Raihan Tidak Terkilan Semakin Dipandng Sepi


Kumpulan Raihan tidak berasa terkilan apabila nama mereka semakin dipandang sepi biarpun banyak menempa kejayaan terutamanya di luar negara.

Salah seorang anggotanya, Abu Bakar Md Yatim berkata, sepanjang 20 tahun bergiat aktif artis nasyid, mereka tidak pernah mengharapkan pengiktirafan atau pujian kerana apa dilakukan adalah untuk berdakwah kepada masyarakat.

"Apa yang kami lakukan sebelum ini adalah semata-mata demi dakwah dan mencari keredaan Allah, jauh sekali mengharapkan pujian.

"Alhmadulillah segala kejayaan yang kami tempa sama ada di dalam dan luar negara adalah bukti bakat artis tempatan diterima pendengar diseluruh dunia.

"Pengiktirafan diperingkat antarabangsa juga sedikit sebanyak dapat kami mengharumkan nama Malaysia," katanya kepada mStar Online.

Selain Abu Bakar, Raihan turut dianggotai oleh Che Amran Idris, Amran Ibrahim dan Zulfadli Mustaza.

Untuk rekod album pertama Raihan berjudul Puji-Pujian menjadi album paling laris jualannya di Malaysia iaitu sebanyak 700,000 unit.



Kumpulan Raihan

Sehingga kini album berkenaan telah pun terjual sebanyak 3.5 juta unit di seluruh dunia.

Raihan juga turut dinamakan sebagai 500 Muslim Paling Berpengaruh Di Dunia pada tahun 2008, 2009, 2010, 2011, 2013 dan 2015.

Dalam pada itu, Abu Bakar berkata, biarpun dilihat sepi daripada sebarang publisiti namun mereka sebenarnya masih aktif mengadakan persembahan.

Malah katanya, mereka juga mendapat pelbagai undangan di luar negara selain bakal mengadakan konsert jelajah di United Kingdom dan Amerika syarikat pada tahun ini.

"Alhamdulillah banyak sebenarnya undangan kami terima cuma mungkin ia tidak dihebahkan malah kami pun baharu sahaja pulang dari Bangkok, Thailand mengadakan persembahan.

"Insya-Allah jika segalanya berjalan lancar kami akan menjelajah sekali lagi dibeberapa buah lokasi di United Kingdom dan Amerika pada tahun ini," katanya.

Tambahnya lagi, dia berasa terharu melihat reaksi peminat di luar negara yang masih meminati muzik dakwah mereka selain industri nasyid itu terus berkembang di peringkat antarabangsa.

Dalam perkembangan lain, Abu Bakar berkata, Raihan sedang dalam proses mengumpul material untuk album terbaharu dan berharap ia dapat dilancarkan tidak lama lagi.

Previous Post Next Post