum ini pula akan diserahkan sendiri kepada imam besar Masjid Al-Aqsa.

“Insya-Allah jika program kembara amal ini berlangsung dengan jayanya, kami akan menjadikan ia program tahunan dalam kalendar aktiviti PVATM Melaka,” tutup Fazil.

Previous Post Next Post