Raja Azura nekad bersara jadi deejay


Mengakui terkilan apabila khidmatnya sebagai kontraknya penyampai radio diberhentikan serta-merta, Raja Azura ingin fokus dalam bidang pengacaraan dan perniagaan.

Setelah hampir 10 tahun mengendalikan segmen pilihan ramai iaitu Sinar Pagi di stesen radio popular Sinar FM, hujung tahun lalu, Raja Azura ada membuat pengumuman meninggalkan stesen berkenaan.

Perkara itu diluahkan ketika hadir sebagai artis jemputan di pentas konsert mingguan Gegar Vaganza 2.

Berbeza dengan Salih Yaacob yang seperti sudah mampu menelan bahawa khidmatnya bersama stesen radio berkenaan terpaksa beralih ke slot Santai Sinar bersama Feeya Iskandar, manakala Krill Rashid bertukar profesion untuk fokus ke bidang perniagaan, Raja Azura pula sebaliknya.

Wanita yang lebih mesra disapa Kak Engku itu mengakui,sehingga kini kepedihan tidak lagi mengendalikan segmen Sinar Pagi bersama Salih dan Krill masih berbekas.

Katanya, ibarat seperti ditinggalkan suami, begitulah kesan apabila kontraknya dengan stesen radio itu tidak lagi disambung dan digantikan penyampai baharu yang terdiri daripada kumpulan Sepahtu.

Ditemui pada sidang akhbar Kilauan Emas Otai di ibu negara baru-baru ini, Kak Engku atau nama sebenarnya Raja Azura Tengku Ahmad Tajudin, 43, nekad bersara daripada menjadi penyampai radio dan memberi fokus ke bidang lain.


ARTISMELETOP!: Daripada tiga orang penyampai yang sudah tidak lagi mengendalikan segmen Sinar Pagi, nampaknya hanya Kak Engku yang masih belum menerima kenyataan, mengapa?

RAJA AZURA: Bukan senang untuk melupakan kerjaya di Sinar FM, begitu juga saya. Selama 10 tahun bersama, banyak pahit manis telah kami jalani. Sebelum ini, kerjaya di stesen radio tersebut merupakan segala-galanya. Saya beri apa yang saya ada untuk membangunkan stesen radio tersebut. Boleh saya katakan, saya hidup untuk menghiburkan pendengar yang setiap pagi setia mendengar celoteh kami bertiga. Apabila tidak lagi bersama, memang sukar untuk saya terima kenyataan. Semua akan kembali normal, mungkin untuk saya ia belum sembuh lagi.

Baiklah, jika diberi peluang untuk kembali mengendalikan segmen baharu di stesen radio tersebut atau di radio lain, adakah anda akan mempertimbangkannya?

Tidak. Rasa cukuplah saya menabur bakti sebagai penyampai radio selama 10 tahun. Senang untuk orang menyuruh saya melupakan perkara yang menjadi rutin kepada saya selama 10 tahun tetapi tidak buat saya. Saya, Salih dan Krill mengambil masa selama tiga tahun untuk mendapatkan keserasian. Jadi, saya memang sudah tawar hati dan ingin bersara daripada terus menjadi penyampai radio. Saya jenis orang yang nekad. Kalau saya kata tidak, memang tidaklah sampai bila-bila.

Walaupun jika diberi peluang bergandingan dengan Salih dan Krill untuk segmen baharu atau seumpamanya?

Maaf, situasinya tidak lagi sama seperti dahulu. Persekitarannya juga sudah berbeza. Buat masa ini memang saya tidak punya lagi hati untuk bergelar penyampai radio. Tapi kita hanya manusia, yang tentukan segala-galanya ialah Tuhan. Benar, memang saya tiada perancangan untuk kembali menjadi penyampai. Biarlah saya fokus ke bidang lain pula. Saya pun bukannya muda lagi, banyak lagi perkara penting yang perlukan perhatian daripada saya.

Kini anda tidak lagi bekerja sebagai penyampai radio, apa yang akan lakukan untuk menampung kehidupan?

Saya sedang fokus dalam bidang pengacaraan dan lebihkan penampilan di kaca televisyen. Jika sebelum ini ia terbantut kerana tuntutan kerjaya saya sebagai penyampai di Sinar FM, sekarang ia tidak lagi menjadi masalah buat saya.

Boleh perincikan tugas anda sebagai pengacara untuk program Kilauan Emas Otai yang telah memulakan siaran pada 9 Mac lalu?

Alhamdulillah, sekali lagi saya dipertanggungjawabkan menggalas tugas sebagai pengacara konsert mingguan. Pertandingan dalam musim kali ini lebih sengit kerana kelima-lima juara musim terdahulu akan bertarung sesama sendiri, sementara beberapa bekas peserta lima musim sebelum ini turut diberi peluang untuk bertanding.

Selain Kilauan Emas Otai, apa lagi yang terbaharu daripada anda?

Saya dalam usaha untuk membuka sebuah cawangan restoran francais Burgerbyte di Seksyen 13 Shah Alam sekitar akhir bulan Mac nanti. Memang sudah lama hajat tersebut terpaksa ditunda disebabkan kerjaya saya sebagai penyampai. Menariknya di restoran itu nanti, selain menu sedia ada, akan ada juga menu signatur (masakan saya sendiri) yang tidak ada di cawangan Burgerbyte di tempat lain.

Previous Post Next Post