Rekaan busana Siti Nurhaliza


SITI bersama Pengarah Pemasaran Ariani, Datin Farah dan Pengarah Urusan Jakel, Datuk Muhammad Feroz yang banyak membantunya dalam merealisasikan idea menerbitkan Creacion by Siti Nurhaliza.

SELEPAS produk kecantikannya, Simply Siti sudah kukuh di pasaran, kini Datuk Siti Nurhaliza menambah satu lagi cabang baharu dalam empayar perniagaannya dengan mengeluarkan jenama pakaian sendiri.

Hadir dengan koleksi yang cukup ringkas namun tetap mengekalkan ciri eksklusif dan elegan kepada si pemakai, jenama baharu Creacion by Siti Nurhaliza.

“Menghasilkan jenama pakaian sendiri merupakan impian dan cita-cita saya sejak dari dahulu. Apabila menjadi seorang artis, kita memang sering didedahkan dengan solekan dan fesyen pakaian yang cantik daripada pereka yang berpengalaman luas.

“Fesyen dan barangan kosmetik ini merupakan sebahagian daripada jiwa saya. Alhamdulillah, mulanya saya fokus dengan barangan kosmetik dan kini dalam bidang fesyen pula,” ungkapnya yang ditemui selepas pelancaran Ariani X Creacion by Siti Nurhaliza di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Berbicara lanjut mengenai koleksi yang mendapat kerjasama dengan pengeluar hijab, Ariani Textiles and Manufacturing (M) Sdn. Bhd. dan Jakel Trading Sdn. Bhd., Siti mengakui idea untuk mengeluarkan jenama sendiri bermula sejak beliau menjadi duta tudung Ariani. Bagaimanapun, disebabkan kekangan masa dan jadual padat, idea tersebut hanya dapat direalisasikan bermula tahun lepas.

Tersenyum saat ditebak persoalan mengapa perlu mendapat kerjasama dengan pihak lain sedangkan namanya sudah pun bertapak kukuh di persada negara, dengan rendah diri penyanyi berusia 37 tahun itu berkata, kerjasama tersebut adalah disebabkan pengalaman yang ada pada dua nama besar seperti Ariani dan Jakel.

“Kerjasama ini adalah kerana saya tiada pengalaman dalam bidang fesyen. Saya mungkin mempunyai idea dan nama yang telah dikenali, tetapi dari sudut pengalaman, saya memerlukan bantuan mereka yang profesional.

“Jakel banyak membantu saya dalam pemilihan jenis kain, manakala Pengarah Pemasaran Ariani, Datin Farah Haryani pula banyak memberi tunjuk ajar. Tanpa bantuan mereka, pastinya saya perlu membuat kerja lebih sedikit terutamanya dalam mengenal pasti jenis-jenis kain,” jelasnya.

Tambah penyanyi yang sedang sibuk dengan persiapan Konsert Datuk Siti Nurhaliza dan Rakan Artis pada 2 April ini, kesemua koleksi Creacion menekankan ciri rekaan yang ringkas. Malah, corak etnik dan bunga yang ditampilkan pada setiap rekaan juga bersesuaian untuk setiap lapisan umur wanita.

Ditanya mengenai pilihan harga koleksi yang terdiri daripada rangkaian blaus, jubah, seluar dan skirt, Siti berkata: “Semua koleksi saya ini berada pada harga mampu untuk dimiliki semua orang bermula daripada RM89, 00. Malah, setiap koleksi daripada Creacion juga dicipta untuk wanita bertubuh gempal kerana saiz setiap rekaan disediakan sehingga XXXL.”


Risiko ditiru

Melihat kepada lambakan rekaan pakaian mahupun hijab yang mudah ditiru oleh beberapa usahawan lain, Siti kemudian ditanya jenamanya juga mempunyai risiko untuk ditiru.

Beliau bagaimanapun menyifatkan pembeli kini lebih bijak memilih material yang berkualiti dalam membuat pembelian.

“Saya dan Farah memang memandang serius soal ini, cuma ia adalah perkara yang kami tidak boleh halang kerana mereka juga mencari rezeki. Konsep perniagaan, mereka mencari rezeki dengan mengambil rekaan kita sebagai inspirasi. Jadi, dalam beberapa perkara mungkin masih boleh ditolak ansur.

“Sebenarnya, kalau ada pengguna yang setia dia boleh membezakan jenama kami, kerana koleksi Creacion dihasilkan menggunakan fabrik berkualiti tinggi. Mungkin usahawan di luar boleh mengambil ukuran kami dan membuat sepasang baju baharu, tetapi untuk memiliki jenis fabrik yang sama adalah mustahil, sebab ia sangat eksklusif,” ujarnya tersenyum.

Juri pertandingan

Mengulas perkembangan lain, Siti merupakan salah seorang juri dalam pertandingan nyanyian cilik, Ceria Pop Star yang akan memulakan siarannya pada 25 Mac ini.

“Saya pernah menjadi juri untuk pertandingan nyanyian dewasa dan juga rancangan lawak, tetapi untuk pertandingan kanak-kanak ini ia bagaikan mempunyai aura yang berbeza.

“Bersama kanak-kanak, apabila melihat gelagat dan keletah mereka pastinya dapat menghilangkan tekanan dan membuatkan kita gembira,” jelasnya.

Selain itu, beliau juga kini sedang menjadi juri dalam satu rancangan Akademi Silat Pendekar Muda terbitan TV Al Hijrah.

Mengakui memang amat meminati seni persilatan Melayu, Siti berkata penglibatannya dirinya dalam rancangan itu adalah secara kebetulan.

“Sebenarnya, pengetua dalam akademi tersebut merupakan guru silat yang mengajar saya dan keluarga di rumah. Jadi, dia meminta saya untuk menjadi juri dalam rancangan tersebut.

“Apabila berada di sana dan melihat sendiri setiap langkah silat mereka, saya rasa seronok. Lebih-lebih lagi, bila martabat budaya silat Melayu diangkat ke peringkat lebih tinggi,” tutupnya.

Artikel Selepas
« Artikel Selepas
Artikel Sebelum
Artikel Sebelum »