Sam, Syatilla segera mahu anak


RUMAH - Sam yang masih tinggal bersama ibunya, Khaty Fauziah selepas beristeri merancang untuk membeli sebuah rumah yang lebih besar pada masa depan.

Sudah dua bulan pasangan selebriti popular, Shaheizy Sam dan Syatilla Melvin diijabkabulkan sebagai suami isteri. Sepanjang tempoh tersebut, peminat masih tidak berhenti berbicara mengenai perkahwinan yang disifatkan sebilangan khalayak penuh drama. Adegan drama lokasi mereka bermula saat mengumumkan perkahwinan dengan tajaan RM25 juta, sehinggalah usai majlis pernikahan.

Drama terancang seisi keluarga tersebut hanya benar-benar berakhir selepas Sam memberi lakonan hebat ketika pura-pura pengsan sebaik selesai dinikahkan. Niat Sam cukup murni, hanyalah untuk memberi kejutan buat isteri tercinta, Syatilla yang turut menyambut ulang tahun ke-25 pada hari pernikahan mereka.

Bagaimanapun, membikin drama pada majlis pernikahan yang dianggap suci, pasangan suami isteri itu menerima kecaman banyak pihak di laman sosial yang tidak berpuas hati dengan tindakan mereka.

Bertemu dengan Sam dan Syatilla pada majlis pelancaran kempen koleksi pakaian raya, Elle Zada di Kuala Lumpur hujung minggu lalu, jelas terpancar kebahagiaan pasangan pengantin baharu tersebut. Apabila berbicara mengenai drama perkahwinannya, Sam hanya tertawa panjang.

“Biasalah orang ada mulut, mereka mengutuk tindakan saya buat-buat pengsan. Saya tidak ambil kisah dan berharap, saya satu-satunya orang yang buat perkara tersebut pada majlis perkahwinan. Saya sukakan kelainan dan sanggup ambil risiko. Jadi, apabila sudah tua, saya boleh bercerita kepada anak dan cucu, bahawa perkahwinan kamilah paling pelik dalam Malaysia.

“Tujuan bukan untuk bermegah, apatah lagi mempermainkan majlis perkahwinan. Apa yang dilakukan hanyalah untuk mencipta memori yang kami boleh kenang sehingga lanjut usia. Itu sahaja, harap orang di luar sana tidak salah faham, tambahan idea tersebut datangnya daripada seluruh ahli keluarga,” kata Sam mohon dimengerti.

Meskipun telah dua bulan berkahwin, Sam mahupun Syatilla tidak boleh melupakan kepenatan yang terpaksa dilalui bergelar raja sehari dengan lima buah majlis berbeza. Sungguhpun begitu, bagi Sam, perkahwinan hanya dilalui sekali seumur hidup, jadi tidak salah untuk meraikannya secara besar-besaran.

“Jujurnya, memang penat jadi pengantin sebanyak lima kali. Kalau ikutkan saya pun tidak suka naik pelamin berkali-kali, tetapi sanggup harungi segala kepenatan sebab saya ada keluarga, rakan dan peminat. Saya mahu mereka semua hadir pada hari bahagia kami.

“Bercakap mengenai tajaan RM25 juta, ramai orang salah sangka, mereka ingat kami berkahwin secara percuma tanpa mengeluarkan wang satu sen pun. Mereka tidak tahu tajaan RM25 juta bukan daripada segi wang ringgit, kos perkahwinan semuanya keluar wang sendiri. Tajaan hanyalah daripada segi pakaian, makanan dan fotografi. Tiara yang dipakai isteri pada majlis resepsi sahaja sudah bernilai RM8 juta,” jelas Sam.

Biarpun begitu, Sam tidak ralat mengeluarkan wang yang banyak untuk majlis perkahwinan kerana percaya tentang rezeki selepas berkahwin. Ternyata, sangkaannya benar, selepas bergelar suami, tawaran projek yang datang kepadanya lebih besar.

“Alhamdulillah, sekarang projek yang datang semuanya berbaloi dan amat berbeza berbanding dua tahun lepas. Selain filem, ada tajaan dan saya dapat rasa perubahan rezeki,” ujarnya.


Hidup lengkap

Bercakap mengenai perubahan kehidupannya pula, Sam terus tersenyum sambil memandang isterinya yang manis sedondon berbaju hijau. Kata pelakon filem Polis Evo tersebut, kehidupannya kini lengkap dengan kehadiran Syatilla.

Makan minumnya terjaga, kepulangan dinanti oleh isteri di rumah merupakan antara momen manis yang rasai oleh Sam apabila bergelar suami.

