Shahrol Shiro kini suami kepada Anna


SHAHROL dan Anna selamat bergelar suami isteri selepas tiga kali lafaz pada malam Jumaat lalu.

Selepas empat tahun menduda, pelawak, pengacara dan penyampai radio Era FM, Shahrol Shiro, 32, akhirnya kembali memegang status suami kepada wanita pilihannya, Anna atau nama sebenarnya, Nor Farhanah Syamimi, 26.

Mereka bernikah dalam sebuah majlis yang berlangsung pada malam Jumaat lalu di Dewan Jemerlang, Institut Tadbiran Awam Negara, Kluang, Johor.

Perasan lega jelas terpancar pada wajah Shahrol atau nama sebenarnya, Shahrol Azizie Azmi apabila selamat bergelar suami dengan tiga kali lafaz.

Shahrol yang memiliki seorang anak, Muhd. Adam Danish, 8, hasil perkahwinannya sebelum ini berkata, mereka telah bercinta selama empat tahun sebelum mengambil keputusan untuk mendirikan rumah tangga.

Menurut Shahrol dalam satu temu bual sebelum ini, dia mengambil masa agak lama untuk menamatkan zaman duda kerana trauma dengan perkahwinan pertama yang bertahan selama tiga tahun sahaja.

Oleh itu, dia amat berhati-hati untuk kembali membina keluarga kerana tidak ingin pengalaman sama berulang kembali. Mengimbas kembali detik pertemuannya dengan isteri, jelas Shahrol, semuanya berlaku tanpa dirancang.

Perkenalan di sebuah syarikat telekomunikasi pada tahun 2012 tanpa sengaja telah membuahkan bibit-bibit cinta. Shahrol tertarik pada Anna pada pertemuan pertama dan isterinya pula tidak mengetahui bahawa dia adalah seorang artis.


“Saya tertarik dengannya sebab dia tidak mengenali kumpulan Shiro. Sebaliknya dia mengenali saya sebagai Shahrol, individu biasa,” tuturnya.

Tambah Shahrol, perkara yang membuatkan hatinya terpikat pada Anna adalah wanita tersebut menerima dirinya seadanya termasuk anak hasil perkahwinan pertamanya.

“Anna sentiasa memberi sokongan dan dorongan dalam kerjaya. Dia juga turut menyumbangkan idea untuk digunakan sewaktu beraksi di pentas. Anna merupakan pendengar yang baik dan sering menasihati saya agar bersabar apabila ada cerita negatif di luar sana. Kami serasi bersama dan dia seorang yang tidak cerewet, sangat memahami dan menerima saya seadanya,” jelas Shahrol.

Selain keserasian bersama Anna, perkara yang membuka pintu hatinya untuk berkahwin semula adalah rakan-rakan seperjuangan dalam dunia lawak yang kebanyakannya sudah berumah tangga. Melihat kebahagiaan rakan baiknya sendiri iaitu Ajak Shiro, Shahrol merasakan sudah tiba masa untuknya kembali hidup berkeluarga seperti orang lain.

“Alhamdulillah majlis pernikahan berjalan dengan lancar. Doa dan harapan saya, biarlah perkahwinan kali ini kekal sehingga ke akhir hayat,” luah Shahrol.

Selesai majlis pernikahan Jumaat lalu, sebuah majlis resepsi sebelah pihak perempuan telah diadakan di Kluang, Johor pada Sabtu lalu. Shahrol merancang untuk mengadakan majlis persandingan sebelah pihak lelaki di Kuala Lumpur pada Julai nanti, iaitu selepas sambutan Aidilfitri.

Bercakap mengenai kehidupan dan kerjayanya, Shahrol berharap perkahwinan kali ini akan melenyapkan segala kontroversi yang pernah dikaitkan dengan dirinya selama ini. Harapannya mahu terus maju dalam industri hiburan.

“Kembali berkeluarga, tanggungjawabnya amat besar. Jadi, saya harus bekerja keras dan berharap peminat mendoakan kebahagiaan saya bersama isteri. Terima kasih kerana terus menyokong saya selama empat tahun berkecimpung dalam dunia hiburan.

“Pelbagai liku telah dilalui sepanjang bergelar pelawak tetapi sokongan peminat di luar sana membuatkan saya mahu terus maju dalam industri ini,” kata Shiro menamatkan bicara.

Artikel Selepas
« Artikel Selepas
Artikel Sebelum
Artikel Sebelum »