Sufi (AF) Ceburi Bidang Perniagaan Restoran


Sufi baharu sahaja membuka sebuah restoran iaitu De' Tulang Merah yang menyediakan hidangan terkenal di Singapura iaitu Sup Tulang Merah.

Juara program Akademi Fantasia 2015 iaitu Sufi akan tetap bergiat aktif sebagai penyanyi meskipun rutinnya kini sibuk menguruskan restoran miliknya iaitu De' Tulang Merah yang terletak di Jalan Kuchai Lama Kuala Lumpur.

Sufi atau nama sebenarnya Mohammad Sufie Rashid, 26, berkata, sejak dari dahulu lagi dia sudah meminati bidang perniagaan namun peluang bertemu rakan kongsinya, Edaman dari kumpulan Qanda merialisasikan hasrat tersebut.

"Karier nyanyian akan tetap berjalan seperti biasa dan perniagaan restoran ini adalah sesuatu yang saya minat sejak dari dahulu lagi.

"Alhamdulillah hasrat itu akhirnya tercapai dan pembukaan restoran berkenaan sebagai persediaan masa depan saya," katanya kepada mStar Online.

Sufi berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran Anugerah Pilihan Online 2016 (APO 2016) di Zebra Square di sini pada Khamis.

Acara terbitan Kumpulan Media Star Berhad itu buat julung kalinya diadakan bagi mengiktiraf penggiat pelbagai industri yang aktif menerusi dunia digital.

APO2016 yang dikendalikan portal berita mStar Online dan Suria FM dengan tajaan produk kosmetik Dnars memperkenalkan 18 kategori membabitkan sembilan dalam bidang hiburan, tiga kategori sukan dan lima lagi kategori gaya hidup.



Sufi serius dalam bidang perniagaan.

Bercakap lanjut mengenai restoran berkenaan, Sufi berkata, ia memfokuskan kepada hidangan sup tulang merah yang terkenal dikalangan penduduk di Singapura.

Malah katanya, bagi menjadikan resepi berkenaan tambah istimewa dia sanggup membawa pelbagai rempah ratus khas dari negara itu untuk digunakan dalam penyediaan makanan berkenaan.

"Saya sudah lama menetap di Kuala Lumpur dan jarang sekali saya dapat jumpa hidangan sup tulang merah di sini. Ia memberikan saya idea untuk membuka restoran dengan hidangan utama makanan kegemaran penduduk Singapura itu.

"Selain sup tulang merah restoran tersebut turut menyediakan pelbagai hidangan lain termasuk masakan barat," jelasnya.

Dalam perkembangan lain, Sufi berkata, selain sibuk dengan undangan persembahan dan perniagaan dia juga bakal tampil dengan single terbaharunya dalam masa terdekat ini.

Sementara itu mengenai APO 2016, peminat boleh mengundi calon pilihan masing-masing dengan melayari http://apo.mstar.com.my

Acara kemuncak ini akan disiarkan secara langsung menerusi TV2 pada 30 April depan, pukul 9 malam dari Auditorium Perdana, Angkasapuri Kuala Lumpur.

Artikel Selepas
« Artikel Selepas
Artikel Sebelum
Artikel Sebelum »