Shiqin Kamal & Erwin Shah Dawson Ukir nama melalui Warna Cinta Impian


MEREKA merupakan antara wajah baharu yang sedang mewarnai dunia lakonan tanah air sekarang. Mengakui bukan mudah untuk menempa nama di persada seni, kedua-duanya harus bekerja keras bermula dari bawah.

Ternyata, usaha tanpa jemu kedua-dua pelakon ini berhasil. Biarpun boleh dikatakan masih hijau, namun sudah diberi kepercayaan untuk menerajui watak utama dalam naskhah terbaharu arahan N.S Krishna berjudul Warna Cinta Impian yang akan ditayangkan pada 31 Mac ini.

Biarpun sudah setahun sesi penggambaran Warna Cinta Impian tamat, namun masih jelas terpancar kemesraan antara Shiqin Kamal atau nama lengkapnya, Nur Ashiqin Mohd Kamal, 25, bersama pelakon dari Singapura, Erwin Shah Dawson.

Hadir dengan misi mempromosikan naskhah terbaharu yang pertama kali mempertemukan mereka, masing-masing berkongsi pengalaman di sebalik pembikinan naskhah yang melibatkan tiga lokasi penggambaran iaitu Malaysia, India dan Australia.

Berlakon dengan orang lama

Berbicara lanjut mengenai naskhah Warna Cinta Impian, bagi Shiqin yang mula dikenali menerusi Legenda Budak Setan pada tahun 2010, dia teruja dan bersyukur apabila ditawarkan untuk berlakon dalam filem tersebut.

“Alhamdulillah, saya sangat bersyukur apabila mendapat tawaran untuk berlakon dalam filem Warna Cinta Impian. Sebagai pelakon yang masih mencipta nama, pastinya saya teruja apabila dapat bersama pelakon hebat lain seperti Awie, Erra Fazira, Erwin, Nelydia Senrose dan Azli Khairi.

“Dalam filem tersebut saya memegang watak sebagai Diana, seorang wanita yang ceria bagaimanapun berubah sikap menjadi murung akibat masalah percintaannya bersama Danial,” ujarnya mesra membuka bicara.

Ditanya pula pengalaman berlakon bersama legenda filem Melayu iaitu Erra Fazira dan Awie, dengan ringkas Shiqin menjawab: “Terus terang saya katakan, biarpun sudah biasa dengan dunia lakonan tetapi apabila berlakon bersama orang lama pastinya rasa gementar itu tetap ada. Bagaimanapun ia dapat diatasi melalui pergaulan bersama rakan-rakan lain yang berada di set penggambaran.



Nama Shiqin Kamal mula dikenali sejak dia membintangi filem Legenda Budak Setan. Namun namanya pudar setelah mengambil keputusan untuk fokus dalam pelajaran.

“Sebenarnya, saya pernah berlakon bersama Awie dalam filem Leftwing suatu ketika dahulu. Tetapi dengan Erra, ini merupakan kali pertama berlakon bersama dengannya. Dia banyak mengajar saya untuk meningkatkan lagi mutu lakonan,” ungkapnya berharap lakonan dalam naskhah Warna Cinta Impian diterima peminat.

Mengulas mengenai watak Shiqin dalam naskhah kali ini yang agak berbeza dengan watak antagonis seperti selalu dilakonkannya, dia berkata, perkara itu sengaja dirangka kerana ingin mewujudkan variasi dan keseimbangan dalam lakonan.

Tidak mahu terus-terusan dilabelkan ‘jahat’ sama seperti watak-watak yang pernah dilakonkan dengan jayanya, Shiqin akui dia lebih berhati-hati untuk menerima watak yang ditawarkan. Namun katanya, perkara itu bukanlah bermaksud dia seorang pelakon yang memilih.

“Umum mengetahui saya selalu membawakan watak jahat sejak mula berlakon dari filem Legenda Budak Setan lagi. Terbaharu watak saya sebagai Shira atau Nadia dalam drama Cinta Si Wedding Planner juga merupakan watak antagonis sehingga mengundangkan rasa geram di kalangan penonton.

“Tidak dinafikan apabila membawa watak antagonis, pastinya akan dihentam dan dikritik penonton, tetapi saya memandang ia sebagai satu kejayaan kerana dari situ saya tahu bahawa lakonan saya berjaya memberi kesan.

“Bagaimanapun, jika boleh saya tidak mahu selalu membawa watak antagonis ini. Saya mahu seimbangkan antara karakter negatif dan positif, sebab apabila sudah selalu sangat membawa watak sebegini, lama kelamaan orang akan fikir kita memang jahat,” ujarnya tertawa.

Bercerita perkembangan terkini, Shiqin mengaku sudah mula dirisik pengarah filem dan drama sejak mengambil keputusan untuk kembali aktif berlakon.

“Saya akui, perjalanan karier agak perlahan kerana saya ingin memberi fokus dalam pelajaran dalam jurusan Sains Aktuari di Universiti Teknologi Mara. Bagaimanapun, setelah tamat pengajian dua tahun yang lalu, saya kembali aktif berlakon dan mulai rasa sibuk bergelar pelakon.

