Sayap Hollywood Aznil Nawawi


KOLABORASI - Kunjungan Aznil ke set E!News menimbulkan tanda tanya adakah beliau bakal bekerjasama dengan saluran antarabangsa tersebut, sementelah beliau sempat bergambar dengan pengacara E! News, Erin Lim.

PEMERGIAN Datuk Aznil Nawawi ke Los Angeles, Amerika Syarikat (AS) dua minggu lalu mungkin didasari dengan satu matlamat, iaitu membawa nama Malaysia ke permaidani merah Academy Awards ke-88 buat kali yang kedua.

Di sana, Aznil sekali lagi diberi tanggungjawab oleh penyiar rasmi, HBO Asia untuk menemubual selebriti ternama yang terlibat dengan acara berprestij tersebut.

Mengendalikan temu bual dengan penuh keceriaan, pengacara program LePaknil itu tidak ketinggalan berkongsi momen indah mewawancara pelakon Bollywood yang kini gah menempa nama sebagai pelakon antarabangsa, Priyanka Chopra.

Begitupun, dalam kesibukan mengendalikan program karpet merah untuk HBO Asia, Aznil dilihat sempat berkunjung ke studio saluran E! yang terletak di NBC Universal Studios, Hollywood, AS.

Beliau yang sebelum ini pernah dijemput untuk menemubual beberapa artis antarabangsa oleh saluran E! juga turut bergambar di studio E! News bersama Ketua Pengarang H! Live, Adly Syairi.

Menerusi kapsyen yang dtulis oleh Aznil, pengacara yang suatu ketika dahulu begitu sinonim dengan program realiti Akademi Fantasia itu melahirkan rasa teruja kerana bakal melakar sejarah baharu dalam lapangan kerjayanya.

Enggan terus dihujani dengan tanda tanya, Kosmo! menghubungi Aznil untuk mendapatkan jawapan adakah beliau akan melebarkan sayapnya ke Hollywood dengan bekerjasama bersama saluran E!.

“Sebenarnya, sewaktu ke AS awal tahun ini bagi menghadiri sidang media dan sedutan tayangan produk antarabangsa yang dikelolakan oleh E!, kami sudah mengadakan perbincangan mengenai sebuah projek usaha sama.

“Apabila sudah berada di sana, saya mengambil kesempatan itu untuk bertemu kembali dengan pihak E! bagi berbincang dengan lebih lanjut mengenai rangka projek yang kami usulkan.

“Namun buat masa ini, saya tidak boleh mengulas dengan lebih panjang. Sementelah saya juga masih lagi bersama dengan Astro. Insya-Allah, jika apa yang dibincangkan berhasil, akan ada pengumumannya kelak,” ujar Aznil dalam nada yang ceria.

Ditanya apakah kriteria yang ada padanya sehingga produksi antarabangsa berminat untuk menjalinkan kerjasama, Aznil berkata, mungkin pihak E! berasa senang dengan cara kerjanya selain pengalaman yang diperoleh sepanjang beberapa kali ke luar negara untuk menghadiri sidang media antarabangsa dan program permaidani merah.

“Mungkin mereka telah beberapa kali berjumpa dengan saya dan faham cara saya bekerja. Tambahan pula, saya juga mempunyai latar belakang dalam bidang produksi dan penyiaran. Saya fikir disebabkan itu, barangkali mereka tertarik untuk bekerjasama dengan saya,” ujarnya lagi.


Cabaran Oscar


SUKAR - Walaupun sudah dua tahun berpeluang menghadiri Academy Awards, Aznil mengakui masih sukar untuk menerima kerjasama daripada kebanyakan artis Hollywood untuk ditemu bual pada acara permaidani merah. Bagaimanapun tahun ini, beliau berpeluang menemu bual aktres Bollywood, Priyanka Chopra.

Kembali berbicara mengenai pengalamannya mengendalikan program permaidani merah Academy Awards buat kali yang kedua, Aznil berkata, banyak cabaran yang perlu dihadapi terutama bagi menarik perhatian selebriti antarabangsa untuk berhenti dan berbual dengannya.

“Agar sukar untuk menemu bual selebriti yang melalui permaidani merah. Kebanyakan daripada mereka enggan berhenti dan menjalankan sesi wawancara.

“Namun, tahun ini, saya dapat menemu bual pelakon Priyanka Chopra yang kini sedang rancak membina nama di Hollywood menerusi filem dan drama bersiri,” katanya yang perlu bersaing dengan wartawan dari negara lain untuk merebut peluang menemu bual selebriti di majlis tersebut.

Dalam pada itu, Aznil turut memuji kredibiliti penganjuran Academy Awards ke-88 yang melambangkan prestij dan nilai eksklusif yang ada padanya.

“Penganjuran Academy Awards sememangnya perlu dipuji. Kawalan keselamatannya begitu ketat sehingga saya tidak dibenarkan untuk mengambil gambar pas yang diberikan. Pada masa yang sama, kami juga diarahkan untuk melalui laluan pemeriksaan bagi mengelakkan ancaman bom sebelum masuk ke ruangan menunggu.

“Itu merupakan antara perkara positif yang patut dicontohi oleh penganjuran anugerah di Malaysia,” katanya.


Hubungan

Biarpun beberapa kali berpeluang mewawancara selebriti antarabangsa, namun, Aznil tetap menghargai hubungan baik yang wujud antara wartawan dan selebriti di Malaysia.

Tutur Aznil, selebriti di Hollywood seperti membina tembok penghadang dan sering menganggap wartawan atau pihak media sebagai musuh mereka.

“Saya rasa, artis Hollywood perlu banyak belajar daripada artis Malaysia. Artis di sana enggan menjalinkan hubungan yang baik dengan wartawan.

“Berbeza dengan artis di Malaysia yang begitu akrab dengan pihak media dan saling menghormati antara satu dengan lain,” ujarnya.

Usia emas

Melihat pada perkembangan kerjayanya, pengacara yang berusia 54 tahun itu bersyukur dengan peluang yang diterimanya sepanjang mengulit karier sebagai pengacara.

Ujar Aznil, dalam usia sebegini, mungkin beliau perlu memikirkan tentang masa yang sesuai untuk bersara daripada bidang seni.

Namun, fasa baharu muncul apabila banyak peluang yang datang mengetuk.

“Melihat begitu banyak peluang yang datang dalam usia sebegini, saya berharap ia dapat memberi kesedaran kepada banyak pihak bahawa peningkatan usia bukanlah satu halangan.

“Sebaliknya menjadi nilai tambah untuk sesuatu perkara yang ingin dilakukan,” ujar Aznil menutup bicara.

Previous Post Next Post