Rezeki mencurah, doa Haiza makbul


SEJAK setahun lalu, Rohaizah Nordin atau lebih dikenali sebagai Haiza terpaksa berulang-alik dari Kuala Lumpur ke Johor Bharu hampir setiap minggu. Pengorbanan itu terpaksa dilakukan lantaran tugasnya sebagai penyampai radio Best FM yang berpangkalan di Johor Bahru.

Kerana tuntutan tugas juga, dia terpaksa berjauhan dengan suami dan anak-anak. Justeru, cukup setahun menimba pengalaman di Best FM, Haiza kini beralih menjadi penyampai radio baharu, Kool FM bergandingan bersama penyampai terkenal, AG.

Bagaimanapun tegas Haiza, keputusannya untuk menyertai stesen radio di bawah Media Prima itu bukan dibuat ketika dia masih bersama Best FM, sebaliknya selepas dia tamat kontrak.

“Sebenarnya tiada isu besar pun saya menerima tawaran menyertai Kool FM kerana saya dilamar pada 15 Februari, manakala kontrak saya dengan Best FM tamat pada 1 Februari.

“Saya ambil keputusan untuk bersama Best FM selama setahun sahaja kerana faktor logistik. Saya rasa cukuplah setahun saya berjauhan dengan suami dan anak-anak.

“Saya kira, doa saya untuk bekerja dan berada dekat dengan keluarga telah dimakbulkan ALAH SWT.

“Jadi bila kembali menetap di sini (Kuala Lumpur) saya rasa lebih mudah untuk menguruskan keluarga dan kerjaya saya,” katanya kepada Zass.

Menurut Haiza, dia bergandingan dengan AG yang juga bekas penyampai Hot FM menerusi segmen Pagi Di Kool FM yang bersiaran setiap Isnin hingga Jumaat dari jam 6 hingga 10 pagi.

“Alhamdulillah dua hari bergandingan dan bekerja dengan AG, dia memang seorang rakan kerja yang baik. Pengalaman dia selama 15 tahun sebagai penyampai radio banyak membantu selain, dia cepat bertindak termasuk dari segi idea dan dia tidak lokek berkongsi ilmu dengan saya.

“Walaupun bukan penyampai profesional tapi Alhamdulillah respons yang diterima cukup positif. Tapi ada ketikanya bila positif dan orang percaya dengan kita, menjadikan saya rasa takut dengan kesilapan.

“Ya lah, kalau betul orang terima, tapi kalau silap orang akan ingat sampai bila-bila,” katanya.

Tambah Haiza, dia juga seronok dengan tugas baharunya itu kerana dalam masa yang sama dia berpeluang kembali aktif melakukan persembahan di sekitar Kuala Lumpur.

“Walaupun pagi saya menjadi penyampai, di sebelah petang hingga malam saya tidak buat apa-apa. Kalau dulu lepas habis kerja, saya jarang dapat tawaran menyanyi kerana jarak dan masa. Tapi sekarang, Insya-ALLAH saya boleh terima tawaran persembahan makan malam dan sebagainya.

“Walaupun tugas sebagai penyampai menuntut saya bangun seawal 4 pagi, saya rasa tak ada masalah untuk bekerja sehingga malam. Apa pun semua itu bergantung pada tawaran dan kelapangan,” katanya.

Selain Haiza dan AG, empat lagi penyampai yang turut menyertai Kool FM adalah bekas deejay Hot FM iaitu Liza dan Ikhwan manakala Farid dan Ezaq daripada Hot FM Pantai Timur selain pakar motivasi, Prof Dr Muhaya Mohamad.

Tampil dengan tagline Temanmu, Muzikmu, Kool FM buat permulaan akan ke udara menerusi frekuensi 101.3 FM di Lembah Klang manakala 90.2 FM di Pulau Pinang.


Single baharu

Dalam pada itu, berkongsi perkembangan terkininya, Haiza berkata, dia baru sahaja selesai merakamkan single ciptaan Asfan berjudul Tentang Cinta.

Jelas Haiza, single terbarunya ini menampilkan konsep ballet, rock, ditujukan khas buat peminat yang setia menyokong sejak dahulu dan peminat baharu yang mula menyokongnya sejak Gegar Vaganza 2, baru-baru ini.

“Walaupun saya beralih genre muzik untuk single ini, ia bukan bermakna saya tinggalkan muzik dangdut kerana dangdut adalah jiwa saya. Malah jika diberi peluang selepas ini, saya masih mahu merakamkan lagu dangdut, lebih-lebih lagi jika tampil dengan nafas baharu.

“Tapi single terbaru ini adalah hadiah untuk peminat yang nampak kebolehan saya membawakan pelbagai jenis lagu. Saya juga akan usahakan untuk membawa lagu ini sehingga dipilih menjadi lagu tema mana-mana drama. Lagu ini juga adalah ucapan terima kasih daripada saya untuk semua,” katanya.

Tambah Haiza, buat masa ini dia hanya mahu memberi fokus terhadap bidang nyanyian dan penyampai, manakala bidang pengacaraan boleh dipertimbangkan, tetapi tidak dengan bidang lakonan untuk sementara waktu.

“Bagi saya bidang lakonan menuntut komitmen yang tinggi. Jadi buat masa ini saya belum bersedia untuk kembali berlakon.

“Tapi bagi yang rindu atau ingin tahu bagaimana saya berlakon, boleh dengari Kool FM di mana kami mengembalikan nostalgia drama radio dan saya akan berlakon bersama Kamal Adli, Janna Nick dan beberapa penyampai radio Kool FM, di mana drama radio ini tampil dengan konsep drama bersiri,” akhirinya.

Previous Post Next Post