“Saya baru sahaja tamat penggambaran Cinta Si Wedding Planner dan sekarang sedang menunggu tarikh untuk memulakan penggambaran dua telefilem serta sebuah drama,” katanya.

Erwin jumpa ayah

Pelakon dari Singapura, Erwin Shah Dawson atau nama lengkapnya Mohamed Erwin Shah Evan Dawson, 27, berkata, semasa sesi penggambaran dijalankan di Australia dia berkesempatan berjumpa dengan ayah kandungnya yang menetap di sana.


Erwin Shah Dawson merupakan bakat yang lahir daripada Anugerah Skrin 2010 anjuran Mediacorp Suria di Singapura. Dia merupakan juara pertandingan tersebut.

Lebih mengharukan, pertemuan tersebut merupakan detik pertama dia berjumpa dengan ayahnya yang merupakan seorang warga New Zealand tetapi menetap di Australia.

“Pengalaman berharga ketika menjayakan Warna Cinta Impian adalah apabila buat pertama kalinya saya berjumpa dengan ayah kandung ketika di Australia. Kebetulan ketika itu kami menjalankan penggambaran di Brisbane dan ayah pula tinggal tidak jauh dari situ.

“Pelbagai perasaan saya rasa ketika itu. Memang macam tidak percaya, kerana sebelum ini saya dibesarkan dalam keluarga Melayu. Biarpun berkulit putih, tetapi saya tidak pernah rasa diri seperti ‘mat saleh’. Apabila berjumpa dengan ayah dan juga ibu saudara di sana,” katanya.

Erwin kemudian ditanya mengenai perasaannya menanti tayangan filem sulungnya itu. Jelas pelakon yang baru dua tahun berhijrah ke Malaysia itu, walaupun optimis naskhah yang melibatkan tiga negara sebagai lokasi penggambaran itu mampu mencipta kelainan dalam filem Melayu, namun dia tetap berdebar dengan penerimaan peminat.

“Warna Cinta Impian mempunyai keunikan tersendiri dan berlainan daripada filem sedia ada. Selain penggambaran dibuat di tiga lokasi berbeza, ia juga mempunyai sentuhan bollywood seperti tarian.

“Saya akui agak gementar sementara menanti filem ini ditayangkan. Namun perasaan itu hilang apabila terlalu sibuk dengan kerja. Bagaimanapun, apabila semakin dekat dengan tarikh tayangan semakin kuat saya rasakan perasaan gementar itu,” jelasnya.

Teruja dengan watak Daniel yang dibawanya, Erwin bagaimanapun berkata dia tidak kisah andai namanya sebagai watak utama tenggelam dek kerana penyatuan semula dua nama besar seperti Erra dan Awie dalam naskhah tersebut.

Akuinya, apabila bercerita tentang filem itu, orang akan lebih teruja untuk melihat gandingan semula pasangan legenda filem Melayu itu.

“Sejujurnya, saya tidak kisah andai nama Erra dan Awie yang lebih naik biarpun peneraju utama adalah saya dan Shiqin Kamal. Jika difikirkan semula dan meletakkan diri sebagai peminat, saya memang akan lebih teruja untuk melihat pelakon yang lebih dikenali.

“Dari segi psikologi itu memang perkara biasa, jadi saya tidak kisah sebab memang mereka layak,” jelasnya.

Lebar sayap

Dalam pada itu, dia sempat berkongsi perkembangan terkini kerjayanya. Jelas terpancar riak gembira diwajahnya, Erwin berkata, dia baru sahaja melancarkan single pertama bersama rakannya berjudul Bujeng.

Menurutnya, nyanyian adalah minatnya daripada kecil bagaimanapun perkara itu tidak diteruskan sehingga kawan baiknya mengusulkan agar mereka merakamkan single.

“Nama kumpulan kami adalah A-Ok. Sebenarnya, single tersebut merupakan hasil idea saya dan rakan yang bertindak sebagai rapper dalam lagu tersebut.

“Buat masa ini, single itu sudah berada di dalam carta di stesen radio. Insya-Allah, kami juga dalam perancangan untuk menghasilkan tiga lagi single dalam tahun ini,” jelasnya.

Bercakap mengenai perkembangan lain, sama seperti Shiqin, Erwin juga sedang sibuk dengan tawaran berlakon. Malah, dia juga mula melebarkan bakatnya dalam bidang pengacaraan.

Melihat kepada semua bidang yang diceburinya, Erwin menjelaskan bahawa perkara tersebut sengaja dilakukan kerana minatnya untuk menjadi seorang penghibur yang versatil.

“Sebenarnya, minat saya memang untuk menghiburkan orang. Penghibur boleh terdiri daripada pelawak, pelakon dan pengacara.

“Saya sedar, risiko setelah menceburi semua bidang ini adalah kita tidak fokus. Tetapi disebabkan saya memang suka menghiburkan orang, jadi saya tidak kisah akan perkara itu,” tutupnya.

Artikel Selepas
« Artikel Selepas
Artikel Sebelum
Artikel Sebelum »