Perginya Adnan Abu Hassan suatu kehilangan besar buat industri


LAGU-lagunya sering menjadi siulan. Sentuhan magis komposer ini sering dinantikan, apatah lagi banyak nama besar yang bermula dengannya.

Allahyarham Datuk Adnan Abu Hassan menghembuskan nafas terakhirnya pada jam 2.15 pagi semalam akibat komplikasi buah pinggang dan serangan angin ahmar.

Ia dianggap kehilangan besar buat industri kerana Allahyarham berjaya meletakkan diri beliau antara komposer yang disegani.

Jenazah pemuzik dan komposer hebat ini selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Ramal, Kajang pada kira-kira jam 9.50 pagi, semalam.

Jenazahnya dibawa ke Masjid Al-Falah di Kajang pada jam 6 pagi selepas dimandi dan dikafankan di Hospital Selayang.

Selain ahli keluarga, rakan artis turut hadir dalam memberikan penghormatan terakhir, antaranya Datuk Siti Nurhaliza, Nora Ariffin, Liza Hanim dan Misha Omar.

Allahyarham meninggalkan seorang balu, Rozinor Hafiza Mohd Fauzi, 38, dan tiga anak, Aiman Zamer, 20, Aina Zamira, 17, dan Adrian Zahir, 15 tahun hasil perkahwinan pertamanya dengan Siti Hajar Long.


Hubungan seperti keluarga

Penyanyi nombor satu negara, Siti Nurhaliza memberitahu hubungan yang terjalin bersama Allahyarham bukan sekadar teman di dalam industri malah sudah seperti keluarga sendiri.

“Allahyarham bukan sekadar komposer tetapi ibarat seorang abang, ayah dan sifu buat saya sejak di awal karier saya lagi.

“Saya sangat beruntung kerana menjadi salah seorang artis di bawah bimbingannya dan pemergian arwah adalah satu kehilangan besar buat saya.

“Kali terakhir saya menemuinya adalah pada bulan lalu ketika arwah dimasukkan ke hospital dan saya sendiri bercadang untuk menziarahinya semalam, namun arwah terlebih dahulu meninggalkan kita,” katanya, semalam.

Siti Nurhaliza mula dikenali dengan lagu Jerat Percintaan ciptaan Allahyarham Adnan.

Nora menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai satu kehilangan buatnya dan keluarga.

“Hubungan kami memang rapat sejak 25 tahun lalu. Sejak dia jatuh sakit, saya memang kerap melawatnya di rumah mahu pun di hospital.

“Apabila dapat tahu arwah dimasukkan ke hospital semalam (kelmarin) saya sempat menziarahinya dan melihatkan keadaannya memang kritikal, namun jauh di sudut hati ketika itu saya mengharapkan arwah akan pulih.

“Setelah diberitahu mengenai pemergiannya, saya memang terkejut kerana hubungan kami memang rapat seperti adik-beradik,” katanya.

Menurut Nora, dia turut terkilan kerana ada beberapa hajat Allahyarham yang tidak sempat direalisasikan.

“Dua tahun lalu, arwah ada merancang untuk mengadakan sebuah konsert di Sabah yang mana menggabungkan kesemua penyanyi di bawah bimbingannya.

“Namun, atas beberapa perkara, konsert itu tidak dapat diadakan. Apabila memikirkan soal itu, saya rasa agak terkilan,” katanya.

Selain Siti Nurhaliza dan Nora, Allahyarham komposer yang bertanggungjawab menaikkan nama penyanyi-penyanyi hebat, Fauziah Latiff, Misha Omar, Liza Hanim, Ziana Zain dan ramai lagi melalui karyanya yang berjaya meraih beberapa pengiktirafan.

Artikel Selepas
« Artikel Selepas
Artikel Sebelum
Artikel Sebelum »