Siap siaga Qody, Wanie dan Fareez


KETIGA-tiga peserta ini akan mencuba yang terbaik untuk bergelar juara pada pentas akhir Mentor Milenia.

Melontar bait-bait lagu untuk memikat hati juri bukan mudah. Selebihnya, corak-corak komersial serta persembahan mengagumkan menjadi penyumbang impak pada persembahan peserta-peserta program realiti Mentor Milenia pada malam final hari ini.

Malam ini bakal mengukir satu permulaan baharu buat tiga peserta Mentor Milenia iaitu Qody dan Wanie daripada Kumpulan Black serta Fareez daripada Kumpulan Hazama yang berjaya melangkah kaki ke peringkat akhir.

Selepas lima saingan berlangsung, ketiga-tiga peserta itu boleh tersenyum puas kerana kejayaan mereka untuk merebut gelaran juara Mentor Milenia, sekali gus membawa pulang sebuah trofi dan juga hadiah wang tunai sebanyak RM100,000 bakal berada dalam genggaman salah seorang daripada mereka.

Pentas final Mentor Milenia menyaksikan persaingan yang sangat sengit antara ketiga-tiga protege itu. Selain bernyanyi secara solo, mereka juga bakal berduet dengan mentor masing-masing untuk membuktikan kemampuan dalam usaha menempah tiket bergelar juara Mentor Milenia.

Adakah Wanie, Qody atau Fareez yang bergelar juara, semuanya terletak di tangan 50 peratus juri profesional, 20 peratus juri awam dan 30 peratus daripada undian penonton menerusi laman web rasmi Mentor Milenia, www.tv3.com.my/mentormilenia.



Tidak mahu tumpang populariti

Berkongsi rasa mengenai kemaraan ke peringkat akhir Mentor Milenia, Fareez, 18, yang merupakan peserta paling muda itu menyifatkan cabarannya untuk melakukan yang terbaik lebih berganda berbanding dua peserta lagi kerana pengalaman sedikit yang dimiliki.

“Saya tidak mempunyai banyak pengalaman menyanyi seperti Wanie atau busking seperti Qody tetapi saya akan gunakan sedikit pengalaman menyanyi yang ada ini untuk memberikan persembahan terbaik pada malam final nanti,” ujar anak kepada pelakon Fauzi Nawawi itu merendah diri.

Bakal menyanyikan dua lagu secara solo iaitu Aku Juga Manusia (Amir Jahari) dan Apokalips (Datuk M. Nasir), Fareez juga turut berduet dengan mentornya Hazama menerusi lagu Drama King (Meet Uncle Hussain) serta Hilang Naluri (Once).

Tidak bersedih andai dinobatkan tempat kedua atau ketiga, bagi Fareez keberadaannya di Mentor Milenia sudah memberi semangat untuk dirinya terus menceburi bidang nyanyian secara serius.

Namun, itu tidak bermakna peserta berasal dari Selangor itu suka andai namanya dikenali berbekalkan populariti yang dimiliki bapanya.

“Saya tidak mahu gunakan nama ayah untuk dikenali. Biarlah orang kenal saya melalui bakat nyanyian,” luahnya.

Lega sistem undian bertukar

Bagi Wanie yang merupakan peserta wanita tunggal yang berjaya menjejakkan kaki ke final Mentor Milenia pula, dia lega apabila sistem undian bertukar berbanding sebelum ini jumlah undian daripada penonton studio sebanyak 30 peratus dan 70 peratus lagi menerusi laman web rasmi Mentor Milenia.



“Alhamdulillah. Saya lega sistem undian bertukar sejak di peringkat separuh akhir konsert minggu lalu. Bukan apa, saya pernah berada di kedudukan dua terendah selama dua minggu berturut-turut. Dengan pertukaran sistem undian di peringkat akhir nanti, ada sokongan daripada juri profesional,” jelas pemilik sebenar nama Nurul Syazwanie Mohd. Basri itu yang muncul sebagai juara mingguan pada hari Ahad lepas dan berjaya mencuri tumpuan barisan juri melalui vokalnya yang memukau.

Bagaimanapun, menurut Wanie, dia sendiri tidak menyangka dirinya berjaya melangkah ke pentas akhir Mentor Milenia kerana peserta-peserta yang bertanding turut mempunyai kelebihan tersendiri.

Wanie bakal menyanyikan dua buah lagu secara solo iaitu Malam (Datuk M. Nasir) dan Merisik Khabar (Allahyarham Sudirman), penyanyi berusia 21 tahun itu turut menyanyikan lagu Tanya Sama Hati bersama mentornya Black.

Guna khidmat kumpulan Paladin dan Koir

Sementara itu, Qody yang bakal menyanyikan lagu Hanya Namamu (Caliph Buskers) secara solo itu menyatakan perasaan berbeza dengan Wanie dan Fareez.

“Saya, Wanie dan Fareez sudah seperti kawan baik. Kami tidak hanya bersaing secara sihat, malah menyokong antara satu sama lain. Jadi, siapa yang menang, itu sudah rezekinya,” ujar Qody atau nama sebenarnya Rossaidi Abdul Rani yang turut berduet dengan mentornya Black menerusi lagu Jerangkung Dalam Almari (Wings) itu.

Sudah bersedia dengan latihan yang secukupnya, Qody memberitahu, dia tidak sabar untuk mempersembahkan dua lagu itu di pentas final Mentor Milenia malam ini.

“Tiada sebarang gimik, cuma persembahan saya nanti akan diiringi oleh khidmat kumpulan Paladin dan Koir,” jelasnya.

Dalam pada itu, ujar penerbit Mentor Milenia, Ahmad Shaifullizam Arshad atau Jibam pula, konsert final Mentor Milenia yang akan disiarkan secara langsung di TV3 pada pukul 9 malam itu bakal menampilkan tiga juri profesional termasuk Azmeer dan Ajai.

“Seorang lagi juri profesional akan diumumkan malam ini. Diacarakan oleh Issey Titan dan Marsha Londoh, konsert malam ini juga turut menampilkan dua artis jemputan iaitu kumpulan Search dan juga Bunkface,” jelasnya.

Selain hadiah wang tunai sebanyak RM100,000 diberikan kepada juara, naib juara dan tempat ketiga peserta final Mentor Milenia masing-masing bakal membawa pulang trofi dan hadiah wang tunai sebanyak RM50,000 dan RM20,000.

Sejak diperkenalkan pada tahun 2005, program Mentor kini dianggap nadi utama program realiti di TV3. Selepas tujuh musim, Mentor kembali dengan konsep dan format baharu yang mencungkil bakat muda berusia dari 17 hingga 21 tahun, dikenali sebagai Mentor Milenia.

Mentor Milenia membariskan empat artis popular sebagai mentor iaitu Black, Azlan, Akim dan Hazama.

Bagaimanapun, hanya dua protege Black dan seorang protege Hazama sahaja yang berjaya melangkah di peringkat final Mentor Milenia.

Previous Post Next Post