“Apabila bangun pagi ada orang buatkan sarapan. Jika dahulu kena bancuh kopi sendiri, sekarang siap berhidang (ketawa). Seronoklah, tetapi saya tetap kena kerja dari siang sampai ke pagi kerana tanggungjawab semakin besar,” kongsi Sam yang masih tinggal bersama ibunya, Khaty Fauziah.

Sementara itu, Syatilla yang mengakui berada dalam fasa paling bahagia dalam hidupnya memberitahu, sejak berkahwin, dia belum sempat memasak untuk Sam. Bukan mengabaikan tanggungjawabnya atau sibuk, sebaliknya diberi amaran keras oleh Sam supaya tidak menghidangkan makanan kerana dia dalam diet yang ketat.

“Saya sempat buat sarapan sebanyak tiga kali sahaja, selepas itu dimarahi oleh suami kerana dia sedang berdiet untuk filem Pinjamkan Hatiku arahan Osman Ali. Sebagai isteri saya hanya mengikut sahaja kerana komitmennya terhadap kerja memang tinggi,” luah Syatilla yang bersyukur kerana dikurniakan jodoh pada usia muda.

Menyentuh tentang cahaya mata, Sam mahupun Syatilla tidak pernah menolak andai segera dikurniakan. Bagi mereka anak merupakan rezeki dan percaya Allah akan mengurniakan rezeki tersebut pada waktu yang tepat.

Masih belum hamil, Syatilla yang berehat selama dua bulan daripada lakonan, tidak pernah berhenti berdoa agar impian yang satu itu segera diperkenankan Tuhan.

“Kami tidak merancang, sebaliknya tidak kisah andai dikurniakan rezeki cahaya mata dalam tempoh terdekat. Suami juga begitu, dia percaya kehadiran anak akan memeriahkan lagi keluarga dan menambahkan rezeki. Namun, semua itu rezeki daripada Allah, kami hanya boleh menunggu sahaja,” ujar Syatilla teruja apabila berbicara mengenai cahaya mata.

Kerjaya

Selepas berehat selama dua bulan, Syatilla akan kembali ke lokasi penggambaran drama Sha dan Shah edisi raya bermula minggu depan. Tegasnya, selepas menjadi isteri, kerjaya seninya dipantau oleh Sam. Bukan sahaja skrip, tetapi juga soal bayaran semuanya di bawah telunjuk Sam.

Tidak merasa dikongkong, sebaliknya Syatilla selesa dengan cara Sam yang dianggap amat menjaga kebajikan isteri.

“Sekarang saya harus hadkan lakonan kerana sudah bersuami dan ada keluarga yang perlu dijaga. Tidak boleh terlalu ligat bekerja seperti zaman bujang. Sam juga menapis semua benda bermula daripada skrip sehingga bayaran. Saya memang serahkan semua kepadanya, kerana percaya dia tahu apa yang terbaik untuk isterinya,” akui Syatilla.

Sama seperti Syatilla, selepas bercuti panjang, Sam juga telah kembali ke lokasi penggambaran awal minggu ini dengan filem Osman Ali berjudul Pinjamkan Hatiku. Selain itu, Sam juga tidak sabar untuk menunggu tayangan filem Interchange arahan Dain Said yang akan menemui penonton sekitar penghujung tahun nanti.

Bercakap mengenai kerjasama mereka dengan label pakaian Muslimah Elle Zada untuk kempen perayaan, tawaran yang hadir disifatkan Sam umpama orang mengantuk disorongkan bantal. Meskipun sebelum itu, mereka dihujani tawaran kerjasama dengan banyak jenama terkenal lain, namun, prinsip pakaian patuh syariah yang dibawa Elle Zada menarik minat mereka.

Bagi Sam, bekerjasama dengan Elle Zada menerusi umpama merealisasikan impian dalam bidang fesyen yang dipendam selama ini.

“Saya suka fesyen dan menyimpan cita-cita untuk memiliki jenama pakaian sendiri. Sudut kreatif seperti rekaan mungkin mampu dilakukan, bagaimanapun bukan pakar dalam bidang perniagaan dan pengurusan.

“Oleh itu, menerusi kerjasama Elle Zada X Sam Syatilla, saya banyak belajar cara persediaan, pengurusan dan sistem yang perlu ada apabila membangunkan perniagaan sendiri. Istimewa, dalam koleksi raya Elle Zada kali ini, saya bebas mencorakkan rekaan mengikut selera sendiri. Walaupun mereka menampilkan pakaian daripada kain berkualiti tinggi, harganya tidak mahal dan mampu milik,” jelas Sam yang berharap langkah pertamanya terlibat dalam bidang fesyen bakal mendapat sambutan peminat.

Artikel Selepas
« Artikel Selepas
Artikel Sebelum
Artikel Sebelum »